Tuesday, July 19, 2005

Media global - Muslim perlu ke hadapan

14/04/2003
ABAD ini memperlihatkan persaingan antara negara dan individu ke arah perkembangan dan kemajuan melalui penguasaan sumber maklumat secara tepat dan cepat.
Media memainkan peranan serta dianggap mekanisme berkesan menyebarkan maklumat serta digunakan sebagai menanam benih pengaruh dan kuasa ke dalam minda serta kehidupan masyarakat universal.
Maklumat sudah menjadi salah satu cabang keperluan perkembangan hidup hari ini. Malangnya, bahan yang sewajarnya dimanfaatkan sebaiknya, telah digunakan sebagai alat propaganda menyerang serta menjatuhkan kredibiliti Islam.
Lebih menyedihkan lagi usaha secara besar-besaran ini dilakukan secara terancang dengan mewujudkan rangkaian antarabangsa agar hasil yang diingini terlaksana.
Pengguna yang berkiblatkan kepada penggunaan media-media tersebut sedikit sebanyak berjaya diumpan dan dimanipulasi sepenuhnya agar bangkit menentang Islam.
Ini dapat kita lihat apabila Kongres Islam Kanada telah mengeluarkan laporan mereka terhadap sembilan buah akhbar utama di Kanada di mana salah satunya, National Post telah menggunakan terminologi anti Islam dalam penulisan akhbar tersebut dengan kekerapannya meningkat sebanyak 22.1 kali selepas berlakunya tragedi 11 September 2001. Ini diikuti oleh akhbar Globe, Mail dan Toronto Star dengan kekerapan meningkat 18.7 dan 10.1 kali.
Umat Islam tidak wajar berpeluk tubuh melihat tekanan yang dihadapi oleh umat pada alaf ini. Benar, sejak dari dahulu lagi pelbagai usaha memecah belahkan umat Islam telah digerakkan oleh musuh-musuh Islam sehinggalah ke hari ini usaha mereka tidak pernah berhenti. Kita dapat merasakan betapa hebatnya serangan yang kerap berlaku kepada kita kebelakangan ini.
Realiti memperlihatkan AFP, Agensi, Reuter, CNN, BBC dan sebagainya merupakan agensi berita utama dunia yang kononnya diyakini akan kesahihannya 100%, adalah di bawah penguasaan pemodal Yahudi.
Cubaan umat Islam Palestin untuk mempertahankan harta benda mereka digelar sebagai pengganas. Manakala pihak Israel yang merampas rumah dan tanah digelar sebagai mereka yang mempertahankan diri.
Islam memberi garis panduan kepada setiap golongan beriman agar berhati-hati menerima sebarang bentuk maklumat yang akan memberi kesan kepada kesejahteraan umat.
Peringatan Allah yang bermaksud: ``Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu seseorang yang fasiq membawa berita, hendaklah kamu periksa kebenarannya, agar kamu tidak menimpakan sesuatu musibah kepada sesuatu kaum tanpa mengetahui keadaannya (secara jahil), maka dengan itu jadilah kamu di atas perbuatan kamu itu orang-orang yang menyesal.'' (Al-Hujurat:6)
Fitnah
Media global hari ini bukan sahaja dipenuhi unsur-unsur fitnah terhadap Islam, malah elemen-elemen yang merosakkan pemikiran juga meresap masuk sehingga tanpa sedar ia mula meracuni pemikiran setiap ahli keluarga di setiap rumah.
Kajian yang dilakukan oleh sebuah organisasi antarabangsa, Children Now di dalam kertas kerja bertajuk The Local Television News Medias Picture of Children, mendedahkan 46% maklumat berkaitan jenayah oleh kanak-kanak telah dipaparkan kepada pengguna khususnya terhadap suku daripada penduduk Amerika Syarikat yang terdiri daripada kanak-kanak.
Laporan bertajuk Sex and Violence in the Media mendedahkan di Amerika sahaja, apabila seorang remaja menjangkau umur 18 tahun, tidak kurang dari 200,000 adegan ganas telah ditontonnya. Secara purata, lima adegan ganas setiap jam pada waktu perdana ( AAP Committee on Communications).
