Saturday, January 14, 2006

Ma'aruf Kolej Ali Abi Talib bina jaringan persahabatan global

Utusan Malaysia
Ma'aruf Kolej Ali Abi Talib bina jaringan persahabatan global
Oleh ZAMRI MOHAMAD

YANG jauh didekatkan, yang dekat dimesrakan. Itulah ungkapan yang paling sesuai untuk menggambarkan suasana penuh persaudaraan sepanjang program Ma’aruf Kolej Kediaman Ali Ibn Abi Talib, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada awal Disember lalu.

Program yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Perwakilan Mahallah Ali (MRC) itu mempunyai keistimewaan tersendiri, iaitu menemukan para pelajar dengan saudara-saudara seagama dari pelbagai negara yang datang ke Malaysia untuk melanjutkan pengajian.

Pengarah Program Ma’aruf, Wan Muhammad Haeqal Wan Husin berkata, “Agenda Ma’aruf bukan sahaja mengalu-alukan kehadiran mereka di sini, tetapi fokus kami ialah memberi ruang untuk mereka mempelajari dan memahami budaya serta cara hidup masyarakat Islam di negara-negara naungan OIC dalam proses mereka membentuk jalinan persahabatan baru."

Tambah beliau, Ma’aruf yang dirancang sebagai satu program tahunan itu juga membuka peluang untuk para pelajar bukan beragama Islam yang bakal mendiami kolej kediaman tersebut mendapatkan perspektif yang sebenar tentang pengamalan Islam di kalangan para pelajar Islam.

Dalam ucapannya ketika melancarkan program itu, Pengetua kolej, Fauzi Muda meminta para pelajar dalam dan luar negara menggunakan program itu untuk saling berinteraksi dan pada masa yang sama mempamerkan keunikan kolej tersebut melalui kerjasama dalam pelbagai acara yang dianjurkan.

Program sehari itu yang melibatkan beberapa aktiviti berkumpulan turut mendapat sambutan yang baik di kalangan pelajar yang kebanyakannya berasal dari Arab Saudi, Jordan, Bosnia-Herzegovina, Indonesia dan Thailand.

Mujahid, 19, dari Thailand menyifatkan Ma’aruf sebagai satu program yang sedikit sebanyak memberi keselesaan kepada pelajar asing yang baru pertama kali berada di Malaysia.

Kata beliau, program seperti itu harus dianjurkan agar perbezaan yang dibawa oleh mereka dari negara masing-masing dapat difahami dan diserasikan untuk memupuk hubungan persaudaraan Muslim yang lebih erat.

Pada masa yang sama ia akan mendedahkan mereka kepada peraturan dan disiplin kehidupan di kolej.

Kolej Kediaman Ali adalah kolej ke lima di UIAM yang siap dibina pada tahun 1997. Ia merupakan salah satu kolej yang paling aktif dengan program pelajar. Pengurusan kolej ini menggalakkan penglibatan dan integrasi pelajar tempatan dan antarabangsa melibatkan aktiviti kebudayaan, intelektual, sukan dan kembara.

Selepas program berakhir, peserta program Ma'aruf itu diraikan pada satu majlis makan malam dan penyampaian hadiah.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home