Tuesday, July 19, 2005

Berbeza pendapat bukan bermakna tidak sepakat

07/06/2005
``APA yang saya kata semuanya betul, kata-kata awak tadi semuanya salah!''
Jika inilah cara seseorang memberi dan menerima pandangan orang lain dalam interaksi seharian, di penghujungnya dia hanya mempunyai ramai musuh berbanding kawan. Apatah lagi hendak mencari seorang pendengar yang baik, belum tentu ditemuinya.
Kita sentiasa berhadapan dengan jawapan ``ya'' atau ``tidak'' terhadap buah fikiran yang dilontarkan, sama ada dalam wacana ilmu, dakwah atau pun sekadar perbualan seharian.
Muslim yang bijaksana tidak harus cepat melatah dengan jawapan-jawapan negatif yang diterimanya.
Janganlah cepat membuat andaian dan sangkaan buruk terhadap individu tersebut, sekiranya pandangannya tidak memenuhi kehendak kita.
Kepelbagaian pendapat adalah sesuatu yang lumrah dan ia wujud bersama-sama kepelbagaian bangsa, bahasa dan jenis ilmu serta pengalaman yang diperoleh.
``Tidak'' terhadap pandangan anda bukanlah bermaksud individu tersebut membenci atau merendah-rendahkan idea-idea anda.
Terdapat beberapa kaedah bagaimana berhadapan dengan kepelbagaian pendapat dalam proses interaksi manusia seharian, dan bagaimana anda hendak menyampaikan pandangan yang berbeza secara berkesan:
1. Ketahui latar belakang individu yang mengeluarkan pandangan itu.
Presiden Yayasan Penyelidikan Islam Antarabangsa, Louisville, Amerika, Dr. Ibrahim Syed menyarankan agar dalam berhadapan dengan kepelbagaian pendapat, seseorang harus melihat siapakah individu yang mengeluarkan pandangan tersebut, sama ada beliau mempunyai autoriti ilmu untuk mengatakannya. Adakah beliau seorang radikal, cepat melatah, sukar menerima pandangan baru atau mempunyai pengalaman yang buruk terhadap isu yang dibincangkan.
2. Kebenaran dalam sesuatu pandangan mempunyai
tempoh matangnya.
Nabi Muhammad s.a.w. menerima penolakan yang cukup lama dalam menyampaikan kebenaran, sehinggalah Baginda berjaya menyedarkan masyarakat Jahiliah bahawa kebenaran itu adalah sesuatu yang tidak dapat dinafikan lagi.
Sejarah membuktikan terdapat individu-individu yang tidak popular lantaran kebenaran yang cuba disampaikan kepada masyarakat ketika itu bertentangan dengan idea dan pendapat mereka.
Ibn Sina, Al-Biruni, Ar-Razi, Ibn Nafis, Ibn Haythem, Socrates, Galileo, Newton dan Einstein menerima penolakan dalam bidang masing-masing, sehinggalah ia diakui oleh masyarakat hari ini.
3. Berbeza pendapat dalam komuniti adalah ciri masyarakat bertamadun.
Islam tidak mengajar pendekatan diktator dalam interaksi. Malah dalam hal yang bersangkut paut dengan perbezaan agama dalam sebuah masyarakat majmuk, dialog adalah perkara yang digalakkan.
Dalam sirah Rasulullah dikisahkan bagaimana gerombolan Nasrani datang ke Madinah, dan berinteraksi dengan Baginda berkenaan isu-isu ketuhanan di Masjid Nabawi sehinggalah pengislaman sebahagian mereka.
Keterbukaan Rasulullah membincangkan isu tersebut dengan membuka peluang untuk mereka menyatakan pandangan mereka, dan mesej Islam disampaikan selepas itu untuk menjelaskannya, membuktikan dua pandangan yang berbeza dapat diserasikan atas satu jalan kebenaran, apabila dilakukan dengan cara yang betul.
4. Memahami mengapa perbezaan tersebut berlaku.
Penerbit siri Opposing Viewpoints, David L. Blender dari San Diego, California mengatakan, ``Untuk mendapatkan kefahaman yang betul tentang pandangan seorang individu, adalah penting untuk memahami apakah titik punca ketidaksetujuannya.
``Kita boleh mengatakan, tanpa memahami titik punca itu juga tidak memahami apa yang ingin disampaikannya sendiri. Perbezaan pendapat tetap berlaku tetapi terdapat juga persamaan yang perlu diakui kedua-dua pihak.
``Persamaan tersebut harus diterima dan memfokus kepada isu yang belum mencapai kata sepakat.''
5. Jangan bermula dengan andaian, dengarlah terlebih
dahulu.
Sangkaan bahawa orang lain silap dan diri sentiasa betul, adalah tindakan yang perlu dikawal kerana ia akan membuat diri bersikap tuli terhadap apa sahaja yang dikatakan oleh individu tersebut.
Bersikap terbuka dalam menilai setiap pandangan, dan jadilah pendengar yang baik. Hikmah lebih banyak mendengar berbanding berkata-kata, menjadikan anda mempelajari lebih banyak mengenainya.
6. Jangan terburu-buru untuk marah dan melenting,
bersabarlah.
Marah bukan sahaja membuatkan seseorang berkata-kata dengan suara yang keras dan menghukum, malah pada masa yang sama mengurangkan keceriaan wajah dengan kerut-kerut kebengisan yang terpamer di muka.
Ada keadaan yang membawa kepada perasaan sedemikian, mungkin ia sekadar untuk menguji sikap anda oleh individu tersebut.
7. Membuat kenyataan-kenyataan yang melampau-lampau tidak
akan membantu.
Perkara yang benar tidak akan berdiri dengan sikap manusia yang mempertahankannya dengan cara yang tidak betul. Acapkali kecenderungan individu membesar-besarkan sesuatu perkara dengan kenyataan-kenyataan yang aneh dan ganjil untuk memenangkan pendapatnya.
Penipuan dilakukan untuk menutup pandangan individu yang mendengar. Bersikap sederhana dalam memberi pandangan dan katakanlah sesuatu yang tidak melampaui saranan al-Quran dan sunah.
Meskipun individu tersebut tidak menerima pandangan anda, sekurang-kurangnya tindakan anda berkata benar akan menimbulkan rasa hormat dan akan membuatnya berfikir kelak.
8. Kepercayaan hanya satu cara terbaik, akan menjarakkan perpaduan.
Dalam gerakan-gerakan Islam, satu perkara yang perlu dijauhi ialah mempercayai bahawa gerakan Islam yang disertainya adalah satu-satunya yang terbaik, bukannya kelompok-kelompok yang lain.
Wujudlah penolakan dan jarak dalam semangat persaudaraan. Setiap gerakan Islam harus sentiasa belajar dan berkongsi persamaan dan perbezaan antara satu sama lain.
Kebanyakan gerakan Islam di dunia lahir daripada kemahiran yang berbeza, misalnya satu gerakan memfokuskan usaha dakwah melalui usaha-usaha kemanusiaan, satu lagi dalam bidang sains dan teknologi, begitulah seterusnya

