Thursday, April 20, 2006

Wasilah informasi Islam kontemporari

Bicara Agama

Wasilah informasi Islam kontemporari
Oleh ZAMRI MOHAMAD
Utusan Malaysia 20 April 2006



SEPAKAT... Nazir Idris (kanan) dan Mohd. Rais Alias (kiri) bertukar-tukar dokumen selepas menandatangani perjanjian kerjasama dua hala antara PPZ MAIWP dengan Ansar Channel.

SANTAI dan bermaklumat. Itulah gambaran yang bertepatan untuk 13 siri musim pertama program televisyen terbaru yang bakal disiarkan di Ansar Channel, stesen penyiaran Islam ulung di Malaysia bermula Jun ini.

Siri perbincangan Pusat Pungutan Zakat (PPZ) di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Ansar Channel telah membuahkan kesepakatan dalam program berunsur Islam, Wasilah, yang bertepatan dengan keperluan penonton negara ini. Wasilah yang diterbitkan oleh PPZ MAIWP membawa maksud penghubung. Ia akan bersiaran setiap minggu dengan tempoh siaran 30 minit melibatkan empat segmen setiap siri.

Segmen Lensa menayangkan klip video nasyid terpilih yang bersesuaian dengan tema siri pada minggu tersebut. Segmen Nur Kalam membincangkan tentang tema yang diutarakan pada setiap minggu dengan gaya santai dan pengisian ringan.

Personaliti merupakan segmen ketiga yang mengetengahkan tokoh-tokoh korporat yang berjaya. Segmen Sana Sini pula berbentuk berita seminggu PPZ serta paparan-paparan penting untuk komuniti Islam.

Pengurus Besar PPZ MAIWP, Mohd. Rais Alias berkata, pihaknya tahu bahawa para penonton di Malaysia tidak mempunyai pilihan yang banyak. Kekosongan yang wujud sememangnya wajar diisi dengan rancangan berunsur agama dalam versi baru.

Pada majlis pelancaran program Wasilah di dewan Masjid As-Syakirin, KLCC, Kuala Lumpur, beliau berkata, pemilihan masjid sebagai lokasi pelancaran Wasilah membuktikan fungsi masjid adalah pelbagai. Ia tidak terhad kepada solat semata-mata dan boleh dikembangkan kepada aktiviti masyarakat yang universal.

Pengarah Urusan Ansar Channel, Nazir Idris menambah, Wasilah bakal ditonton dengan teknologi tercanggih masa kini. Kemudahan teknologi 3G yang bakal diaplikasi dalam penyiaran rancangan-rancangan MiTV bakal memberi peluang kepada orang ramai mengikutinya di mana sahaja.

Nilai komersial dan hiburan bermaklumat berteraskan Islam menerima permintaan dan respons yang tinggi pada masa kini.

Pada masa yang sama, rancangan-rancangan agama tempatan turut menjadi tumpuan masyarakat Asia Barat dan perbincangan untuk mewujudkan kerjasama mengalih bahasa program-program ini bakal diadakan.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home