Tanpa perlu menjelaskan lebih lanjut, apakah kesan ke atas pemikiran kanak-kanak jika saban hari kisah jenayah dipaparkan dan ditonton oleh mereka?
Muslim perlu bergerak untuk menjawab permasalahan yang berlaku hari ini. Media-media milik orang-orang Islam perlu diperbanyakkan dan digandingkan melalui rangkaian yang berkesan untuk mengimbangi senario yang berlaku saat ini.
Media mempunyai signifikannya yang tersendiri dalam mengubah pola pemikiran serta cara hidup seseorang serta mengubah sistem sosial masyarakat.
Iktibar
Dunia antarabangsa memerlukan lebih banyak media yang jelas visi dan misinya untuk keperluan rohani masyarakat agar sentiasa jernih dengan rasa bertuhan.
Dunia Islam perlu mengambil iktibar betapa pentingnya penguasaan media dalam konteks hari ini kerana Rasulullah s.a.w. bersabda: ``Sesiapa di antara kamu melihat kemungkaran, maka dia hendaklah menegah kemungkaran itu dengan tangannya iaitu kuasanya. Jika tidak mampu, hendaklah ditegah dengan lidahnya. Kemudian kalau tidak mampu juga, hendaklah ditegah dengan hatinya. Itulah selemah-lemah iman.'' (Riwayat Muslim)
Perang alaf baru tidak sekadar peperangan melibatkan persenjataan canggih. Media menjadi padang pertempuran antara yang hak dan batil. Kemunculan media-media Muslim di setiap pintu rumah perlu untuk mengimbangi dan menguasai keadaan.
Majalah Impact sebuah majalah antarabangsa berteraskan Islam telah lama dikenali sejak 30 tahun lalu. Bermula dari tahun 1971 dengan lima orang staf, majalah ini telah diedarkan ke 85 buah negara dengan jumlah pembacanya seramai 100,000 dan langganan tetap sebanyak 20,000 naskah.
Meskipun mengalami masalah dari sudut kewangan baru-baru ini, Impact masih terus gah berdiri dengan matlamatnya untuk membentuk kefahaman masyarakat dalam perspektif yang betul.
Sudah pasti kelahiran penerbitan seperti ini sangat penting untuk merancakkan dunia media Islam. Paling penting ialah, setiap tindakan bermula dari satu langkah yang mudah tetapi bermakna.
Kejayaan media-media Muslim mengetuk hati masyarakat dunia tidak seharusnya menjadi alasan untuk mengabaikan etika yang digariskan. Tidak berhati-hati dalam menyampaikan pandangan dan panduan tanpa merujuk kepada sarana-sarana al Quran dan sunah akan membawa kepada bencana terhadap diri.
Rasulullah mengingatkan dalam satu hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, dia mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: ``Ada seorang hamba (manusia) yang menyebut satu kalimah tanpa dia memikirkan tentang (baik-buruknya) kalimah tersebut, menyebabkan dia tergelincir ke dalam neraka yang dalamnya lebih jauh dari jarak antara timur dan barat.'' (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim )
Penguasaan Muslim dalam media global tidak bermakna paksaan ke atas sesiapa untuk menerima mesej Islam kerana ini jelas bertentangan dengan mesej Allah s.w.t. dalam surah al Baqarah ayat 256.
Tujuan utama ialah untuk menyelaras serta menerapkan kembali pendidikan tauhid dalam masyarakat serta menjadi medium penyelesaian masalah masyarakat selain daripada menjawab tohmahan golongan anti Islam.
Sokongan pengguna amat penting untuk memastikan kualiti serta bentuk pendidikan yang ingin disampaikan berkesan.
Perkembangan positif memperlihatkan media seperti agensi berita Al Jazeera mula mendapat tempat antarabangsa dengan nilai berita yang seimbang. Malah di Indonesia, usaha alih bahasa bahan berita tersebut rancak dilakukan agar setiap individu Muslim dan bukan Islam dapat mengikuti perkembangannya.
Dengan sedikit galakan, perencanaan yang teliti dan kemas serta etika Islam yang diamalkan, Penguasaan media global akan menjadi kenyataan.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home