Kemarahan melampau - Jangan biar syaitan kuasai diri

30/05/2005
APABILA manusia diciptakan, Allah mencipta juga pelbagai bentuk emosi dan keinginan. Ia meliputi kualiti-kualiti positif seperti mengenali kebenaran dan tahu bagaimana menterjemahkannya dalam kehidupan, kasih sayang, belas ihsan bersama keperluan fisiologi yang lain seperti rasa dahaga, lapar dan seumpamanya.
Dalam masa yang sama, wujud juga kualiti-kualiti negatif seperti rasa marah dan benci yang membawa kepada kesan buruk, jika tidak dapat dikawal. Para malaikat ketika penciptaan Adam menyedari hal ini. Ia disebut dalam al-Quran:
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat: ``Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi.'' Mereka bertanya (tentang hikmah ketetapan Tuhan itu dengan berkata): ``Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu?'' Tuhan berfirman: ``Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya. (Al Baqarah:30)
Keagungan Allah dengan sifatnya yang Maha Bijaksana tidak meninggalkan manusia dengan memiliki kedua-dua kualiti tersebut tanpa ada mekanisme yang mengawalnya. Hakikat kelemahan manusia cuba digunakan oleh syaitan yang sentiasa menggoda dari pelbagai penjuru untuk menimbulkan sifat haiwaniah dalam diri manusia. Inilah yang terjadi dalam dunia yang menterjemah pegangan moral mengikut definisi logiknya sahaja sehingga membunuh nilai moral sebenar.
Hasutan terhadap emosi manusia merupakan peranan syaitan untuk menjadikan manusia gagal mengawal dirinya dan bertindak di luar batasan. Sifat marah adalah fitrah manusia untuk memiliki emosi sedemikian, namun ia akan menimbulkan masalah apabila manusia menjerumuskan keseluruhan dirinya dalam kemarahan melampau.
Dr. Shalid Athar menjelaskan, kemarahan tanpa kawalan menjadikan manusia bertindak tanpa berfikir dan cenderung untuk bertindak balas mengikut keinginannya semata-mata. Namun, manusia dengan kelebihan yang diberikan Allah mempunyai pilihan, sama ada mengawal sifat tersebut atau cenderung mengikut keinginan jahat si syaitan.
Kehilangan rasa tenang adalah salah satu petanda kemarahan sedang menguasai minda dan hati. Ia menolak apa jua pertimbangan dan membuat tindakan membuta tuli sehingga pada akhirnya timbul penyesalan dan kemurungan. Kebiasaannya rasa marah timbul apabila berlaku provokasi luar jangka dan situasi yang menekan.
Masyarakat dalam berhadapan dengan jenayah sentiasa mendapati tindakan-tindakan tersebut berpunca daripada rasa marah yang mendalam terhadap sesuatu, sehingga menjadikan setiap perbuatan lebih kepada bermotifkan balas dendam. Ia tidak sekadar boleh membawa kecederaan secara fizikal atau lisan terhadap orang lain malah terhadap diri.
Bahkan, apabila kemarahan dilepaskan ke atas sekelompok manusia secara zalim dan tidak berperikemanusiaan, maka ia menjadi satu tindakan keganasan yang sama sekali menolak keadilan yang menjadi dasar perjuangan Islam sebagai cara hidup. Begitu juga apabila kemarahan timbul terhadap umat Islam dengan tindakan yang membahayakan minoriti umat Islam di beberapa buah negara, yang didiskriminasi dan ditindas, kesan gerakan Islamophobia terancang bermatlamatkan kebencian dan ketakutan.
Secara biologinya, apabila seseorang dalam keadaan marah, dua jenis hormon akan terhasil; hypoglycemia dan hyperthyroidism yang mempengaruhi tindak balas dan emosi seseorang. Namun dalam kebanyakan kes yang jelas terbukti, menunjukkan marah adalah satu bentuk emosi yang boleh dikawal manusia. Rasulullah menjadi model paling jelas dalam sejarah manusia, yang membuktikan rasa marah bukanlah satu penyelesaian, sebaliknya ia adalah pilihan untuk dikawal manusia.
Kita cenderung berasa marah dalam apa jua situasi. Seorang majikan mungkin merasa marah dengan sikap pekerja, seorang guru atau pensyarah berasa demikian ke atas para pelajar yang degil, seorang anak mungkin tidak berpuas hati dan marah terhadap keputusan ibu dan ayah. Tetapi apakah pendekatan Rasulullah terhadap rasa marah ini?
