Tuesday, July 19, 2005

Golongan cerdik pandai patut utamakan memaju negara, bangsa

14/03/2003
MENYENTUH isu profesor bertekak naik pangkat di dalam ruangan Forum, Utusan Malaysia, ia benar-benar memberi implikasi negatif terhadap golongan yang dianggap cerdik pandai dan pemikir ini di kaca mata umum, khususnya para pelajar universiti.
Sudah kedengaran kata-kata bahawa golongan cerdik pandai yang memiliki Ph.D dalam bidang mereka menjadikan ijazah hanya untuk memenuhi kepentingan diri sebagai agenda utama.
Masyarakat yang memerlukan bakti khidmat mereka mula ragu-ragu. Adakah wang dan kedudukan menjadi sandaran utama?
Sedikit rasa malu dalam diri timbul, apabila isu pangkat dan jawatan sibuk dibawa ke pengetahuan umum, maka umum akan bertanya adakah ini mentaliti cerdik pandai?
Maka timbul istilah Ph.D yang dijenakakan sebagai permanent head damage, bermaksud `kerosakan otak berkekalan.' Cukuplah sekiranya golongan cerdik pandai ini menumpukan usaha terhadap pembangunan negara, bangsa serta agama.
Selaku pelajar peringkat ijazah di Institut Pengajian Awam, selalu saya dan rakan-rakan mendengar desas-desus tentang fenomena profesor ini tetapi belum pernah ia didedahkan secara terbuka kepada umum.
Walau apa pun, saya amat terhutang budi dengan golongan bergelar profesor yang banyak membantu kami memahami dan mendalami ilmu.
Oleh itu berhentilah daripada bicara sia-sia. Janganlah kerana wang dan pangkat akhirnya semua golongan ini lebih sibuk dengan urusan lain dan lebih kerap memberitahu para pelajar: ``Sorry, I have more papers to write.''
Jangan lupa bahawa tugas hakiki anda ialah mendidik kami pewaris generasi akan datang demi kemajuan negara dan bangsa.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home