Tuesday, July 19, 2005

Dua penulis kecam Islam mengejar publisiti murahan

28/10/2002
SEPANJANG dua minggu yang lalu kita dikejutkan dengan kenyataan kontroversi yang dilemparkan oleh Rohan Gunaratna, penulis buku Inside Al-Qaeda-Global Network of Terror yang dijadikan asas laporan kumpulan pemantau PBB.
Dalam masa yang sama, Utusan Malaysia dan Berita Harian bertarikh 23 Oktober 2002 melaporkan sebuah mahkamah Perancis memutuskan seorang penulis, Micheal Houellebecq, tidak bersalah atas dakwaan menghasut sentimen perkauman dengan menggelarkan Islam sebagai `agama paling bodoh'.
Kedua-dua penulis ini bukanlah terkenal sangat. Bagaimanapun, penulisan mengenai Islam telah menjadikan mereka jagoan Barat.
Micheal Houellebecq dalam bukunya berjudul Plateforme memberikan label pengganas terhadap Muslim di Palestin yang berjuang habis-habisan untuk kemerdekaan tanah air dan agama.
Rohan Gunaratna pula melabelkan kerajaan Barisan Nasional (BN) mempunyai kaitan dengan MILF yang dianggap kumpulan pengganas. Mungkin kedua-dua penulis berpendirian bahawa Muslim yang sederhana hanyalah Muslim yang tunduk kepada tekanan kuasa besar.
Tidak menjadi satu kejutan apabila penulisan murahan seperti mereka ini berjaya mengumpan pembaca yang tidak memahami realiti sebenar Islam.
Jika kita melihat ke belakang, lebih kurang 60,000 buku anti-Islam telah diedarkan ke pasaran dunia sebagaimana yang di katakan oleh penulis terkenal Edward Said dalam majalah Times edisi 16 April 1979.
Saya percaya jumlah yang dinyatakan oleh Edward 33 tahun yang lalu kini telah bertambah berkali-kali ganda. Malah, serangan yang dilakukan ke atas Islam mungkin lebih hebat lagi.
Pada hari ini manusia yang mengejar masa mencari maklumat melalui media popular. Sudah tentulah ada pihak yang mengambil kesempatan untuk menggunakan media bagi meniupkan kebencian dan mencetus kemusnahan.
Islam mengajar umatnya agar berhati-hati dalam membuat tuduhan. Tidak kira sama ada dalam bentuk penulisan mahupun lisan. Kerana fitnah dan tuduhan sebegini membawa kepada kepada unsur-unsur kezaliman.
``Nabi s.a.w telah naik ke salah satu bangunan yang tinggi dari bangunan-bangunan di Madinah, kemudian baginda bersabda: Apakah kamu melihat apa yang aku lihat? Sesungguhnya aku melihat tempat-tempat berlakunya berbagai fitnah di sekitar rumahmu bagaikan tempat turunnya air hujan.'' (Sahih Muslim: 1646)
Dr. Shauki Abdul Majid di dalam artikelnya Jangan mudah menuduh orang zalim mengingatkan mereka yang tidak mengenali diri sendiri adalah mereka yang suka menyebar tuduhan dan tuduhan palsu ke atas orang lain. Manusia yang mengenali diri akan merasai malu atau tidak sanggup untuk membuat sebarang tuduhan terhadap orang lain.
Kedua-dua penulis ini berusaha menanam sikap Islamophobia (takutkan Islam) di kalangan pembacanya.
Kelemahan kita mungkin menjadi asas kekuatan musuh Islam hari ini. Perpecahan antara kita menjadi jambatan yang mereka gunakan untuk menyeberangi minda masyarakat dunia. Penulis seperti Houellebecq terus menerus menggambarkan Islam itu berdiri di atas sebuah kitab yang dianggap sebagai `teks kebencian'. Umat Islam di Malaysia atau di mana sahaja perlulah melihat permasalahan ini sebagai permasalahan ummah.
Gembelengkan usaha, gerakan jiwa , fikiran dan harta untuk menyampaikan mesej Islam yang indah dan benar. Berpeganglah kepada peringatan Allah s.w.t:
``Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu, Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk. (An Nahl: 125)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home