Ingatlah bahawa Rasulullah sama sekali tidak pernah marah secara melampau, malah Baginda bersungguh-sungguh memperjuangkan nilai moral yang tinggi. Dalam satu riwayat disebutkan datang tiga orang sahabat bertanyakan kepada Baginda, apakah bentuk amal kebajikan yang bermanfaat untuk dibawa ke akhirat. Manakala sahabat yang kedua dan ketiga menanyakan apakah yang menyelamatkannya daripada kemurkaan Allah dan mendapat kemuliaan-Nya. Daripada ketiga-tiga persoalan ini, hanya satu jawapan daripada Rasulullah, Kawallah kemarahanmu.
Rasulullah turut memperingatkan dalam hadis bahawa manusia yang gagah adalah manusia yang dapat mengawal kemarahannya. Kejayaan seseorang mengawal rasa marah menjadikan nilai dirinya lebih tinggi sama ada di sisi Tuhan dan masyarakat kerana kebijaksanaanya. Marah yang melampau tidak jauh bezanya dengan kemabukan. Dalam kedua-dua keadaan, seseorang tidak tahu apa yang dilakukannya dan berakhir dengan mencederakan diri dan orang lain beserta penyesalan.
Tanpa rasa marah juga adalah sesuatu yang tidak normal untuk seorang manusia. Marah turut wujud dalam keadaan yang positif apabila seseorang bersikap demikian terhadap penindasan, salah laku yang membawa bala dan kekufuran. Kejahatan akan subur sekiranya tidak ada manusia beriman menentangnya. Inilah pendekatan bertamadun dengan meluahkan rasa marah terhadap kerosakan sedemikian. Namun ia masih dalam kawalan kesedaran minda dan iman, bukan kemarahan secara membuta tuli, jauh sekali bersifat peribadi.
Ali bin Abi Talib membuktikan perkara ini. Beliau pernah diludah oleh musuhnya yang merupakan ketua perang Musyrikin ketika peperangan yang melibatkan kedua-dua kelompok. Namun ludahan Amr tidak membawa kepada hayunan pedang Ali ke atas tubuhnya. Sebaliknya Ali meninggalkannya kerana tidak mahu kemarahan bersifat peribadi sebagai keputusan untuk memenangkan tentera Muslim yang berjuang mempertahankan akidah.
Dalam dunia moden yang penuh persaingan, emosi manusia turut terlibat dalam perlumbaan kemajuan ini. Namun umat Islam hari ini menyedari kawalan emosi khususnya perasaan marah adalah sesuatu yang perlu dikawal agar keseimbangan hidup bermotivasi dapat dikekalkan. Di antara perkara yang boleh dilakukan apabila dalam situasi marah ialah:
1. Jangan terlalu cepat sensitif dan melatah dengan keadaan, sehingga membuat anda terburu-buru sama ada daripada emosi mahupun perbuatan. Selidik dan cari alternatif lain.
2. Alihkan perhatian anda dengan berundur daripada situasi yang tegang, menarik nafas sedalam-dalamnya dan biarlah akal mengimbanginya.
3. Beristighfar dan berdoa agar Allah melindungi diri daripada gangguan syaitan.
4. Ubah posisi fizikal anda, sama ada berbaring, berdiri, duduk atau pun bangun. Dari sudut bahasa badan, ia menandakan anda tidak berminat memanjangkan perbalahan yang mengakibatkan kemarahan.
5. Sentiasa mengingatkan diri bahawa kemarahan Allah terhadap kederhakaan kita jauh lebih besar daripada kemarahan kita terhadap sesuatu.
6. Sentiasa memaafkan kerana ia adalah sifat seorang mukmin yang memohon keampunan Allah.
7. Tanamkan rasa kasih terhadap manusia kerana Allah mempunyai rasa kasih terhadap hamba-hamba-Nya sebagaimana disebutkan dalam hadis Qudsi, Belas ihsan-Ku melebihi amarah-Ku.
8. Menunaikan solat dan meluahkannya serta bergantung harap kepada Allah terhadap apa yang berlaku melalui doa.
9. Terapi air melalui wuduk atau mandi untuk menyejukkan fizikal dan emosi. Minum atau biarkan sedikit air di dalam mulut sehinggalah individu yang cuba bertelagah kembali tenang.
10. Bertindak bertentangan, sentiasa melatih diri dengan suara minda bahawa anda seorang yang positif dan tenang, dan anda sentiasa sedar ada hikmah serta cubaan dalam setiap keadaan.

