Tuesday, July 19, 2005

Penulisan - Sumber kekuatan yang perlu digali

06/07/2004
DUNIA penulisan bukannya dunia kecil bagi segolongan individu atau hanya layak bagi sekelompok manusia untuk mencatat sesuatu sebagai makanan jiwa dan minda manusia, yang tidak putus mencari jawapan bagi persoalan-persoalan yang timbul saban waktu. Tamadun manusia meletakkan penulisan sebagai khazanah yang cukup besar dan hebat dalam merakam suasana sosial masyarakat pada zaman tersebut, sehingga ia cukup dikagumi dan corak perjalanan dihayati.
Ibn Khaldun berkelana berbatu-batu jauhnya dan catatan sepanjang ekspedisinya ke akhir hayat beliau sehingga kini dihargai dan dijadikan rujukan berzaman, khususnya bagi mereka yang mendalami sosiologi. Muqadimah, bukan karya biasa yang menceritakan bagaimana tamadun di sekitar Tanah Arab berkembang dan mengalami kemundurannya, sebaliknya ia adalah perbandingan kehidupan dahulu dan hari ini yang tidak jauh beza dari sudut turun naiknya.
Cerita-cerita masyarakat adalah hidangan enak yang bersifat pelbagai. Suara rasa manusia apabila dicampur aduk tidak jauh bezanya dengan rojak yang mempunyai rasa pedas manis setelah dicampur kuah kacang. Jauh sekali untuk mengatakan cerita hari ini sudah tidak relevan dengan apa yang telah dan akan berlaku kelak.
Ketika penulis melewati sekitar kaki lima Masjid India, perhatian penulis tertumpu pada himpunan buku-buku lama yang dilambakkan di sudut jalan yang beralas kanvas biru dengan diselitkan kad manila bertulis harganya yang sangat murah. Dengan senyuman, seorang pemuda berusia lingkungan 40-an datang menyapa dan mempelawa penulis untuk membelinya.
Ia sekadar fenomena biasa dan sering kali kita terlepas pandang akan kepentingannya. Sekali lihat, ia sekadar longgokan buku yang sudah bertukar warna dan sudah hampir lusuh. Kulit-kulit buku tidak sekeras mana tetapi masih setia menunggu orang ramai yang mundar-mandir dari pagi hingga petang, dari kedai-kedai dan pejabat berhampiran untuk memilih satu dua buku dalam pelbagai tajuk, daripada politik hingga hiburan, daripada fakta kepada fiksyen untuk dibawa pulang.
Jika diamati, penulis yakin anda sendiri akan merasa kagum dan timbul rasa hormat yang tinggi ke atas para pengarang buku-buku ini. Kagum dengan nilai ilmu dan cerita masyarakat yang tidak jauh bezanya dengan situasi kini, meskipun sudah menjangkau 30 tahun. Bahasanya cukup mudah, ringan tidak memberatkan minda meskipun apa yang disampaikan ada kalanya menyentuh konflik masyarakat yang bersifat kompleks. Wajar ucapan terima kasih disampaikan kepada orang-orang lama ini yang tidak jemu melaungkan seruan hati dan buah fikiran mereka dengan harapan berubahlah corak hidup dalam suasana tempatan dan antarabangsa.
Peristiwa tersebut menjadi titik tolak kepada penulis untuk melihat kembali suasana masyarakat yang penuh kelemahan dan ikatan individu yang longgar serta memikirkan apakah sebagai individu, rakyat di sebuah negara aman merdeka ini mempunyai kekuatan untuk menyumbang khususnya pada usia pertengahan remaja ini. Manfaatnya cukup besar apabila dakwat bertemu selembar demi selembar kertas. Satu perkataan mampu menggambarkan kelemahan dan kekuatan, sokongan atau kebencian, putus asa dan harapan.
Bagi dunia Barat, penulisan di kalangan kanak-kanak tidak dianggap satu keanehan atau kejanggalan bagi masyarakat mereka. Penulisan kanak-kanak dihargai dan dijadikan sebagai sumber mendidik dan mengembangkan potensi kanak-kanak, malah menjadi dunia perniagaan yang menguntungkan bagi penerbit-penerbit buku. Jauh daripada itu, penulisan kanak-kanak sudah dianggap klasik dan menjadi rakaman sosial dalam memahami latar budaya dan bentuk pemikiran kanak-kanak pada zaman tersebut.
Francis Hawkin, pada tahun 1641 ketika usianya 8 tahun, menulis sebuah buku yang menyentuh tentang adab seorang kanak-kanak yang dipanggil Youth Behaviour. Katherine Hull dan Pamela Whitlock, masing-masing berumur 15 dan 16 tahun, mereka bekerjasama menulis sebuah buku daripada kanak-kanak untuk kanak-kanak ketika mereka berteduh pada hari hujan dalam perjalanan ke sekolah di England. Buku The Far Distant Oxus diterbitkan pada tahun 1937 dan menjadi salah satu karya klasik dunia Eropah dan Amerika.
Bagi Dorothy Straight dari Washington, beliau menghasilkan sebuah buku, How the World Began pada usia 4 tahun dan diterbitkan pada tahun 1964, dua tahun selepas itu. Hasil karya kanak-kanak turut mencapai jualan jutaan naskhah sebagaimana karya S.E Hinton yang memulakan dunia penulisannya di sekolah tinggi dengan menghasilkan draf awal bertajuk The Outsiders pada usia 15 tahun. Beliau mengambil masa satu setengah tahun menyiapkan karyanya yang berkisar tentang remaja berkumpulan dan konfrantasi antara mereka dan penulisannya diterbitkan pada tahun 1967.
