Tuesday, July 19, 2005

Kecewa dalam hidup - Luahkan segalanya kepada Allah

25/06/2003
Siapakah di antara kita hari ini pernah menghadapi kegusaran, kekecewaan dan kegagalan? Adakah ia sesuatu yang ditakuti untuk dihadapi oleh setiap manusia sehinggakan ada yang cuba melarikan diri daripada menghadapi perasaan sebegini yang cukup memilukan.
Bagaimana Islam memandang keadaan ini dan kaedah terbaik untuk mengawalnya?
Kehidupan masyarakat hari ini berhadapan dengan satu lagi gejala tidak sihat yang mula menular di kalangan pelajar sekolah dan penuntut pengajian tinggi.
Gejala bunuh diri adalah satu gejala yang cukup membahayakan kepada si pelaku dan individu-individu sekeliling. Amat menyedihkan apabila membaca kes demi kes pembunuhan diri yang berlaku dan dilaporkan kepada khalayak.
Sama ada di dalam negeri mahupun luar negara, setiap anggota masyarakat di seluruh ceruk dunia melalui situasi ini. Di Red Lion, Pennsylvania, seorang pelajar, James Sheets berumur 14 tahun telah menembak mati guru besarnya di kafeteria sekolah itu yang penuh sesak dengan pelanggan sebelum menembak dirinya menggunakan pistol.
Ketua Polis Red Lion Borough, Walt Hughes menyifatkan tindakan pelajar ini akibat daripada tekanan yang tidak mampu dikawalnya.
Suasana tempatan tidak kurang bezanya. Terkini di Georgetown, Pulau Pinang, seorang kanak-kanak berusia sebelas tahun cuba menggantung dirinya kerana bimbang dimarahi setelah kehilangan buku yang mengandungi kerja sekolah yang diberikan oleh gurunya.
Keadaan yang membimbangkan ini diperhalusi dalam menangani puncanya daripada terus berakar umbi. Hakikatnya, membunuh diri bukannya satu langkah yang akan menyelesaikan permasalahan apatah lagi ia hanya akan menimbulkan lebih banyak tekanan.
Bunuh diri merupakan satu tindakan kemuncak kesan daripada kawalan emosi ke atas diri sehingga mendorong si pelaku melakukannya dalam suasana yang penuh kekeliruan.
Ia mungkin disebabkan suasana luaran yang tidak memberangsangkan, penuh dengan kejutan, permasalahan dan kebimbangan.
Inilah sebahagian punca mengapa gejala ini terjadi dalam masyarakat yang semakin maju secara materialistik. Usaha untuk mengimbanginya daripada terus berlaku adalah satu kemestian yang perlu direncanakan seawal dan seteliti mungkin oleh setiap anggota masyarakat.
Bunuh diri telah lama berlaku sebelum perkembangan Islam di bumi Mekah. Malah Rasulullah s.a.w. telah bersabda: ``Dulu sebelum zamanmu ini ada seseorang yang terluka dan tidak tahan menanggung derita lukanya itu, lalu mengambil pisau dan memotong sendiri tangannya, maka mengalirlah darah terus menerus hingga dia mati. Allah berfirman: ``Hamba-Ku telah mendahului-Ku atas kemahuannya sendiri, Aku mengharamkan syurga untuknya.'' (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Bagaimanakah Islam bertindak bagi mengelakkan satu lagi pengakhiran nyawa yang menyedihkan ini terus menerus terjadi?
Kebiasaannya, individu terbabit lebih cenderung untuk merahsiakan masalah yang dihadapi daripada diketahui umum. Kesannya, berlaku ketidak seimbangan emosi sehinggakan individu tersebut merasakan bebanan terhadap dirinya dan melihat masalah tersebut sesuatu yang tidak boleh diselesaikan.
Situasi ini mampu diredakan dengan mendekatkan diri kepada Allah, pencipta jiwa setiap insan. Pada waktu kita kurang mempercayai orang lain untuk sama-sama mendengar masalah yang membelit hati, kembalilah kepada fitrah dengan meluahkan segenap rasa kecewa dan takut kepada Maha Pencipta yang lebih memahami jiwa-jiwa hamba-Nya.
Oleh kerana itu, Allah telah menganjurkan agar kita sentiasa berdoa ketika waktu gembira mahupun berdukacita, sebagaimana disebutkan dalam surah al Mukminun ayat 60: ``Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Kuperkenankan bagimu.''
Adakalanya tindakan melulu si pelaku yang membawa kepada bunuh diri, disebabkan rasa marah terhadap apa yang terjadi terhadap diri.
Marah dengan situasi yang tidak diharapkan berlaku, kecewa dengan keadaan yang terjadi, merasakan tidak mendapat keadilan daripada Tuhan kerana apa yang diingini tidak dipenuhi adalah salah satu bisikan-bisikan syaitan untuk membawa manusia ke arah kemusnahan.