Mesej Islam - Letakkan niat dan sikap yang betul

05/05/2005
KESINAMBUNGAN mesej Islam turut terletak di bahu para penganutnya, sama ada lelaki mahupun wanita. Namun usaha dakwah dalam kelompok masyarakat yang dijalankan oleh setiap Muslim, memerlukan beberapa perkara penting yang perlu difahami untuk menggerakkannya sesuai dengan prinsip al-Quran dan sunah.
Bercerita tentang dakwah, ia meliputi perkara yang sangat besar daripada pengertiannya.
Dakwah bukan semata-mata bertujuan memaksa seseorang menerima Islam tetapi perkara paling penting ialah, memberi kefahaman apa yang terkandung dalam ajaran Islam.
Pilihan untuk menerima mesej atau sebaliknya adalah kehendak yang tidak boleh dipaksa-paksa. Perubahan adakalanya berlaku sekelip mata, dan ada yang memerlukan tempoh yang agak lama.
Untuk menyampaikan mesej Islam, dua unsur awal yang perlu ada ialah meletakkan niat dan sikap yang betul. Tanya kepada diri, adakah diri mempunyai keinginan yang mendalam untuk membawa seseorang menghampiri kebenaran? Mungkin sekadar untuk menunjukkan betapa hebatnya kepetahan kita dalam menyampaikannya? Adakah mesej dakwah kita sekadar untuk menunjukan kesilapannya semata-mata?
Perbaiki dan perbaharui niat setiap masa.
Niat adalah perbuatan yang perlu sering diperingatkan dan diperbaharui setiap masa, iaitu melakukannya demi mendapat keredhaan Allah.
Memiliki niat yang betul merupakan satu mujahadah yang besar kerana niat seringkali dicabar oleh keinginan-keinginan lain yang nampak menyeronokan, sama ada dalam bentuk pujian, penghargaan atau perasaan bangga kerana dilihat seperti berilmu. Pendekatan niat yang betul menentukan hala tuju dakwah yang sebenar.
Anda tahu apa yang dibicarakan.
Pastikan apa yang disampaikan adalah sesuatu yang diyakini tepat dan meyakinkan. Bersikap jujurlah jika tidak mengetahui. Carilah seorang guru untuk mendapatkan kepastian, dan sampaikan jawapan yang diingininya.
Kepura-puraan tidak dapat mempertahankan kebenaran, sebaliknya hanya menjejaskan dakwah yang disampaikan. Akibatnya umat Islam keseluruhannya menerima pandangan negatif daripada apa yang diinginkan.
Keadaan ini yang berlaku pada hari ini, misalnya perbincangan antara agama dan budaya dalam komuniti, kecenderungan mendengar cakap-cakap orang bukannya dengan mengkajinya sendiri, banyak menimbulkan kesan buruk sehinggakan kredibiliti penyampai dan agama yang dianutinya menjadi sasaran.
Pengetahuan memberi rasa yakin tanpa keraguan.
Islam mendidik keimanan dengan ilmu yang diwahyukan. Ilmu ini terus menjalar dalam hati setiap Muslim untuk meyakini tanpa keraguan, dan disebarkan terus ke setiap pendengaran manusia yang akhirnya melembutkan hati manusia lain menerima kebenaran.
Apa yang datang dari hati akan jatuh ke hati. Pepatah Arab menyebutkan, jika kita tidak memiliki, maka kita tidak akan dapat memberi.
Lakukan apa yang anda sampaikan.
Dakwah yang terbaik adalah melalui contoh teladan. Janganlah beria-ia membicarakan kejujuran dan amanah dalam Islam jika diri sentiasa menipu dan mengkhianati.
Lakukan dan terjemahkan keindahan dan kehebatan Islam melalui diri dengan cara yang diyakini terbaik. Hipokrasi dan penipuan hanya akan menjauhkan Islam daripada orang lain.
Jangan berkompromi dengan sesuatu yang bercanggah.
Setiap yang jelas bertentangan dengan Islam tidak akan berkompromi dengan pengamalan ad-din ini. Ia umpama mencampurkan minyak dan air, ia pasti tidak sebati dan saling tolak menolak.
Dalam berhadapan dengan isu-isu berkaitan Islam seperti isu status lelaki dan wanita, hak-hak asasi, ibadat, perlu dijelaskan secara keseluruhan dengan penyampaian yang boleh difahami.
Cabaran hari ini ialah dilema berhadapan dengan kelompok Muslim yang tidak meyakini cara hidup Islam kerana kecetekan kefahaman mereka terhadap perkara ini, dan mereka cenderung menjadikan cara hidup lain lebih baik dan sempurna walaupun ada kesan buruknya.
Kewujudan mereka turut mempengaruhi usaha dakwah. Maka seorang Muslim perlu peka dan tahu bagaimana memberi kefahaman terhadap mereka.
Jangan mudah marah, kawallah diri.
Adab dalam menyampaikan mesej dakwah adalah sesuatu yang perlu dititik beratkan. Jangan mudah membiarkan diri diprovokasi sehinggakan mudah berubah sikap.
Seandainya seseorang tidak berminat mendengar, hormatilah permintaan itu dan bersabarlah dengan mencari peluang lain pada kesempatan yang lain.
Allah menyebutkan dalam surah Fussilat ayat 33-35, Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: ``Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)! Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.
Apa yang diharapkan adakalanya mengecewakan, namun kita perlu mengingati diri bahawa tanggungjawab kita adalah untuk menyampaikan mesej yang membezakan antara buruk dan baik, benar dan batil. Hanya hidayah Allah menentukan siapa yang diberikan petunjuk.
Hormati kepercayaan dan pengamalan agamaorang lain.
Janganlah sekali-kali menghina kepercayaan dan pengamalan agama orang lain. Perkara yang perlu ditekankan ialah bukan untuk memburuk-burukkan, sebaliiknya penekanan utama dalam mesej awal dakwah Islam ialah memberitahu apakah yang membezakan Islam dengan pengamalan lain.
Pada masa yang sama belajarlah dan cubalah mengambil tahu mengapa beliau memilih cara hidup sedemikian dan teruskan perbincangan dari masa ke masa.
Sampaikan apa yang membuatkan anda melihat Islam cara hidup yang indah.
Berdakwah tidaklah hanya mengulangi apa itu rukun Islam kepada bukan Islam. Kita terlalu memfokuskan terhadap lima rukun tersebut secara umum sehingga terlupa pengisian yang telah memperkuatkan dasarnya.
Berkongsilah, bagaimana ia memberi kesan kepada diri anda dalam kehidupan, bermula daripada cara pemakaian, pemakanan, adab tidur, perkahwinan, sikap terhadap haiwan, kanak-kanak dan orang tua.
Berbicaralah tentang kedudukan Islam yang mengangkat tinggi nilai manusia, wanita dan lelaki. Perbincangan yang bersangkut paut dengan diri dan sekeliling akan memberi ikatan.

