Monday, January 30, 2006

Keganasan tidak atasi masalah

Berita Harian
Ruangan Pendapat
Sabtu 21 Januari 2006
Insiden melibatkan tindakan seorang pegawai Jabatan Pengangkutan Jalanraya (JPJ) membaling kerusi ke arah seorang remaja tidak berlesen yang merempuh sekatan lalu lintas.

Akibatnya, merugikan kedua-dua pihak. Si pesalah jalan raya bersama-sama pegawai yang bertanggungjawab bukan sahaja mengalami kecederaan yang teruk, malah kedua-duanya bakal dikenakan tindakan undang-undang seandainya didapati bersalah. Kejadian ini mendedahkan satu sudut yang menarik untuk dianalisa. Pertama, tindakan pesalah lalu lintas yang membahayakan nyawa para pegawai disertai dengan tindakan orang kampung yang datang membelasah pegawai yang bertanggungjawab.

Kawalan emosi dan rasional dalam tindakan adalah perkara utama yang harus dilihat dalam peristiwa ini. Penulis mengandaikan sikap marah mencetuskan konflik dan tindakan yang kurang wajar ke atas kedua-dua pihak, baik yang bertanggungjawab melaksanakan undang-undang mahupun penduduk kampung.

Namun dari satu sudut lain, satu sikap lain yang timbul. Jika diulang semula kejadian tersebut dengan menjadikan pegawai tersebut mangsa korban langgar lari remaja tidak berlesen, persoalan timbul sama ada penduduk kampung dan ibu bapa keluarga itu sendiri hendak bertanggungjawab. Setidak-tidaknya dengan mengeluarkan wang simpanan mereka sebagai pampasan untuk ahli keluarga para pegawai tersebut.

Awal kejadian banyak memperlihatkan pegawai JPJ lebih silap dari betulnya sehingga kelihatan seperti penjenayah yang beruniform. Hari ini, imbangan media memberi ruang menganalisa semula tindakan remaja tersebut dan impliukasinya.

Penulis beranggapan sikap pihak tertentu yang memberikan 'buah tangan' kerana simpati atas apa yang menimpa remaja tersebut seolah-olah ganjaran terhadap salah lakunya. Sedangkan apa yang berlaku ke atas kedua-dua pegawai JPJ seperti hukuman ke atas kesalahan mereka seratus peratus.

Terdahulu, kejadian langgar lari yang menyebabkan kecederaan kritikal dan kematian banyak melibatkan anggota polis. Namun, paling jauh yang dapat dilakukan ialah menangkap dan menghadapkan pesalah ke muka pengadilan. Tidak ada pula peristiwa membelasah yang dilakukan oleh orang awam sebagaimana yang berlaku dalam kejadian terbaru ini.

Remaja tersebut bakal berhadapan dengan tuduhan tujuh jenis kesalahan. Tidak ada sesiapa antara mereka yang akan membiayai perbelanjaan turun naik mahkamah melainkan ahli keluarga dan ibu bapanya.

Pada masa yang sama, keluarga pelajar terbabit memohon ganti rugi yang agak besar jumlahnya, implikasinya antara kedua-dua pihak kelihatan neghatif pada masa akan datang. RM 130, 000 adalah jumlah yang sangat besar sebagai pampasan, persoalannya dapatkah ia menyelesaikan setiap pertuduhan ke atas pelajar tersebut?

Kali ini masyarakat harus tahu apakah yang perlu diambil khususnya penduduk kampung yang bertanggungjawab dalam insiden tersebut untuk membela keadaan keluarga ini. Mungkin, mereka merasakan cukup dengan kaki dan tangan yang dijadikan hakim ke atas pegawai-pegawai JPJ dalam kejadian tersebut.

Masyarakat harus bersikap rasional dengan tindakan mereka. Moral memerlukan satu kawalan emosi dan nilai kefahaman agama yang tinggi dalam berhadapan dengan sebarang situasi.

Masyarakat kelas pertama di Malaysia melibatkan warga kampung dan bandar harus mempunyai daya pemikiran yang tahu menilai perkara yang betul atau sebaliknya. Seandainya kejadian ini berulang lagi, tidak ada satu pun nilai etika dapat ditegakan dan diamalkan.

Moga-moga kejadian ini menjadi satu iktibar yang besar buat pengamal undang-undang dan masyarakat bahawa buku lima dan sepak terajang bukan penyelesaian mutlak.

Saturday, January 14, 2006

Ma'aruf Kolej Ali Abi Talib bina jaringan persahabatan global

Utusan Malaysia
Ma'aruf Kolej Ali Abi Talib bina jaringan persahabatan global
Oleh ZAMRI MOHAMAD

YANG jauh didekatkan, yang dekat dimesrakan. Itulah ungkapan yang paling sesuai untuk menggambarkan suasana penuh persaudaraan sepanjang program Ma’aruf Kolej Kediaman Ali Ibn Abi Talib, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada awal Disember lalu.

Program yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Perwakilan Mahallah Ali (MRC) itu mempunyai keistimewaan tersendiri, iaitu menemukan para pelajar dengan saudara-saudara seagama dari pelbagai negara yang datang ke Malaysia untuk melanjutkan pengajian.

Pengarah Program Ma’aruf, Wan Muhammad Haeqal Wan Husin berkata, “Agenda Ma’aruf bukan sahaja mengalu-alukan kehadiran mereka di sini, tetapi fokus kami ialah memberi ruang untuk mereka mempelajari dan memahami budaya serta cara hidup masyarakat Islam di negara-negara naungan OIC dalam proses mereka membentuk jalinan persahabatan baru."

Tambah beliau, Ma’aruf yang dirancang sebagai satu program tahunan itu juga membuka peluang untuk para pelajar bukan beragama Islam yang bakal mendiami kolej kediaman tersebut mendapatkan perspektif yang sebenar tentang pengamalan Islam di kalangan para pelajar Islam.

Dalam ucapannya ketika melancarkan program itu, Pengetua kolej, Fauzi Muda meminta para pelajar dalam dan luar negara menggunakan program itu untuk saling berinteraksi dan pada masa yang sama mempamerkan keunikan kolej tersebut melalui kerjasama dalam pelbagai acara yang dianjurkan.

Program sehari itu yang melibatkan beberapa aktiviti berkumpulan turut mendapat sambutan yang baik di kalangan pelajar yang kebanyakannya berasal dari Arab Saudi, Jordan, Bosnia-Herzegovina, Indonesia dan Thailand.

Mujahid, 19, dari Thailand menyifatkan Ma’aruf sebagai satu program yang sedikit sebanyak memberi keselesaan kepada pelajar asing yang baru pertama kali berada di Malaysia.

Kata beliau, program seperti itu harus dianjurkan agar perbezaan yang dibawa oleh mereka dari negara masing-masing dapat difahami dan diserasikan untuk memupuk hubungan persaudaraan Muslim yang lebih erat.

Pada masa yang sama ia akan mendedahkan mereka kepada peraturan dan disiplin kehidupan di kolej.

Kolej Kediaman Ali adalah kolej ke lima di UIAM yang siap dibina pada tahun 1997. Ia merupakan salah satu kolej yang paling aktif dengan program pelajar. Pengurusan kolej ini menggalakkan penglibatan dan integrasi pelajar tempatan dan antarabangsa melibatkan aktiviti kebudayaan, intelektual, sukan dan kembara.

Selepas program berakhir, peserta program Ma'aruf itu diraikan pada satu majlis makan malam dan penyampaian hadiah.