Sunday, October 30, 2005

Pidato proses perkembangan minda

Ruangan Surat dan E-mail
Berita Harian
Sabtu 29 Oktober 2005

Pidato proses perkembangan minda

APABILA Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Shafie Salleh, mencadangkan untuk mengkaji semula Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), khususnya membenarkan sudut penceramah di universiti, beliau secara langsung membuat satu janji besar dengan penuntut di seluruh negara.

Sebahagian besar melihat arus perubahan ini sebagai satu pendekatan yang bukan saja meletakkan pelajar kampus dalam satu perjalanan masa depan yang berbeza, tetapi ia juga memberi satu dimensi dalam mewujudkan hubungan baru di antara kementerian dan pelajar institusi pendidikan tinggi awam (IPTA).

Dr Shafie mempunyai pendekatannya sendiri dalam membina kerjasama dengan warga kampus dalam etika profesional yang layak diberi perhatian.

Budaya pidato bukan satu perkara baru dalam dunia akademik tinggi.

Pidato itu sendiri adalah satu rentetan perjalanan sejarah yang panjang dan memberi kesan kepada pemikiran serta tingkah laku manusia secara langsung.

Namun, apabila sudut penceramah di universiti dikatakan sebagai satu tindakan yang akan memberi peluang seluas-luasnya untuk membangkitkan isu sensitif secara terbuka ia menjadi satu kenyataan jenaka bagi mereka yang mengikutinya.

Konteks yang lebih luas harus dilihat dalam memberi ruang untuk mewujudkan semula sudut sebegini, tambahan lagi ia bukan saja satu keuntungan individu atau universiti semata-mata tetapi ia adalah satu pelaburan besar untuk kerajaan.

Dalam tempoh 20 tahun akan datang, pembentukan generasi penuntut hari ini harus mempunyai perkembangan minda yang peka terhadap isu semasa, bukan dengan lontaran kemarahan dan memprotes semata-mata.

Mereka harus berani mengeluarkan satu resolusi, cadangan dan idea yang boleh diaplikasi terus kepada masyarakat.

Perkara ini adalah satu bentuk latihan jangka panjang dan ruang universiti sememangnya satu lokasi yang bagus untuk memulakan agenda pemikiran bangsa yang berkaliber untuk menjadi pemimpin dunia akan datang.

Meskipun penyampainya kelak bukan berakhir sebagai ahli politik, namun proses pembinaan minda kritisnya secara langsung memberi keyakinan kepadanya untuk menerokai ruang kerjaya baru yang memerlukannya menonjol dalam khalayak.

Ia mewujudkan warga negara berkualiti yang boleh menyumbang.

Sejak dulu lagi, pendekatan yang sama diaplikasi dalam perniagaan antarabangsa.

Sememangnya satu garis panduan diperlukan dalam mewujudkan sudut penceramah di universiti agar ia menghormati peraturan universiti dan kehendak kementerian.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home