Senyuman wujudkan hubungan baik

01/04/2005
APA yang terukir di bibir adakalanya menenangkan orang yang melihat. Itulah kehebatan di sebalik senyuman. Ia boleh disifatkan sebagai ketawa kecil dan mempunyai makna yang baik, bergantung kepada rasa hati empunya senyuman itu. Malah Rasulullah melahirkan rasa gembira dan tawanya dengan senyuman.
Itulah yang dikatakan fitrah manusia, satu bentuk hiburan hati yang memberi kesan yang besar dan merupakan jalan hiburan yang diharuskan.
Dalam sabda baginda, disebutkan betapa pentingnya seorang manusia tidak terlalu membebankan diri dengan segala macam kesukaran dan kepayahan yang sengaja ditimbulkan. Malah, Rasulullah menggesa agar seseorang perlu mencari sedikit hiburan jiwa yang tidak keterlaluan agar kemanisan hidup dapat dirasai. Baginda menyebut:
Janganlah terlalu membebani jiwamu dengan segala kesugulan hati, hiburkanlah hati dengan hal-hal ringan dan lucu. Apabila terus dipaksa memikul beban yang berat, ia akan menjadi buta. (Sunan Abi Daud)
Senyuman merupakan perbuatan kecil yang mencerminkan salah satu ciri akhlak yang mulia, namun kesannya cukup besar dalam mempengaruhi keadaan.
Senyuman
Malah dalam pengurusan perniagaan antarabangsa, seperti perniagaan bersifat francais, sama ada dari restoran makanan segera sehinggalah kedai barangan harian 24 jam, disebutkan dalam manual pengendalian francaisnya agar setiap kakitangannya perlu memaniskan muka dengan senyuman dan sapaan mesra setiap kali pelanggan keluar masuk dari pintu premis.
Daripada konteks hubungan antarabangsa, senyuman wakil sesebuah negara dalam sebarang pertemuan rasmi secara tidak langsung membawa gambaran nilai serta imej negara asalnya dan personaliti pemimpin di hadapan lensa media.
Meskipun begitu, masih ramai yang tidak sedar betapa senyuman yang diberikan boleh menimbulkan ikatan dan hubungan yang baik sesama manusia.
Penulis berpeluang menjalankan tinjauan sendiri terhadap sekelompok pelajar dan pengajar di sebuah pusat pengajian tinggi sepanjang dua tahun.
Hakikatnya, wujud majoriti golongan terpelajar tidak peka dengan keadaan apabila setiap kali melintasi para pekerja am yang kebanyakannya layak dihormati sebagai makcik, mereka hanya diam dan terus menuju ke bilik kuliah atau ruang pejabat tanpa senyuman, apatah lagi memberi salam.
Perkara ini berlaku berulang-ulang kali di tempat yang sama dan keadaan ini cukup mengecewakan. Apatah lagi ia melibatkan individu bergelar Muslim.
Jika berlaku perubahan keadaan, sudah pasti wujud ikatan erat dan rasa hormat yang tinggi antara dua kelompok. Bagi pekerja-pekerja am, mereka merasakan para pelajar tersebut menghargai kewujudan dan sumbangan mereka di situ.
Bagi para penuntut dan pengajarnya pula, senyuman yang diiringi salam itu mempamerkan akhlak dan kerendahan hati seorang yang terpelajar. Bukankah itu menguntungkan?
Begitu juga situasi di kafetaria di pelbagai jabatan dan institusi atau di gerai-gerai makanan, kesibukan melayani para pelanggan mungkin adakalanya memberi sedikit tekanan kepada pengusahanya, apa salahnya jika ada pekerja restoran datang membersihkan meja makan anda, balaslah dengan ucapan terima kasih dan senyuman. Impaknya dari sudut motivasi bekerja akan meningkat dan kualiti pasti bertambah.
Mengapa senyuman begitu berkesan terhadap manusia? Senyuman mempunyai tiga unsur utama yang menjadikan ia begitu bernilai. Pertama ia mempunyai daya tarikan, ia mempunyai hasrat dan keinginan untuk memiliki dan unsur bertindak untuk memiliki. Senyuman adalah gambaran unsur-unsur akal, perasaan dan kemahuan.
Kepentingannya telah membawa kepada perbincangan mendalam oleh golongan ahli fikir dan filosofi awal seperti Locke, Schopenhaur, Spencer, Descrates dan Hartley melalui satu perbincangan dan perdebatan yang mendalam melalui karya-karya penulisan mereka.
Dari sudut kesihatan diri, terbukti melalui senyuman ia merangsang otot-otot wajah dan memberi kesegaran dan ketegangan yang mengurangkan kedut-kedut di wajah, kesihatan tubuh dan jiwa dengan melepaskan tenaga emosi yang berpusat dari dalam.
Tambahan lagi, senyuman adalah tindakan menguasai diri melalui nilai optimisme, bersikap positif dengan membina lingkaran kebahagiaan di sekeliling. Dalam masa yang sama, senyuman memberi getaran yang mengikat rasa hati orang lain terhadap diri dengan nilai kepercayaan.
Nilai positif sebuah senyuman wujud apabila seorang Muslim redha berhadapan dengan keadaan malang untuk menguji iman. Syaitan sedaya upaya menjalankan pujuk rayunya agar manusia sentiasa bermusuhan dan menghilangkan seri wajah seorang mukmin daripada senyuman yang ikhlas.
Wajah yang masam, penuh kebengisan tanpa sedikit hiasan di bibir, secara tidak langsung mengaktifkan minda yang negatif. Peranan syaitan menjalankan agendanya agar manusia terus menerus bersikap demikian, sebagaimana diperingatkan oleh Allah:
Sesungguhnya perbuatan berbisik (dengan kejahatan) itu adalah daripada (hasutan) syaitan, untuk menjadikan orang-orang yang beriman berdukacita. Sedangkan bisikan itu tidak akan dapat membahayakan mereka sedikitpun melainkan dengan izin Allah, dan kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman berserah diri. (Al-Mujadalah: 10)
Namun begitu, senyuman boleh dimanipulasi oleh golongan tertentu yang menyalahgunakan nikmat Tuhan ini. Dalam mempamerkan senyuman yang berkesan, ia turut hadir sama dengan perkataan yang bijak dan berhikmah. Dalam sebuah kisah, Ali bin Abi Talib pernah bertanya kepada Rasulullah, siapakah yang lebih dicintainya. Adakah Fatimah, puterinya atau Ali, suami beliau? Dengan senyuman baginda menjawab, Fatimah, lebih aku cintai dan engkau aku lebih hargai.
Luar jangkaan
Senyuman juga dikaitkan dengan salam perpisahan. Ia sering berada di luar jangkaan manusia, malah dalam sirah Rasulullah dicatatkan peristiwa yang sama. Diriwayatkan oleh Anas Ibn Malik, pada hari Isnin ketika wafatnya Rasulullah, baginda keluar dan memandang mereka yang menunaikan solat Subuh.
Melihat sikap mereka, Rasulullah tersenyum. Mereka yang menyedari berpaling dan menyangka baginda beransur pulih. Dalam suasana gembira mereka diisyaratkan agar meneruskan ibadah mereka. Hakikatnya itulah senyuman perpisahan Rasulullah kepada mereka.
Dalam menjadikan senyuman sebahagian daripada cara hidup, seseorang perlu sedar bahawa senyuman perlulah dipamerkan tanpa berlebih-lebihan atau terlalu kurang. Ia perlu sentiasa berada di pertengahan. Bak kata pepatah, kebaikan muncul antara dua keburukan.
Jangan pandang remeh nilai sebuah senyuman, ia mungkin tidak ada nilai daripada harga yang ditentukan manusia. Tetapi ia membayar pada nilai lebih tinggi dalam kehidupan.
Jendela senyuman membuka tabir hubungan dengan manusia lain di sekitar anda. Ia menguatkan hati dan membina motivasi diri. Perkara kecil sebegini mempunyai manfaat yang besar seperti kata Rasulullah, Janganlah meremehkan amalan kebaikan, walau sekadar berwajah manis. (Abi Dzar).

