Tuesday, July 19, 2005

OIC wajar semak kegagalan usaha dahulu

16/10/2003
Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) kali ini yang menjadikan Malaysia sebagai tuan rumah sewajarnya menjadi satu titik tolak kepada perubahan dalam gerak kerja dan lebih penting lagi corak pemikiran kepimpinan negara-negara Islam dalam menghadapi isu-isu yang mencabar kedaulatan Islam.
Meskipun disifatkan OIC tidak lagi relevan kesan daripada siri kegagalan menangani permasalahan ummah secara total, namun OIC perlu wujud setidak-tidaknya sebagai simbol dan harapan menggambarkan keinginan negara-negara Islam untuk bersatu dan berjalan seiring membina peradaban Islam dalam dunia moden hari ini. Perlu diketahui pemimpin adalah cermin rakyat. Apabila pemimpin lemah ilmu, akhlak dan iman, ia merefleksi kembali kepada jiwa rakyat dan kepimpinan di bawahnya.
Pemilihan Tunku Abd. Rahman Al-Haj sebagai Setiausaha Agung Pertama OIC merupakan petanda awal rasa kepercayaan negara-negara Arab khususnya terhadap kredibiliti serta kemampuan pemimpin-pemimpin Muslim dari sebuah negara yang baru merdeka ketika itu. Belajar daripada sejarah dan mengambil setiap bentuk peluang yang diberikan untuk mempengaruhi situasi dunia ke arah lebih positif.
Rakyat Malaysia sebagaimana diri penulis tidak mengharapkan usul-usul baru dalam OIC. Sebaliknya masalah-masalah lama yang belum masih selesai perlu lebih diperhalusi dengan perubahan kendiri dan pemikiran. Krisis umat Islam hari ini adalah kesan daripada kepimpinan negara Islam yang mudah diperkecil-kecilkan setelah kelemahan mereka dimanipulasi oleh kuasa dunia dan Zionis.
Terhina kerana perbuatan tangan sendiri. Mungkin perkataan yang sesuai untuk menggambarkan titik punca jatuhnya beberapa negara Islam sebagaimana Iraq dan Afghanistan. Kaya dengan hasil tetapi menagih simpati kepada `Big Bully'.
Berakhirnya persidangan OIC di Malaysia nanti diharapkan kepimpinan negara Islam pulang dengan satu perubahan sikap dan sama-sama menyeru rakyat mereka bersatu di bawah persaudaraan Islam sebagaimana digambarkan oleh al-Quran dan bertepatan dengan tema sidang kemuncak ke-10 OIC, Ilmu Pengetahuan dan Akhlak Asas Kemajuan Ummah. Inilah harapan rakyat Malaysia.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home