Tuesday, July 19, 2005

`Zabiha` - Penyembelihan secara Islam terbaik

13/02/2003
TUNTUTAN mendapatkan makanan yang halal menjadi satu tumpuan penting setiap Muslim di seluruh dunia.
Ini kerana ia merupakan salah satu perintah daripada Allah s.w.t. melalui Rasul-Nya.
Pemakanan yang halal merupakan salah satu ciri utama dalam pembentukan fizikal yang sihat, khususnya bagi perkembangan minda serta hati manusia.
Pengetahuan yang tepat serta menyeluruh mengenai kaedah penyembelihan mengikut lunas-lunas syariat, amat penting kerana ia berkait rapat dengan faktor-faktor kesihatan.
Tambahan lagi konsep sembelihan dalam Islam atau `zabiha' juga perlu dihuraikan sebaik mungkin, agar ibadah ini tidak dilihat sebagai satu aktiviti yang menyeksa binatang secara kejam dan perlahan.
Ia berdasarkan pandangan masyarakat bukan Islam yang melihatnya hampir setiap tahun menjelang Aidiladha.
Islam meletakkan garis panduan dalam penyembelihan binatang.
Buku bertajuk Halal dan Haram Dalam Islam Oleh Dr Yusuf al-Qardhawi, menghuraikan kaedah-kaedah dan syarat-syarat penyembelihan berdasarkan al-Quran dan Sunah.
Penyembelihan harus menggunakan objek yang tajam. Kaedah ini bertujuan meminimakan kesakitan yang dialami oleh binatang tersebut ketika disembelih.
Sabda Nabi s.a.w.: ``Sesungguhnya Allah mewajibkan berbuat baik kepada sesuatu. Oleh kerana itu jika kamu membunuh, maka perbaikilah cara membunuhnya, dan apabila kamu menyembelih maka perbaikilah cara menyembelihnya dan tajamkanlah pisaunya serta mudahkanlah penyembelihannya itu.'' (Riwayat Muslim)
Penyembelihan harus dilakukan di leher binatang tersebut, iaitu di bahagian urat nadi atau kerongkongannya.
Setiap penyembelihan perlu dimulakan dengan Bismillah: ``Makanlah daripada apa-apa yang disebut nama Allah atasnya, jika kamu benar-benar beriman kepada ayat-ayat-Nya.'' (Al-An'am: 118)
Darah binatang tersebut perlu dialirkan keluar daripada sembelihan.
Fakta-fakta saintifik membuktikan setiap penyembelihan yang dilakukan, darah haiwan tersebut perlu dialir keluar kerana darah merupakan medium terbaik bagi mikro organisma membiak.
Bahagian spinal cord hendaklah dielakkan daripada terpotong ketika aktiviti sembelihan dilakukan.
Ini kerana ia akan menyekat aliran darah daripada keluar, akibat saluran darah yang terganggu kesan dari jantung haiwan tersebut yang terhenti secara tiba-tiba.
Dr. Zakir Naik, seorang doktor dan pendakwah Islam antarabangsa, menyenaraikan kepentingan serta kebaikan penyembelihan mengikut hukum syarak.
Pertama, kaedah penyembelihan Islam adalah terbaik dan bersih kerana darah yang menjadi punca pembiakan kuman, bakteria dan toksin yang akan mengakibatkan beberapa penyakit, dikeluarkan sejurus selepas proses penyembelihan mengambil tempat.
Selain itu, daging sembelihan kekal segar dalam satu jangka masa yang lama.
Kaedah penyembelihan Islam juga tidak mengakibatkan kesakitan kepada binatang tersebut.
Ini kerana saluran darah serta saraf yang menghubungkan ke otak, yang boleh mengakibatkan rasa sakit telah terputus.
Maka keadaan di mana haiwan bertindak balas secara tiba-tiba dalam keadaan yang agresif bukan kerana kesakitan, tetapi kesan tindak balas otot yang berlaku apabila darah mengalir keluar.
Professor Schultz dan rakannya Dr. Hazim dari Universiti Hanover, Jerman, telah membuktikan melalui eksperimen dengan menggunakan alatan saintifik seperti Electroencephalograph (EEG) dan Electrocardiogram (ECG), menunjukkan kaedah sembelihan Islam adalah terbaik.
Tiga saat pertama selepas kaedah sembelihan cara Islam dilakukan, EEG tidak menunjukkan sebarang perubahan graf.
Ini menunjukkan haiwan tersebut tidak mengalami sebarang kesakitan secara tiba-tiba selepas penyembelihan dilakukan.
Kemudian, selepas tiga saat yang seterusnya, EEG merekodkan keadaan yang dinamakan sebagai deep sleep, di mana haiwan tersebut mengalami keadaan tidak sedarkan diri kesan daripada darah yang mengalir keluar dari tubuh haiwan tersebut.
Dan akhir sekali, EEG di paras 0 menunjukkan tiada tanda-tanda kesakitan selepas 6 saat eksperimen dilakukan.
Kaedah ujian saintifik hari ini membuktikan kaedah penyembelihan Islam adalah terbaik. Seterusnya menunjukkan Islam amat mementingkan kebersihan serta kesihatan.
Pemilihan pemakanan yang halal penting dalam memastikan tahap kesihatan sentiasa berada di tahap yang memuaskan agar memperolehi tenaga yang secukupnya untuk beribadah.
Oleh itu, Muslim perlu menilai dan meneliti sumber-sumber pemakanannya agar datang dari sumber yang halal, bukan meragukan.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home