Menjelajah kehidupan minoriti Muslim di Kanada

16/03/2005
KEHIDUPAN masyarakat beragama Islam di Kanada, melambangkan penerimaan terhadap identiti dan cara hidup mereka sebagai Muslim, di sebuah negara yang mengamalkan budaya hidup bermasyarakat tanpa mengira budaya, bangsa dan agama.
Bersempena dengan semangat kehidupan penuh variasi, sebuah dokumentari bertajuk New Life in a New Land dihasilkan dalam usaha meningkatkan kefahaman orang ramai terhadap pengamalan cara hidup Islam.
Siri dokumentari ini merupakan kerjasama antara badan produksi dengan institusi pendidikan di Kanada serta mendapat sokongan penuh oleh Suruhanjaya Tinggi Kanada dalam usahanya mempromosikan dokumentari ini ke beberapa negara.
Malah, New Life in a New Land turut ditayangkan di kaca televisyen negara tersebut dan mendapat impak yang positif daripada penonton.
Saira Rahman, penulis yang ikut bertanggungjawab dalam penghasilan siri ini, meletakkan harapan yang tinggi terhadap penghasilan dokumentari sebegini dalam usaha mendidik masyarakat melalui mesej yang betul serta tepat pada masanya.
Beliau juga merupakan individu yang bertanggungjawab dalam pembangunan serta penyediaan material pengajaran.
Sementara itu Micheal Milo, penerbit siri tersebut mengatakan bahawa dokumentari ini menarik perhatian ramai, khususnya di kalangan masyarakat Arab di Asia Barat ketika mereka mengadakan tayangan serta siri penerangan dan dialog di sana.
Tambah beliau, keinginan yang tinggi untuk mengetahui cara hidup Muslim sebagai masyarakat minoriti, menjadikan penerbitan ini sebagai jendela perhubungan untuk menjelajahi semangat kehidupan Muslim di Kanada.
Menariknya, siri dokumentari ini mengetengahkan cara hidup seorang Muslim yang bertunjangkan pengisian rukun Islam serta memaparkan cara hidup Muslim di sana dalam interaksi komuniti serta meraih peluang dan berhadapan dengan cabaran.
Pra tonton dokumentari New Life in a New Land dan sesi penerangan serta dialog melibatkan Saira Rahman, Micheal Milo dan Haroon Siddique daripada akhbar Toronto Star diadakan di Malaysia, dengan sokongan Suruhanjaya Tinggi Kanada meliputi beberapa lokasi seperti Muzium Kesenian Islam Malaysia dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Dugaan datang bersama hikmah

07/01/2005
DUGAAN dalam kehidupan manusia sering bertali arus dalam kehidupan. Kerana nilai dugaan yang cukup besar harganya, manusia perlu menghadapinya dengan sepenuh kekuatan yang diberikan Allah dalam jiwa melalui kekuatan iman dan akal fikiran.
Hari ini, tragedi demi tragedi berlaku dalam sejarah manusia memerlukan nilai kesabaran yang tinggi untuk melaluinya.
Bukan semudah kata-kata, ia umpama hempedu yang perlu ditelan walau pahit rasanya.
Malaysia mengalami sejarah hitamnya dalam tragedi bencana alam yang terburuk dan pertama kali berlaku sehinggakan mengorbankan puluhan nyawa yang tersayang.
Di negara-negara dunia seperti Sri Lanka, Thailand, Sumatera kedengaran ratapan yang mengiringi kematian di luar jangkauan manusia.
Umat Islam dalam berhadapan dengan bencana sebegini, perlu bersedia bukan sahaja daripada keperluan fizikalnya tetapi minda dan hati yang teguh dengan keimanan terhadap Allah.
Ujian yang diturunkan Allah sememangnya cukup berat, jika ia diterima dengan keredhaan, akan hadir sedikit ketenangan dalam kehidupan.
Allah meletakkan kepentingan sabar sebagai asas dalam menghadapi ujian dan malapetaka.
Firman-Nya disebutkan, Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang, dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk. (Al-Baqarah: 45)
Ujian membuktikan kekuatan manusia dalam berhadapan dengan keadaan tersebut. Malah tingkat ujian berbeza menurut kemampuan seseorang.
Ujian hadir dalam pelbagai bentuk, kehendak hati terhadap sesuatu yang dilarang, konflik antara individu yang akrab dalam keluarga, halangan-halangan dakwah, penderitaan, kemiskinan dan kekayaan, kejadian-kejadian di luar jangkauan kecil mahupun besar adalah antara ujian yang sering dihadapi.
Malah ujian dan dugaan sering membawa bersama manusia dengan dua pilihan, bagaimana seseorang menghadapinya.
Adakah dengan menyalahkan takdir atas kejadian buruk yang menimpa sehingga Tuhan turut dipersoalkan atau menerimanya sebagai satu musibah yang mengingatkan diri tentang kebesaran-Nya dan yakin dengan hikmah-Nya.
Ke manakah motivasi tindakan kita dijanakan, sama ada antara yang membunuh keyakinan atau ke arah yang mengukuhkan diri menghadapi cabaran, ia adalah pilihan yang diberikan Allah.
Melalui dugaan inilah, terpamer sikap seorang bergelar Muslim, dalam kelompok mana seseorang itu berada kini. Boleh jadi dalam kelompok Muslim yang benar-benar ikhlas beriman kepada Allah atau sebaliknya. Firman Allah, surah al-Baqarah ayat 155:
Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan daripada harta benda dan jiwa serta hasil tanaman, dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.
Seorang yang beriman, perlu menghadapi setiap dugaan dan cabaran dengan nilai-nilai positif sebagai usaha mengimbangi kehidupan yang sedia agar sentiasa lurus di jalan-Nya.
Ia tidak boleh dijadikan alasan untuk membelakangi suruhan-Nya dengan andaian-andaian palsu kononnya Tuhan tidak menyayanginya lagi sehingga gelap masa depannya.
Kesabaran dalam menghadapi dugaan datang bersama tindakan daripada diri sendiri dan secara kolektif melalui bantuan yang termampu.
Nilai kehidupan berjemaah dalam masyarakat Islam dapat ditingkatkan dengan pertolongan yang diberikan, yang secara langsung mengikat nilai ukhuwah dan pertautan jiwa atas nama persaudaraan Islam.
Dugaan datang bersama hikmah. Ia memerlukan masa untuk manusia memperhalusi sebab dan punca sesuatu perkara.
Umpamanya konflik antara Gerakan Acheh Merdeka (GAM) dan Tentera Nasional Indonesia (TNI) di bawah kerajaannya hari ini bersedia berdamai atas nama kemanusiaan dan bergandingan membantu mangsa-mangsa yang terkorban.
Jika dilihat dengan mata kasar manusia biasa, ia mungkin tidak membawa erti. Tetapi buat pencinta keamanan dan kedamaian, konflik yang dihentikan seketika ini membuktikan akan berlaku keharmonian antara dua pihak walau ada yang pesimis mengenainya, cuma ia masih bermain dengan masa.
Manusia dalam situasi pertentangan kepentingan berhenti daripada bermain api permusuhan apabila musibah ini melanda.
Kepentingan terhadap majoriti melebihi kehendak diri, masing-masing perlu mengubah sikap buat seketika.
Ujian dan dugaan menjadikan diri sentiasa menghargai apa yang sudah dimiliki. Ia mengingatkan manusia agar tidak cepat lupa dan sentiasa bersyukur dengan apa yang ada.
Seandainya waktu ini kita dikelilingi oleh insan bernama ibu, ayah, adik dan abang, bersama rakan-rakan yang baik, suasana yang sentosa, wajarlah kita menghargai melalui kesyukuran dan menggunakan peluang sebaik-baiknya untuk bersama dalam suasana positif yang sentiasa saling memaafkan. Ingatlah, seburuk mana pun insan-insan ini, mereka adalah darah daging kita.
Dalam masa yang sama bergeraklah dalam kelompok di kalangan rakan-rakan atau keluarga untuk sama-sama membantu mereka yang telah kehilangan dengan rasa simpati dan empati yang mendalam terhadap mereka. Kata orang, hari ini hari mereka, mungkin esok hari kita.
Nasihat sabar dalam keimanan adalah kata-kata terbaik yang perlu diungkapkan dengan mengingatkan mereka tentang perjalanan penuh cabaran manusia-manusia bergelar nabi dan rasul pilihan Allah, sebagaimana disebutkan dalam surah al-Asr ayat 1 hingga 4:
Demi masa. Sesungguhnya manusia di dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman, beramal soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran serta berwasiat dengan kesabaran.

