Tuesday, July 19, 2005

Sambutan Maulidur Rasul 12 Rabiulawal 1424 Hijrah -- Hikmah kelahiran Rasul

14/05/2003
Apabila ditanya siapakah yang disifatkan sebagai tokoh agung yang berpengaruh dalam sejarah peradaban manusia, rata-rata akan memberi jawapan yang bersifat pelbagai berdasarkan kriteria-kriteria yang telah mereka susun dan merasakan sesuai untuk dipenuhi oleh calon yang dinobatkan dengan gelaran sedemikian.
Sesetengah bagi kita memilih golongan pemimpin politik atau ketua negara, atau mungkin seorang saintis dan mungkin juga sasterawan malah artis sebagai tokoh yang layak diberikan gelaran sedemikian.
Bagi seorang Muslim, tidak dapat kita tolak kenyataan bahawa tiada tokoh yang paling berpengaruh dalam sejarah perkembangan manusia dulu, kini dan masa hadapan melainkan seorang yang bernama Muhammad bin Abdullah, seorang Rasul dan kekasih pilihan Allah.
Atas dasar cinta yang mendalam oleh kaum Muslimin, hikmah dan rahsia kelahiran baginda di bumi Mekah terus digali dan diselidiki bukan kerana rasa sangsi atas keperibadian agung ini tetapi atas rasa ingin mendekatkan diri kepada kebenaran.
Hakikatnya, jawapan sebenar terpilihnya Rasullullah sebagai pembimbing umat manusia adalah rahsia milik Allah (Hud:123)
Para ulama dan pengkaji fiqh sirah telah mengkaji hikmah di sebalik kelahiran Rasulullah yang menjadi kejutan kepada golongan Yahudi yang selama ini menganggap kehadiran para Nabi hanya di kalangan kaum mereka sahaja.
Mekah mempunyai keunikannya tersendiri. Meskipun didiami oleh kelompok-kelompok bangsa Arab yang hidup secara kabilah dan mengamalkan konsep assabiyah, namun di sebalik kehidupan gelap Jahiliyah, masih ada nilai-nilai murni yang terus dipegang erat sebagai tradisi kehidupan.
Keunikan bangsa Arab dapat dilihat daripada sikap mereka yang amat menyanjungi karya-karya sastera khususnya syair-syair.
Daya ingatan mereka yang kuat dalam menghafal syair-syair Arab serta mengingati susur galur keturunan dalam kabilah adalah kelebihan yang dimiliki. Tambahan lagi keberanian mereka telah terbukti melalui persengketaan antara kabilah sehingga membawa kepada peperangan dan pertumpahan darah.
Sehinggalah kehadiran Rasulullah s.a.w dengan risalah Islam, nilai-nilai keberanian serta kekuatan mengingat ini diangkat menjadi salah satu sifat yang mulia dan dibersihkan daripada kekotoran kepada kemurnian dan kesucian jiwa. Jiwa-jiwa mereka telah disatukan malah gambaran kehidupan jahiliyah turut dikhabarkan oleh Allah di dalam surah Ali-Imran ayat 103:
Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam) maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya.
Maka lahirlah golongan huffaz yakni penghafaz-penghafaz al-Quran di kalangan mereka dan mereka adalah golongan yang diamanahkan untuk memelihara kesucian dan keharmonian kitab Allah seperti mana para sahabatnya.
Rasulullah bersabda: Orang-orang yang mulia di kalangan umatku ialah penghafaz al-Quran. (Riwayat al-Tirmizi)
Keberanian mereka disalurkan kepada jalan yang lebih baik iaitu dengan tertegaknya konsep jihad, iaitu mencurahkan daya dan tenaga kekuatan dalam usaha mencapai suatu matlamat atau cita-cita mulia dan ideal, iaitu matlamat dan cita-cita Islam serta mendapat keampunan Allah, keredaan dan rahmat-Nya dengan mencakupi suatu usaha bersungguh-sungguh untuk mencapai satu-satu tujuan yang diingini atau mempertahankan sesuatu yang tidak diingini dengan pelbagai cara sama ada alat, ilmu pengetahuan dan sebagainya.
Jika dahulu mereka berperang kerana ingin mempertahankan kabilah, sebaliknya konsep peperangan yang dididik oleh baginda telah diikuti oleh mereka untuk mempertahankan ajaran Islam daripada dicerobohi serta memastikan keamanan dan keadilan ditegakkan.
Sejarah Islam mencatatkan ketika peperangan Yamamah. Tentera-tentera Islam yang ikut serta dalam peperangan ini, kebanyakan terdiri daripada para sahabat dan para panghafal al-Quran. Dalam peperangan ini telah gugur 70 orang penghafal al-Quran.
