Tuesday, July 19, 2005

Sains ilmu galakkan manusia memanfaat ciptaan Allah

06/11/2002
KAMUS Dewan edisi 1993 mendefinisikan sains sebagai ilmu pengetahuan yang teratur yang boleh diuji dan dibuktikan kebenarannya.
Islam menggalakan para pengikutnya agar berusaha mendalami ilmu pengetahuan melalui pemerhatian dan kajian sebagaimana yang disebut di dalam oleh Allah agar memerhati setiap ciptaannya:
``Tidakkah mereka melihat dan memikirkan segala yang telah dijadikan oleh Allah, yang beredar (berpindah-randah) bayang-bayangnya ke kanan dan ke kiri (pada pagi dan petang), dengan keadaan tunduk menurut peraturan dan kehendak Allah, sedang mereka merendah diri? - An-Nahl: 48
Pendidikan sains perlulah dilihat sebagai usaha menggalakkan budaya mengembangkan potensi manusia melalui pengkajian dan pemerhatian, khususnya di kalangan pelajar sekolah serta penuntut institusi pengajian tinggi.
Al-Quran sebagai Kalamullah menjadi pendorong kepada umat Islam dalam mencari panduan hidup yang sempurna. Malangnya hari ini, masyarakat tidak memanfaatkan al-Quran sepenuhnya. Ia sekadar bermain di bibir dalam bacaan solat tanpa memahami mesej yang terkandung di dalamnya.
Allah s.w.t menjadikan manusia dengan kesempurnaan akal yang dipandu dengan cahaya al-Quran sebagai penyuluh dalam kegelapan. Pendidikan berasaskan kitab suci ini amat penting untuk membentuk jiwa dan keperibadian yang mulia kepada remaja.
Sebagaimana penciptaan Adam a.s. Allah mengajar nabi Adam a.s ilmu untuk mengetahui sesuatu yang diciptakan olehnya:
``Dan Dia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Dia berfirman: Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar. Malaikat itu menjawab: Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain daripada apa yang Engkau ajarkan kepada kami. Sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
``Allah berfirman: Wahai Adam! Terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada mereka. Maka setelah Nabi Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka, Allah berfirman: Bukankah Aku telah katakan kepada kamu, bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan? - (al Baqarah:31-33)
Al-Quran menyentuh banyak perkara mengenai kejadian manusia dan alam semesta untuk manusia berfikir akan kewujudan dan kekuasaan Tuhan semesta alam. Ilmu sains merupakan cabang ilmu yang dapat mendekatkan diri manusia kepada Allah s.w.t selagi kaedah yang dipraktikan kena pada tempatnya.
Selama ini para pelajar sekolah menengah rendah dan menengah didedahkan kepada pengajian ilmu sains melalui buku-buku teks. Malangnya, saya berani mengatakan tidak ada ayat-ayat al Quran yang menyentuh tentang sains dicatatkan sedangkan di dalam kitab suci ini terkandung pelbagai penemuan sains yang menakjubkan. Manusia jauh dari al-Quran kerana tiada usaha mendekatkan kitab ini kepada mereka.
Selama ini golongan saintis Barat dan Islam telah membuktikan penemuan sains yang diperoleh hasil pemantauan dan eksperimen manusia sepanjang beberapa ratus tahun yang lalu dengan bantuan radas-radas sains sedangkan ia telah disebut 1400 tahun yang lalu oleh Allah s.w.t.
Dengan mengambil beberapa contoh dalam bidang penciptaan manusia, beberapa orang pelajar perubatan berbangsa Arab telah menyenaraikan ayat-ayat yang dipetik di dalam al-Quran yang menyentuh penciptaan manusia. Kumpulan ayat-ayat ini telah diserahkan kepada Dr. Keith Moore seorang saintis terkenal dalam bidang anatomi dan embriologi telah mengkaji ayat-ayat tersebut dan memuatkan hasil kajiannya di di dalam bukunya The Developing Human edisi kedua dan buku tersebut dinobatkan sebagai buku perubatan terbaik serta menjadikan rujukan pelajar-pelajar bidang perubatan. Apa yang dikatakan oleh beliau setelah mengkaji ayat-ayat al Quran tersebut?
Beliau menyatakan:``Ia menjadi satu penghormatan bagi saya untuk membantu menerangkan mengenai proses kejadian dan perkembangan manusia sebagaimana yang dinyatakan oleh Al-Quran. Jelaslah kini, ayat-ayat tersebut semestinya datang kepada Muhammad dari Allah atau Tuhan.
``Ini kerana perkembangan ilmu sebegini hanya berlaku beberapa kurun selepasnya dan tidak berlaku sebelum itu. Ini membuktikan Muhammad adalah pesuruh Allah.''
Seorang lagi, saintis dalam bidang geologi yang merupakan profesor geologi dan pengerusi Jabatan Geologi Institut Geosciences, Universiti Mainz, Jerman iaitu Profesor Alfred Kroner memberi komennya selepas mengkaji beberapa ayat al-Quran yang menyentuh ilmu geologi.
"Setelah mengkajinya dan memikirkan dari mana Muhammad berasal, adalah mustahil baginya untuk mengetahui penciptaan alam semesta kerana penemuan penciptaan alam semesta hanya dapat dibuktikan oleh para saintis selepas adanya kaedah teknologi yang maju beberapa tahun yang lalu.''
Professor Alfred Kroner merujuk kepada surah al-Anbiya ayat 30 yang bermaksud:
``Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya? Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman? '' - al-Anbiya: 30
Dengan mengambil contoh ayat ini beliau mengatakan adalah mustahil pada zaman Nabi Muhammad s.a.w, manusia mempunyai pengetahuan yang mendalam mengenai ilmu nuklear fizik ketika itu. Dan ini menimbulkan persoalan kepada beliau bagaimana baginda mampu menyampaikan mesej al-Quran yang mengandungi ilmu sebegitu berharga dengan tepat sekali.
Sesuailah sebagaimana dinyatakan oleh Syed Akbar Ali dalam ruangan Rencana bertarikh 26 Oktober 2002 dan ruangan Pendapat, Utusan Malaysia 29 Oktober 2002 lalu bahawa ilmu sains dan al-Quran mempunyai kepentingan yang tersendiri dalam menjana minat umum khususnya golongan pelajar untuk menyelidik lebih lanjut ilmu sains yang sentiasa berkembang.
Akbar Ali memberi gambaran yang cukup tepat dengan mengatakan ilmu Islam tulen adalah ilmu sains, kejuruteraan, perubatan, matematik dan pengurusan kerana ilmu seperti ini mengkaji dan cuba manfaatkan ciptaan dan ayat-ayat Allah dalam alam semula jadi dan di sekitar kita.
Kita ingin wajah-wajah Jabir Ibn Haiyan, Mohammad Bin Musa al-Khawarizmi, Yaqub Ibn Ishaq al-Kindi, Thabit Ibn Qurra, Ali Ibn Rabban al-Tabari, Abu Abdullah al-Battani, Al-Farghani, Mohammad Ibn Zakariya al-Razi, dan Abu al-Nasr al-Farabi muncul kembali dalam generasi baru hari ini untuk menyemarakan dunia sains Islam yang berdiri atas etika dan keimanan.
Bagaimanapun, tidak ada gunanya jika Malaysia mempunyai saintis yang hebat jika tidak ada keimanan di jiwa dan hanya membawa kepada kerosakan kepada manusia sejagat.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home