Tuesday, July 19, 2005

Idea - Nikmat Allah yang perlu disyukuri

16/06/2003
Apabila menyentuh istilah idea, perkataan ini akan membawa pelbagai maksud dan pengertian sebagaimana diandaikan oleh kita semua. Malah istilah ini amat sinonim dan rapat dengan kehidupan. Setiap tindak tanduk, perancangan yang kita laksanakan secara tidak langsung berkait rapat dengan idea.
Idea sebagaimana didefinisikan sebagai sesuatu pandangan, konsep, potensi atau produk hasil daripada aktiviti mental seperti imej atau sesuatu yang difikirkan. Selain itu, ia juga membawa maksud pandangan, prinsip dan perancangan untuk bertindak.
Istilah yang mudah ini membawa kepada pengertian yang sangat luas untuk diinterpretasikan. Walau apa pun maksudnya, secara pandangan mata kasar kita sedar dan tahu idea amat berpengaruh dalam mengubah atau mencorak pandangan serta tindakan seseorang dalam kehidupan.
Idea merupakan satu rahmat daripada Allah s.w.t. yang perlu disyukuri dan dimanfaatkan kerana melalui idea, kadangkala perkara yang buntu serta mengusutkan pemikiran akan terurai, rasa kesempitan digantikan dengan kelapangan, kesedihan ditangani oleh kegembiraan dan hilang punca diganti pula dengan harapan.
Ini kerana melalui idea yang terbit dari minda manusia, satu-satu alternatif atau penyelesaian akan timbul sehinggakan adakalanya kita beranggapan masalah yang tidak akan selesai itu rupanya ada kaedah untuk menanganinya.
Al-Quran menyebutkan dalam surah Alam Nasyrah:1-8 yang bermaksud: ``Bukankah Kami telah melapangkan bagimu dadamu? Dan Kami telah meringankan daripadamu bebanmu yang memberati tanggunganmu, (dengan memberikan berbagai kemudahan dalam melaksanakannya)? Dan Kami telah meninggikan bagimu: Sebutan namamu. Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (sekali lagi ditegaskan): Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain), Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini).''
Tidak ada had umur bagi seseorang menjana satu bentuk idea yang hebat. Baik kanak-kanak, remaja mahupun warga tua, masing-masing mempunyai tingkat kemampuan yang tersendiri dan adakalanya pengalaman hidup serta permasalahan sekeliling banyak membantu dalam membentuk idea.
Idea yang baik datang daripada hasil pemikiran yang sihat. Dengan pemikiran yang sihat dan positif, pelbagai bentuk idea yang bermanfaat untuk kemajuan agama, diri dan masyarakat boleh diaplikasikan dalam kehidupan.
Matlamat dan cita-cita di dalam Wawasan 2020 adalah contoh bagaimana sebuah idea diterjemahkan ke dalam kehidupan masyarakat sebagai satu matlamat jangka panjang bagi sebuah negara.
Idea yang dicabangkan kepada tahap-tahap perancangan dibahagikan kepada empat bahagian, iaitu Imaginasi, Memandu Arah, Usaha dan Aplikasi. Tanpa pengurusan idea yang cemerlang, hasil yang bakal diraih sudah pasti tidak memuaskan dan ada kemungkinan ia akan menimbulkan masalah kepada diri sendiri.
Segalanya bermula daripada imaginasi. Imaginasi yang cemerlang mempunyai hala tuju yang jelas serta mantap. Lihatlah bagaimana sebuah bangunan yang dibina, polisi dan peraturan dicipta, peralatan dan penemuan yang dihasilkan, sebuah organisasi yang dibentuk semuanya datangnya daripada imaginasi yang jelas.
Ia bermula daripada imej-imej mudah di dalam tetingkap minda sebagaimana paparan visual di kaca televisyen. Imaginasi tersebut perlu diperkemaskan lagi dengan memimpin imaginasi tersebut ke arah satu tujuan sebagaimana disebut sebelum ini. Sewajarnya imaginasi yang terpimpin perlulah berlandaskan al-Quran dan sunah agar segala bentuk awal idea tersebut tidak bercanggah dengan kehendak dan syariat Allah s.w.t.
Allah s.w.t. memperkatakan tentang seorang hamba yang salah memilih jalan dengan firman-Nya: ``Dan Kami telah memberikan kepadanya jalan (untuk mencapai) segala sesuatu, maka ia pun menempuh jalan itu.'' (Al-Kahfi : 84)
Ayat - `maka ia pun menempuh jalan itu', membawa maksud pengambilan jalan-jalan yang dengannya boleh mencapai matlamat. Maka seorang Muslim perlulah berhati-hati dalam menggerakkan idea serta sering beringat syaitan tidak pernah berhenti menyesatkan dan menggagalkan usaha seseorang. ``Syaitan itu memberikan janji-janji kepada mereka dan membangkitkan angan-angan kosong pada mereka, padahal syaitan itu tidak menjanjikan kepada mereka selain tipuan belaka.'' (An-Nisa: 120).
Idea yang lengkap dengan imaginasi yang jelas serta terarah perlulah dijanakan dengan usaha. Usaha yang berterusan melalui kaedah-kaedah yang ingin diserapkan janganlah sampai memberi beban kepada diri hanya kerana tidak mahu melihat ideanya itu gagal.
Peringatan Allah di dalam surah Al-Baqarah ayat 286 bermaksud: ``Allah tidak membebani seseorang sesuai dengan apa yang terdaya olehnya.'' hendaklah dijadikan panduan kerana adakalanya disebabkan inginkan hasil yang cepat manusia sanggup menyiksa diri sehinggakan tanpa sedar bertindak melampaui batas.
Usaha yang berterusan sesuai dengan maksud hadis Rasulullah s.a.w. iaitu: ``Sesungguhnya Allah suka apabila seseorang itu melakukan pekerjaan dengan tekun.'' (Riwayat al-Baihaqi).
Pengurusan idea perlulah dijalankan dengan penuh sabar kerana inilah intipati sebenar dalam pembentukan idea yang cemerlang. Allah menyebutkan secara jelas, ``Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.''
Idea yang baik adalah idea yang diterapkan dan diaplikasikan bersamanya gerak kerja Islam yang sempurna sebagai pengikat antara usaha individu dengan pencipta-Nya. Dengan ini, kelancaran sebuah idea yang diaplikasi secara berterusan dapat membuahkan hasil dan dinikmati bersama malah menjadi ganjaran pahala di akhirat. Sabda Nabi yang bermaksud, ``Sebaik-baik manusia ialah orang yang paling banyak bermanfaat bagi sesama manusia,'' perlulah dijadikan sandaran utama dalam membentuk idea yang berguna.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home