Bahkan sebelum itu gugur hampir sebanyak itu juga penghafal al-Quran di mana Nabi pada suatu pertempuran di Bir Maunah berhampiran kota Madinah. Ini membuktikan kejayaan Rasulullah mengalihkan pandangan dan jiwa mereka kepada mempertahankan sesuatu yang hak dan menolak kebatilan.
Malah, bangsa yang dahulunya tidak mendapat tempat dalam usaha peluasan empayar Persia dan Rom memberi kejutan yang besar dan menggugat golongan raja-raja dan pemerintah yang zalim terhadap rakyatnya ketika itu.
Ini diakui oleh Maharaja Heracilus apabila menerima sepucuk surat dari Rasulullah agar beliau adil terhadap rakyat dan menerima Islam sebagai cara hidupnya.
Kedua, kelahiran Rasulullah di bumi Mekah adalah satu nikmat dan rahmat Allah s.w.t. dalam menyucikan Kaabah daripada amalan penyembahan berhala. Kaabah yang terletak di tengah-tengah garis bumi seolah-olah seperti sebatang lilin yang diletakkan di tengah-tengah bilik dan cahayanya menerangi segenap penjuru bilik tersebut.
Perpaduan
Begitulah Rasulullah, baginda adalah cahaya kebenaran yang menerangi segenap penjuru alam ini dengan kebenaran Islam melalui bimbingan al-Quran dan sunah dan meletakkan Kaabah kembali sebagai titik perpaduan umat untuk menyembah Allah yang satu.
Ketiga, Allah telah mengkhabarkan kepada para Nabi sebelumnya tentang kehadiran Nabi terakhir yang akan membawa mesej Islam kembali untuk umat akhir zaman. Nabi Musa dan Nabi Isa a.s adalah di antara nabi-nabi ulul azmi yang telah diberikan pengkhabaran tersebut. Perkara ini telah dijelaskan di dalam al-Quran:
Dan (ingatlah juga peristiwa) ketika Nabi Isa Ibni Mariam berkata: ``Wahai Bani Israel, sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu kitab Taurat dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku bernama: Ahmad.'' Maka ketika dia datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berkata: ``Ini ialah sihir yang jelas nyata!'' (as-Saff: 6).
Keempat, hikmah dan rahsia di sebalik kelahiran Rasulullah di bumi Mekah juga adalah kerana makbulnya doa Nabi Ibrahim a.s yang memohon agar keturunannya turut diberikan kepada mereka golongan nabi dan rasul.
Permintaan ini telah dipenuhi-Nya dengan kelahiran nabi dari keturunan Ismail a.s. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 124:
Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman: Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi Imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia. Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: (Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan). Allah berfirman: (Permohonanmu diterima, tetapi) janji-Ku ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim.
Kelahiran dan kewafatan Rasulullah telah memberi kesan yang sangat besar ke atas perkembangan Islam. Baik Muslim dan bukan Islam turut mengakui ketokohan baginda dalam membimbing kehidupan manusia sebagaimana disebutkan oleh tokoh Barat Micheal H Hart di dalam bukunya, The Hundred.
Pemilihan Muhammad sebagai tokoh yang paling berpengaruh di dunia mungkin akan mengejutkan para pembaca dan turut akan dipersoalkan, tetapi hanya beliau individu paling berpengaruh di dalam sejarah di kedua-dua bidang keagamaan dan duniawi.
Kini selepas empat belas kurun, pengaruhnya masih dapat dirasai. (The Hundred, New York: Hart Publishing Company, Inc., 1978, halaman 33.)
Malah pengkritik Islam, George Bernand Shaw mengatakan: ``Saya telah mengkaji beliau, seorang tokoh yang hebat. Jauh sekali untuk mengatakan beliau seorang anti-Christ tetapi layak dipanggil penyelamat kemanusiaan... (The Genuine of Islam).
Sudah masa untuk kita berfikir sejenak, siapakah individu unggul sebagai ikutan dan contoh kehidupan. Beliau dikagumi oleh lawan dan dicintai oleh para sahabat.
Kelahiran Rasulullah di bulan Rabiulawal adalah mesej yang perlu diingati tidak sekadar sebagai bahan sejarah tetapi menjadi ikutan buat setiap insan.
Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia. (al-Qalam: 4).

0 Comments:

Post a Comment

<< Home