Iftar semai semangat kejiranan

04/11/2004
KEMERIAHAN Ramadan adalah kemeriahan yang dikongsi bersama. Nilai ibadah diangkat berkali ganda oleh Allah agar umat Islam meraikan bulan ini dengan pengamalan yang bersungguh-sungguh demi keredhaan-Nya.
Dalam konteks kejiranan, Ramadan al-Mubarak membawa satu perspektif baru dalam mengeratkan hubungan sesama manusia, sesuai dengan cara hidup dalam sebuah komuniti.
Terdapat beberapa panduan untuk menjadikan Ramadan sebagai bulan yang mengikat ukhuwah dan silaturahim antara insan.
Dalam masa yang sama, menggerakkan misi dakwah dan islah kepada masyarakat.
- Doakan kesejahteraan untuk diri dan semua.Mendoakan kesejahteraan diri, keluarga dan masyarakat adalah tanda seorang Muslim yang mempunyai jiwa yang mengasihi.
Doa adalah tanda mengingati dan merupakan simbol kehidupan yang positif dan bermotivasi bagi seorang Muslim.
Doa mengikat diri dengan Maha Pencipta dengan memohon agar diberi kebaikan, kekuatan dalam memenuhi komitmen diri dan individu-individu lain untuk beribadah sepanjang Ramadan.
- Risalah dan poster berkenaan fadilat Ramadan.Bagi sebuah kampung atau kawasan kejiranan, kebiasaannya akan dibentuk satu jawatankuasa yang akan memenuhi aktiviti-aktiviti sekitar sepanjang tahun.
Pengedaran risalah, poster yang dicetak menarik atau mendapatkan risalah-risalah yang sedia ada daripada jabatan agama negeri untuk diedarkan ke rumah-rumah, membantu mengingatkan orang ramai akan kepentingan bulan ini, dan menggalakkan mereka melakukan aktiviti yang sesuai dengannya.
Masjid dan surau juga berperanan dalam menggalakkan usaha ini dengan menyediakan kain rentang yang mengalu-alukan kehadiran bulan penuh barakah.
- Memberi makanan iftar (berbuka) untuk jiran.Kegembiraan turut dapat dikongsi dengan amalan bertukar-tukar atau memberi makanan berbuka untuk jiran-jiran.
Untuk kanak-kanak kecil, memberi manisan seperti gula-gula atau sebarang bentuk makanan yang menyihatkan yang diselitkan kad Ramadan Mubarak atau seumpamanya. Psikologinya, kanak-kanak akan lebih mengingati kegembiraan bulan ini dengan keadaan yang dibentuk sedemikian, meskipun sudah berlalu.
- Menjemput iftar bersama.Iftar bersama jiran-jiran boleh dilakukan dengan menjemput jiran-jiran Muslim dan bukan Islam terdekat untuk bersama.
Penyediaan hidangan oleh isteri seeloknya ketika waktu uzurnya kerana kewajipan berpuasa tidak dikenakan ke atasnya dan memudahkan isteri merasa makanan yang disediakan.
Membeli makanan-makanan yang sedia terjual di bazar Ramadan adalah alternatif pilihan.
- Jadikan iftar sebagai tapak maklumat bersama.Jadikan diri anda sebagai seorang yang mudah didampingi, minda terbuka dan mesra dengan mengekalkan adab dalam Islam.
Dalam melayani jiran-jiran bukan Islam, buka lebih ruang untuk mereka bertanyakan apa sahaja bentuk soalan yang berkaitan dengan Islam dan Ramadan.
Dalam masa yang sama, bersedia dengan jawapan yang ringkas dan tepat.
Isu-isu mengenai keganasan, penindasan wanita atau seumpamanya adalah antara perkara yang berbangkit kesan daripada tekanan media Barat.
Iftar boleh diibaratkan sebagai asas meleraikan salah faham mengenai Islam dalam suasana yang tenang.