Kisah duka masyarakat masih tidak luput dalam lipatan peristiwa hari ini. Ramai masih mengingati kisah kematian seorang eksekutif jualan yang terjun dari tingkat 11 pangsapurinya di Bukit Gambier selepas menembak wanita yang tidak membalas cintanya.
Selang beberapa bulan, seorang penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, meninggal dunia selepas dipercayai meminum racun rumpai kerana peristiwa yang sama.
Dalam keadaan marah, Rasulullah s.a.w. telah memberi tatacara untuk mengawalnya sehinggalah mampu berfikir secara rasional dan bertindak bukan atas tuntutan nafsu.
Telah diriwayatkan dalam hadis Rasulullah s.a.w., jika seseorang itu dalam keadaan marah sedang berdiri, maka lebih baiklah dia duduk, atau mengambil sikap membelakangkan orang yang dimarahinya. Jika masih belum reda marahnya, maka berbaringlah selain mengambil wuduk dan menunaikan solat sunat.
Setiap yang berlaku di muka bumi ini penuh rahsia dan hikmah yang tersendiri. Adakalanya, kehidupan ini ada naik turunnya, maka manusia sebagai hamba dan makhluk Allah hendaklah menyedari realiti sebagai satu fitrah semula jadi.
Suka atau tidak inilah kehidupan, penuh dengan cabaran dan ujian. Sekali lagi, telah diperingatkan oleh-Nya: ``Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.'' (Al-Baqarah: 216)
Luangkan masa pada waktu kekecewaan dan kedukaan dengan membaca kisah para nabi yang begitu tercabar dengan ujian demi ujian yang tidak mampu dihadapi oleh kita pada hari ini.
Betapa sedih Nabi Lut melihat anak dan isteri musnah kerana kederhakaan, hebatnya ujian terhadap Nabi Ayub yang kehilangan harta, anak-anak dan kesihatannya bertahun-tahun lamanya, tercabar kesabaran Rasulullah s.a.w. dengan sambutan penduduk Taif yang menyambut kehadirannya dengan balingan batu-batu dan najis yang menyakitkan.
Namun mereka tidak sekali-kali meletakkan tindakan bunuh diri sebagai keutamaan dalam menyelesaikan masalah. Sebaliknya mereka mendidik para pengikutnya yang menghadapi derita yang sama dengan mendekatkan diri kepada Tuhan.
Inilah model kehidupan untuk dijadikan rujukan pada waktu kita memerlukan arah panduan. Seorang mukmin tidak boleh membunuh tanpa alasan yang hak. Dan membunuh diri sendiri adalah membunuh tanpa alasan yang hak.
Dengan ertikata lain, orang yang beriman tidak boleh membunuh dirinya sendiri dengan alasan apa pun, sebagaimana firman Allah: ``Janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan.'' (Al-Baqarah: 195)
Setiap bentuk kegagalan dan kekecewaan adalah peringatan daripada Allah agar kita mendekatkan diri kepada-Nya. Kerana kasih sayang-Nya yang melangit tinggi, Allah melarang keras hamba-hamba-Nya membunuh diri sebagai penyelesaian. Firman Allah yang bermaksud: ``Dan jangan kamu membunuh (membinasakan) diri kamu, sesungguhnya Allah Maha Penyayang kepada kamu.'' (An-Nisa: 29)
Bunuh diri hanya melambangkan sikap melarikan diri daripada tanggungjawab kemanusiaannya.
Lebih parah daripada itu perbuatannya tersebut menunjukkan kurangnya kepercayaan yang bersangkutan terhadap sifat pemurah Tuhan.
Umumnya, bunuh diri disebabkan oleh kurangnya kefahaman dan penghayatan terhadap agama. Agama mengajarkan manusia agar sabar, tawakal, melarang putus asa dan nilai nilai yang membina kekuatan jiwa daripada hasutan syaitan.
Kemurnian fikiran dan nurani janganlah dicemari dengan tindakan melulu tanpa memberi peluang kepada diri menggali kekuatan dan kelebihan yang diberikan oleh Allah, sebagai benteng menghadapi cabaran kehidupan tanpa rasa takut dan terus memberi cabaran kepada kedukaan serta masalah yang dihadapi dengan melahirkan tindakan serta membuktikan diri mampu hidup lebih cemerlang dan sempurna, kesan daripada kepahitan yang dialami dahulu. Itulah nilai diri anda yang sebenar.

1 Comments:

At 4:52 PM, Blogger hrhendrawan said...

Tiada yang mau dilahirkan untuk melakukan bunuh diri. Adalah hak pribadi mereka dan Tuhan untuk melakukan bunuh diri. Adalah kesalahan kita juga bila tak mampu mencegahnya. Orang bunuh diri tidak memerlukan justifikasi2, mereka hanya butuh solusi, mampukah kita memberikannya? Salam kenal.

 

Post a Comment

<< Home