Sunday, October 30, 2005

Pidato proses perkembangan minda

Ruangan Surat dan E-mail
Berita Harian
Sabtu 29 Oktober 2005

Pidato proses perkembangan minda

APABILA Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Shafie Salleh, mencadangkan untuk mengkaji semula Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), khususnya membenarkan sudut penceramah di universiti, beliau secara langsung membuat satu janji besar dengan penuntut di seluruh negara.

Sebahagian besar melihat arus perubahan ini sebagai satu pendekatan yang bukan saja meletakkan pelajar kampus dalam satu perjalanan masa depan yang berbeza, tetapi ia juga memberi satu dimensi dalam mewujudkan hubungan baru di antara kementerian dan pelajar institusi pendidikan tinggi awam (IPTA).

Dr Shafie mempunyai pendekatannya sendiri dalam membina kerjasama dengan warga kampus dalam etika profesional yang layak diberi perhatian.

Budaya pidato bukan satu perkara baru dalam dunia akademik tinggi.

Pidato itu sendiri adalah satu rentetan perjalanan sejarah yang panjang dan memberi kesan kepada pemikiran serta tingkah laku manusia secara langsung.

Namun, apabila sudut penceramah di universiti dikatakan sebagai satu tindakan yang akan memberi peluang seluas-luasnya untuk membangkitkan isu sensitif secara terbuka ia menjadi satu kenyataan jenaka bagi mereka yang mengikutinya.

Konteks yang lebih luas harus dilihat dalam memberi ruang untuk mewujudkan semula sudut sebegini, tambahan lagi ia bukan saja satu keuntungan individu atau universiti semata-mata tetapi ia adalah satu pelaburan besar untuk kerajaan.

Dalam tempoh 20 tahun akan datang, pembentukan generasi penuntut hari ini harus mempunyai perkembangan minda yang peka terhadap isu semasa, bukan dengan lontaran kemarahan dan memprotes semata-mata.

Mereka harus berani mengeluarkan satu resolusi, cadangan dan idea yang boleh diaplikasi terus kepada masyarakat.

Perkara ini adalah satu bentuk latihan jangka panjang dan ruang universiti sememangnya satu lokasi yang bagus untuk memulakan agenda pemikiran bangsa yang berkaliber untuk menjadi pemimpin dunia akan datang.

Meskipun penyampainya kelak bukan berakhir sebagai ahli politik, namun proses pembinaan minda kritisnya secara langsung memberi keyakinan kepadanya untuk menerokai ruang kerjaya baru yang memerlukannya menonjol dalam khalayak.

Ia mewujudkan warga negara berkualiti yang boleh menyumbang.

Sejak dulu lagi, pendekatan yang sama diaplikasi dalam perniagaan antarabangsa.

Sememangnya satu garis panduan diperlukan dalam mewujudkan sudut penceramah di universiti agar ia menghormati peraturan universiti dan kehendak kementerian.

Wednesday, October 05, 2005

Kaunseling secara Islam alternatif capai sasaran

Bicara Agama
Utusan Malaysia
Kaunseling secara Islam alternatif capai sasaran
Oleh: ZAMRI MOHAMAD
6 Oktober 2005

ANGGAPAN bahawa kaunseling hanyalah untuk `pesakit mental' telah lapuk dan tidak dapat diterima oleh masyarakat. Satu alasan yang tidak meyakinkan tetapi masih ada stigma yang dikaitkan dengan kaunseling.

Ramai individu dan keluarga mula mendapatkan bantuan profesional dalam menangani trauma kehidupan dalam dunia yang penuh pergolakan.

Dalam dunia yang penuh cabaran dan peluang, kaunseling dapat dijadikan pilihan terbaik untuk individu, pasangan dan keluarga yang mengharapkan peningkatan dalaman dan kesejahteraan hidup.

Dengan tema, Jernih Jiwa, Subur Bangsa: Kaunseling untuk individu di rumah dan di tempat kerja menurut perspektif Islam ke arah kesejahteraan bangsa, Pusat Psikologi Gunaan, Jabatan Psikologi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), menganjurkan Seminar Kebangsaan Psikologi Gunaan pada September 2005.

Seminar yang diadakan di Pusat Aktiviti dan Kebudayaan (CAC) UIAM bertujuan memberi pendedahan dan pendekatan terkini teknik-teknik kaunseling terkini untuk semua lapisan masyarakat, keluarga, tenaga-tenaga kaunselor, kakitangan kerajaan dan swasta dalam pelbagai sektor, meliputi organisasi perkhidmatan awam, pendidikan dan perindustrian di Malaysia.

Seminar ini adalah satu usaha bagi mempertingkatkan dan mengete-ngahkan kaunseling dari perspektif Islam. Usaha ini merupakan sebahagian daripada sumbangan kepada ummah sebagai alternatif terkini dalam meningkatkan kualiti jiwa individu dalam ruang hidup yang dilalui.

Ia dirancang untuk menjadi acara tahunan kepada ahli psikologi Islam dari seluruh dunia bagi menghasilkan pendekatan Islam yang praktikal sebagai penyelesaian menyeluruh bagi jiwa yang kosong.

Matlamat ke arah jiwa yang sihat dan kemajuan serta perkembangan bangsa adalah agenda utama yang direncanakan sebagai hasil melalui pendedahan praktikal kaunseling secara Islam dalam seminar ini.

Amalan, cabaran dan pengalaman kaunselor-kaunselor dalam kaunse-ling diketengahkan sepanjang seminar ini. Tokoh-tokoh terkenal dan berwibawa yang membentangkan kertas kerja ialah Dr. Uthman El-Muhammady dan Profesor Dr. Malik Badri.

Demonstrasi kaunseling berkelompok dan teknik kaunseling serta tayangan video turut diadakan kepada peserta-peserta bengkel.