Tuesday, July 19, 2005

Pengklonan: Ideologi Rael jadikan sains sebagai tuhan

14/01/2003
ISU pengklonan menarik perhatian ramai setelah dilaporkan kejayaan melahirkan bayi klon pertama yang dinamakan Eve, sehari selepas Krismas lalu. Seterusnya, Clonaid mengumumkan seorang lagi bayi klon dilahirkan oleh keluarga lesbian rakyat Belanda.
Para saintis melihat kedua-dua sebagai satu pembohongan dan kejayaan palsu setelah Clonaid, syarikat yang terbabit mengendalikan program penyelidikan pengklonan manusia gagal membuktikan kesahihannya.
Keadaan ini menimbulkan satu pertanyaan baru kepada masyarakat sama ada pengklonan merupakan satu kerja sains yang bertentangan dengan etika, budaya serta pegangan agama seseorang? Apakah ia perlu diterima atau ditolak dan perlu dilabel sebagai hari yang gelap bagi dunia sains?
Setelah mengikuti laporan akhbar serta mengikuti perkembangannya di laman rasmi Clonaid.com serta Rael.org, apa yang dapat disimpulkan adalah bahawa usaha pengklonan ini sebenarnya satu agenda untuk menyerapkan ideologi baru kepada masyarakat dunia.
Melihat kepada latar belakang Brigitte Boisselier, Presiden Clonaid yang ditubuhkan pada Ogos 2000 oleh Pergerakan Real yang diketuai oleh Claude Vorillon, saya yakin ia adalah satu usaha menjadikan sains sebagai `tuhan' yang menjadikan kehidupan yang abadi melalui pemindahan memori ke atas klon.
Seseorang yang rapuh pegangannya atau lebih kepada free thinker mungkin melihatnya sebagai satu pegangan yang rasional dan logik serta bersifat nyata. Hakikat ini cukup membahayakan.
Kita bimbang sekiranya remaja Islam turut terpengaruh dengan idea-idea seperti ini. Sains yang menjadi alat telah disalah gunakan.
Kita tidak menolak kebaikan daripada pengklonan sebagaimana disuarakan oleh Datuk Ismail Ibrahim bahawa pengklonan janin manusia untuk tujuan kajian dan perubatan seperti penggantian organ yang rosak adalah diharuskan, dengan syarat janin itu dimusnahkan sebelum tempoh 120 hari berdasarkan pandangan Fuqaha yang mengharuskan pengguguran kandungan sebelum roh ditiupkan, iaitu pada waktu berkenaan.
Tetapi adalah haram sama sekali untuk mengklonkan diri sendiri bagi tujuan selain daripada itu.
Lebih mengejutkan lagi ajaran Rael ini telah mempunyai 55,000 pengikut di 84 negara yang mendukung ideologi yang sama.
Untuk menarik perhatian penganut agama lain, Rael menyifatkan ajaran-ajaran agama lain seperti Buddha, Kristian dan Islam mempunyai perkaitan dengan ajaran yang cuba mereka sampaikan.
Kesedaran awal perlu diterapkan kepada masyarakat kita akan bahaya pengaruh ideologi begini yang bersandarkan logik semata-mata.
Dunia sains dan teknologi hari ini perlu dikawal sebaik mungkin agar kesannya tidak menyerap kepada pemikiran generasi kita. Sains yang sepatutnya menjadi alat kini telah menjadi matlamat.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home