Tuesday, July 19, 2005

Praktik etika pulihara alam sekitar

26/11/2002
Tragedi tanah runtuh di Taman Hillview yang melibatkan lapan orang mangsa termasuk enam ahli keluarga bekas Panglima Angkatan Tentera, Jen (B) Tan Sri Ismail Omar pada Rabu lalu membawa kita kembali kepada tragedi Highland Towers yang mengorbankan 48 nyawa pada Disember 1993.
Di sini kita perlu bertanya, sejauh mana tragedi ini memberi kesan kepada kita dan membawa kita untuk berfikir sejenak akan nilai alam sekitar kepada manusia yang inginkan pembangunan. Apakah kita sudah cukup menghargai dan menghormati alam ini sebagai sebahagian makhluk ciptaan Allah atau kita hanya menunggu ia `bersuara sendiri' sebagai mana yang terjadi baru-baru ini?
Kepada mangsa-mangsa yang terlibat, kita ucapkan takziah dan mendoakan kebahagiaan mereka di akhirat. Bagi kita yang masih berdiri melihat tragedi ini, sudah tiba masanya kita mempraktikkan etika sebenar dalam pengurusan alam sekitar agar pada masa hadapan, kita tidak mahu mendengar kisah sedih sebegini berulang kembali.
Melihat kepada sebab-sebab runtuhan tersebut, ia berpunca daripada satu punca yang sama iaitu terdapat saliran air di bahagian bawah tanah kawasan berkenaan. Kesan daripada itu menyebabkan struktur tanahnya lemah dan runtuh sebagaimana yang dinyatakan oleh pakar geologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr. Ibrahim Komoo. Ini juga satu sebab yang menjadi punca runtuhan Highland Towers sembilan tahun lalu.
Islam menyeru umatnya menggunakan segala sumber alam dengan sewajarnya dan berhati-hati. Sebagai mana yang disebut oleh Ayub Omayya, Islam meletakkan integrasi antara sains, ekologi dan agama itu sendiri seimbang dalam memastikan keselamatan alam sekitar secara global. Isu ini telah dibangkitkan dalam seminar Religions of the World and Ecology (Agama-agama Dunia dan Ekologi) anjuran Pusat Kajian Agama-agama Dunia di Universiti Harvard.
Krisis alam sekitar sebagai mana yang digambarkan oleh Mary Evelyn Tucker profesor dalam bidang agama dunia di Universiti Lewisburg, Pennsylvania dan Profesor John Grim dari Universiti Bucknell menyifatkan kegiatan manusia mengolah alam untuk memenuhi keperluan mereka hari ini membawa kepada penyelesaian yang lebih kompleks dan rumit. Mereka berpendapat bahawa nilai-nilai etika yang tidak diamalkan menjadi punca kepada kerosakan alam yang memberi impak buruk kepada manusia sendiri.
Bencana yang berlaku bukan sahaja menggambarkan kesan daripada perbuatan tangan-tangan manusia, malahan ia menggambarkan nilai spiritual dalam agama yang berkurangan dari sehari ke sehari. Pemaju-pemaju perumahan seolah-olah tidak mengendahkan keselamatan pembeli dan hanya inginkan keuntungan berlipat kali ganda daripada projek-projek di tanah-tanah tinggi sebagai mana kita tahu ia melibatkan projek perumahan mewah.
Oleh yang demikian, nilai-nilai agama perlu dilihat dalam diri sekali lagi kerana agama itu sendiri membentuk sikap kita terhadap alam sekitar dan menjadi batu pengukur bagi setiap gerak kerja yang kita ambil terhadapnya.
Hampir semua agama di dunia meletakkan perhatian yang khusus ke atas peri pentingnya alam sekitar kepada manusia. Mengambil Islam sebagai contoh, Abu Bakar Yang, Pegawai Penyelidik Institut Kefahaman Islam Malaysia di dalam artikelnya `Amal cara hidup Islam, dunia selamat', mengatakan di dalam al-Quran dinyatakan bahawa manusia itu adalah khalifah di bumi membawa maksud dan nilai tanggungjawab tersendiri.
Sesuai dengan kejadian manusia itu dijadikan sebagai khalifah di bumi, maka Allah yang Maha Pencipta bukan saja mengelokkan kejadian manusia itu, malah menganugerahkan nikmat akal kepada manusia untuk membezakannya daripada makhluk lain.
Dengan berbekalkan akal ini dan berpandukan ajaran Islam yang syumul lagi lengkap, maka tanggungjawab manusia sebagai khalifah di bumi ini tentunya besar dan berat. Ia bukan sekadar menyempurnakan tanggungjawab terhadap Penciptanya iaitu Allah, malah bertanggungjawab terhadap hubungannya sesama manusia dan alam sekitar.
Kaedah yang disarankan oleh Islam melalui al-Quran dan hadis dalam penjagaan alam sekitar adalah disarankan untuk mencapai kesejahteraan. Maka, sebagai khalifah Allah di bumi ini pula, antara inti pati tugas yang perlu dilaksanakan manusia ialah merealisasikan kaedah itu kepada alam.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home