Tuesday, July 19, 2005

Celikkan pengurusan kewangan Melayu

21/11/2003
Penguasaan kaum Cina dalam modal saham di negara ini dilaporkan melebihi kaum Melayu dengan jumlah keseluruhan RM159.8 bilion berbanding RM73.2 bilion. Keadaan ini menunjukkan satu lagi kekurangan orang Melayu yang besar dari sudut kualiti pengurusan hidup dan kewangannya yang tidak selaras dengan kedudukannya sebagai majoriti rakyat Malaysia.
Salah atau silapnya orang Melayu tidak wajar dilabelkan dengan identitinya dan warna kulit. Ini lebih jelas membuktikan masalah perubahan sikap kita masih di takuk lama.
Kita masih tertanya-tanya bagaimana pula Indeks Syariah di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) telah dilancarkan pada bulan April 1999 dengan bilangan saham komponen 727, sejauh mana peluang melibatkan pelaburan dalam pasaran saham yang sah dari sudut syariah Islam digunakan sebaik-baiknya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Menteri Kewangan menyifatkan, pemilikan saham bumiputera terjejas kerana kerapuhan perusahaan yang kurang kepakaran, rangkaian, jalinan, pengalaman, sumber serta modal yang menyebabkan mereka mudah terjejas oleh pergolakan ekonomi.
Keadaan ini adalah faktor-faktor luaran yang mendesak keadaan ini berlaku, dan dalam keadaan yang sama, kurangnya orang Melayu dalam pelaburan saham adalah disebabkan nilai pemikiran yang didukung dan diwarisi oleh kita.
Kesedaran untuk meningkatkan jumlah pelabur Melayu hanya akan berjaya jika kesedaran dalaman dapat ditimbulkan iaitu rasa cinta ilmu, berani mencuba, pandangan berorientasi masa hadapan dan sanggup bekerjasama.
Tidak ramai yang mengetahui asas ilmu-ilmu pelaburan dan lebih penting lagi, peluang-peluang yang bakal diraih pada masa hadapan. Kesannya, kita kembali kepada keadaan di mana kecenderungan orang Melayu menyerahkan peluang yang sebenarnya mampu menjadi milik kita kepada orang lain.
BSKL telah menganjurkan kursus-kursus, siri-siri kesedaran dan kepentingan pelaburan saham, di sini kita perlu bertanya sejauh mana sambutan Melayu terhadap usaha-usaha sebegini atau mungkin usaha sedemikian perlu diubah pendekatan agar lebih ramai yang akan buka mata?
Saham amanah yang diperkenalkan kerajaan sedikit sebanyak menyelamatkan keadaan, tetapi untuk berapa lama tidak dapat dipastikan selagi orang Melayu mahu kekal dengan keadaan yang sedia ada.
Dalam membicarakan tentang skop pelaburan mencecah berbilion ringgit ini, kita perlu kembali kepada perkara asas yang sewajarnya diketahui dan dipraktikkan iaitu kesedaran dalam pengurusan kewangan.
Ia satu bidang ilmu yang berkembang dan menjadi kemestian bagi setiap daripada kita untuk mengetahui dan mempelajarinya dan diserapkan dalam pendidikan generasi muda untuk diamalkan generasi hari ini.
Pengurusan kewangan tidak sekadar mendedahkan cara menyimpan wang semata-mata tetapi pendedahan yang lebih penting lagi ialah mengetahui sistem dan kaedah menambah nilai kewangan.
Salah satu cara yang boleh diterapkan agar ia dapat membuka minda bangsa kita agar peka dengan keadaan ini ialah melalui sistem pendidikan. Robert T Kiyosaki membuktikan kesedaran pendidikan pengurusan kewangan dapat diterapkan kepada generasi muda sebagaimana disebutkan dalam bukunya Rich Dad Poor Dad dengan pendekatan yang kreatif.
Kematangan pelajar khususnya di tingkatan enam memungkinkan pengajian pengurusan kewangan dikembangkan. Hari ini kita dilatih oleh sistem pendidikan melalui buku-buku teks yang mengajar mengira untung rugi sebuah syarikat atau perniagaan orang lain, tetapi kita tidak diajar dan disoal bagaimana mengurus dan mengira untung rugi perniagaan sendiri.
Jika demikian, manakan mungkin sikap tanggungjawab dan serius dalam tindakan yang melibatkan untung nasib kewangan sendiri dapat diterapkan?
Mahasiswa dalam apa jua aliran kemanusiaan, ekonomi mahupun sains perlu didedahkan kepada siri-siri kursus asas yang dianjurkan dalam kampus agar mereka yang lebih berpengetahuan dan berjaya dalam pengurusan kewangan melalui pelaburan saham, insurans atau sebagainya dapat menerapkan nilai-nilai kesedaran untuk perancangan kewangan masa hadapan mereka.
Napoleon Hill pengarang buku Think and Grow Rich melalui kaji selidik ke atas sejumlah pelajar universiti ketika mana mereka masih menuntut, mendapati majoriti mahasiswa gagal dalam kehidupan masing-masing dari sudut kerjaya dan kewangan kerana tiada matlamat dan perancangan yang tersusun jelas.
Dasar-dasar kerajaan dalam memperkembangkan ekonomi negara akan terus berjalan demi kemajuan bangsa dan negara, tetapi penting juga digerakkan inisiatif rakyat untuk membuka minda dan mengurus kewangan masing-masing. Apabila berbicara tentang modal saham Melayu hari ini kita sebenarnya berbalik kepada perkara asas iaitu ilmu dan kesedaran. Ñ Zamri Mohamad, Melaka.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home