Kisah benar mengenai kehidupan dijadikan sandaran James Dewitt, berusia 12 tahun dalam merakamkan kehidupan berkeluarga yang berhadapan dengan tragedi di ladang milik keluarganya di Winconsin. Menariknya, bukunya Jamies Turn dihasilkan oleh beliau meskipun James mempunyai kesukaran dalam pembelajaran seawal usia itu.
Berbeza bagi Gordon Korman yang menghasilkan karya This Cant Be Happening at MacDonald Hall merupakan projek sekolah gred tujuh yang berjaya diterbitkan. Selepas menamatkan pengajian di sekolah tinggi, beliau menghasilkan lima buah karya antaranya Go Jump in the Pool dan Beware the Fish.
Tidak kira sama ada kanak-kanak, remaja mahu pun dewasa, peranan kita sebagai manusia yang hidup pada zaman ini perlu digembleng habis-habisan dengan daya motivasi dan semangat yang tinggi memanfaatkan segala yang ada di sekeliling, baik usia mahupun masa untuk menyumbang ke arah kebaikan. Ilmu kemasyarakatan hanya akan diperoleh apabila ada kesedaran dan sifat keterbukaan dan berani keluar dari tempurung.
Malah, peranan akhbar dalam apa jua bahasa adalah cermin masyarakat. Seringkas mana berita atau rencana yang dicetak, faedahnya cukup besar jika pembaca dapat mengaitkannya dengan kehidupan mereka sendiri. Akhbar adalah rojak kehidupan manusia yang mengadun pelbagai ragam sejak awal sejarah kelahiran media cetak hingga kini, sehingga ia berkembang dalam bentuk majalah dan media elektronik seperti internet yang menyediakan maklumat mencecah sehingga membawa kepada kewujudan industri e-buku yang menyaingi industri percetakan tradisional.
Setiap kita perlu memikirkan sebarang bentuk sumbangan untuk membina motivasi diri dan masyarakat ke arah perkembangan yang positif. Setiap kali kisah remaja pasti dikaitkan dengan kebejatan sosial daripada isu lepak, bohsia dan bohjan, kaki rokok, dadah, lumba haram, dan pelbagai bentuk jenayah yang tersenarai. Kekerapan berita-berita negatif mengenai remaja mengakibatkan masyarakat umum mudah memberi label bermasalah sehingga ia benar-benar berlaku.
Jawapan remaja hari ini bukannya dengan memberontak semata-mata, sebaliknya bertindak dengan fikiran dan motivasi untuk menyatakan bahawa remaja adalah penyumbang besar dalam apa jua bentuk lapangan dan bidang, sama ada yang berpendidikan tinggi mahupun tidak. Pemikiran kreatif dan bakat perlu dilatih dan dirancang agar hasil yang hebat dapat dikongsi bersama. Penulisan adalah salah satu sumber kekuatan yang perlu digali ilmunya, diwarisi kemahirannya dan diletakan pada kedudukan yang mengangkat nilai-nilainya.
Kemurnian agama perlu ditonjolkan melalui personaliti yang hebat sehingga orang melihat kehidupan beragama membentuk tabiat hidup yang positif dan bermatlamat. Jika dahulu kemalasan dan kemunduran seseorang acap kali dikaitkan dengan agamanya dan disebar melalui lisan di sana-sini, hari ini ia menjadi permainan antarabangsa melalui media cetak dan elektronik dunia. Di mana kita ketika itu?
Konsep dakwah melalui penulisan sangat terbuka luas untuk sesiapa meletakkan diri dalam perjuangan meraih kebahagiaan dua dunia. Hatta pendidikan al-Quran melalui penulisan wahyu menggambarkan betapa kekuatan penulisan menjangkaui sempadan fizikal. Ia menyerang pemikiran yang keji, penuh hasad dengki dan menggantikannya dengan kebenaran bersandarkan nilai ukhuwah dan kasih sayang yang tinggi antara umat dan Maha Pencipta .
Rasa cinta yang mendalam terhadap Rasulullah dan Islam menggerakkan hati para sahabat dan tabi`en merakamkan segala bentuk perbuatan baginda dan mengembangkan lagi kefahaman umat terhadap al-Quran melalui hadis-hadis. Pembudayaan budaya menulis dan menghimpunkannya sebagai wadah ilmu dalam sejarah pengumpulan hadis diteruskan sehingga pada waktu ini kita berpeluang menyelak dan membaca himpunan hadis oleh ulama seperti Imam Bukhari, Muslim dan seangkatan dengan mereka.
Malah dalam tamadun besar seperti China, budaya penulisan cukup hebat dan dihimpunkan dalam bentuk skrol-skrol yang disimpan dalam tempat khas sehingga kebanyakannya musnah kesan daripada peperangan antara kerajaan kota. Betapa pentingnya penulisan pada zaman dahulu memperlihatkan bagaimana usaha tentera yang berjaya mengalahkan pihak musuh akan merampas hasil-hasil tulisan terdahulu untuk disimpan atau dibakar supaya ia tidak dibaca oleh generasi seterusnya. Ia tidak ubah seperti kisah Baghdad dilanggar bala tentera Monggol dan menjadikan buku-buku dan catatan sebagai jambatan merentasi sungai untuk kuda-kuda mereka.
Inilah kehidupan, sama ada kita menjadi agen perubahan atau mangsa keadaan. Penulisan adalah salah satu cabang usaha untuk mengubahnya agar manusia sentiasa ingat tentang kelemahannya, sedar apa yang perlu dilakukan. Idea-idea bernas dan teliti para pembaca melalui satu perbincangan umum dapat dijana melalui dunia penulisan. Usaha yang sekecil anak hari ini membawa hasil yang di luar jangkauan seandainya ia dilakukan dengan penuh keinginan ke arah kebaikan.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home