Hikmah Ramadan - Berkembang bersama kehidupan manusia

19/10/2004
RAMADAN kembali lagi dengan janji-janji kebaikan dan harapan daripada Allah kepada para hamba-Nya yang sentiasa menunggu kehadiran bulan mulia yang penuh keberkatan dan kemuliaan.
Tiada siapa dapat menolak betapa bulan rahmat ini membawa satu perasaan dan jiwa baru buat mereka yang menagih rahmat Allah di muka bumi ini.
Hakikat Ramadan, sebagai hadiah daripada Maha Pencipta adalah pemberian yang paling agung dan bermakna sehingga tertegaknya menjadi salah satu tiang yang menguatkan dasar ajaran Islam.
Kemeriahan bulan ini tidak sekadar berbeza dari bulan-bulan sebelumnya, malah sikap dan amalan seharian umat Islam sedikit sebanyak mendapat corak-corak baru bagi menghormati kehadirannya.
Hikmah Ramadan sentiasa digali oleh para penganutnya, apatah lagi amalan ini turut menarik perhatian bukan Islam dan juga pakar-pakar bidang kesihatan pemakanan dan pengamal ilmu psikologi.
Dari masa ke masa, rahsia kewajipan berpuasa pada bulan Ramadan dihimpunkan dan disebarkan agar umat Islam mampu melaksanakannya dengan kefahaman dan pengetahuan dalam mengangkat amalan ini di atas ke dudukan yang sewajarnya.
Imam Syafie menyebut, seorang Muslim mengetahui amalan puasa Ramadan merupakan ibadah yang difardukan oleh Allah sebagai ibadah yang perlu dipenu-hi tuntutannya, sesuai dengan tang-gungjawab insan sebagai hamba kepada Allah tanpa melihat natijah yang dihasilkan daripada ibadah puasa.
Sekiranya seorang hamba telah melaksanakannya, tidak ada halangan untuk menggali mutiara hikmah dan rahsia ketuhanan yang tersembunyi di sebalik suatu ibadah sebagaimana puasa Ramadan.
Hikmah Ramadan di antaranya ialah, memberi kesedaran kepada hati seorang mukmin terhadap muraqabah Allah Azzawajalla. Pada waktu siang kita melaluinya dengan menahan diri dari-pada lapar dan dahaga, sudah pasti wu-jud keinginan terhadap makanan dan minuman.
Tetapi menyedari tanggungjawab melaksanakan perintah Allah, maka pertentangan ini membawa kepada tingkat kesedaran hati dan perasaan terhadap keagungan dan kekuasaan Allah.
Malah kesedaran sebagai hamba turut terbit dengan rasa tunduk serta patuh dengan kewajipan memenuhi perintah ini.
Ramadan disifatkan sebagai bulan paling mulia dibandingkan dengan bulan-bulan selainnya. Dalam tempoh ini, Allah membuka seluas-luas pintu peluang dan harapan bagi hamba-hamba-Nya meningkatkan usaha meng-gandakan nilai takwa dan ketaatan kepada-Nya.
Makna perhambaan diperhalusi dan terus difahami sehingga ketika kita merasakan betapa mulianya diberi peluang menjadi hamba kepada sumber segala kehidupan. Konteks hamba kepada Tuhan dijernihkan dan dibezakan dengan kefahaman masyarakat hari ini tentang hamba dunia.
Menjadi seorang hamba Tuhan tidak merendahkan martabat, sebaliknya kemuliaan terus diberikan selagi usaha meningkatkan takwa digerakkan. Menjadi hamba Allah yang terbaik memberi kesejahteraan kepada manusia sekeliling kerana ciri-ciri hamba yang soleh dan cemerlang dalam ajaran Islam membawa sifat damai dan selamat kepada diri dan sekeliling.
Perkara ini sukar direalisasikan apabila berhadapan dengan pelbagai hidangan makanan, berada di majlis makan minum, perut yang penuh terisi sehing-gakan hawa nafsu terhadap makanan meresap ke dalam minda. Maka, puasa yang menjadi syariat adalah langkah paling mudah untuk memenuhi hak Allah dan mengangkat kembali ciri-ciri hamba paling mulia di sisi-Nya.
Melalui amalan berpuasa, ia mengawal sifat-sifat keras dan melampau manusia. Melampau dapat dilihat dari pelbagai segi meliputi perbuatan dan pemikiran.
Seseorang mungkin akan meletakkan sangka buruk terhadap orang lain atau mungkin membelanjakan harta bendanya tanpa perlu. Dalam keadaan ini, satu situasi yang berbeza perlu dilalui oleh mereka yang ingin mengawalnya, melalui Ramadan ia mendorong usaha ke arah memperhalusi jiwa dan perasaan agar lebih tenang dan positif selagi ada keinginan menggunakan peluang ini sebaiknya pada waktu Allah membelenggu syaitan-syaitan daripada terus merosakkan kualiti puasa dan amalan mulia keturunan Adam a.s.
Masyarakat Islam meletakkan prinsip kasih sayang dan saling mengasihi antara umat. Nilai-nilai ini tidak akan berlaku tanpa adanya rasa empati, iaitu merasakan dan melalui situasi tersebut bersama.
Amat sukar si kaya untuk mengasihi si miskin tanpa merasai derita dan kepa-yahannya. Bulan Ramadan, menjadi tapak membina rasa empati dan simpati yang membawa faktor kasih dalam jiwa manusia (Fiqhul Manhaj: 1999).
Nilai empati dan simpati turut diiringi dengan amalan kebajikan yang diterapkan bersama. Abdul Razak Naufal berpandangan, sahur merupakan separuh daripada pengambilan makanan seharian berbanding tiga kali sehari pada bulan-bulan lain.
Kerana itu, tanggungan orang yang berpuasa dan mampu mempunyai nilai yang hampir sama dengan nilai pema-kanan harian seorang fakir miskin (Mengapa Anda Seorang Muslim:1974).
Al Maududi menyifatkan Ramadan sebagai bulan dengan proses pendidikan tersendiri selama tiga puluh hari untuk mengangkat nilai akhlak yang tinggi sehinggalah menjadi Muslim yang benar-benar sempurna, dan sifat-sifat yang ter-bentuk ini mengekalkan ibadat wajib untuk ditunaikan oleh seorang Muslim sepanjang hidupnya (Asas-Asas Islam:1981).
Abu Fathan melihat nilai-nilai sabar merupakan salah satu sikap yang dilatih dan dibentuk sepanjang Ramadan. Kehidupan dunia yang penuh dugaan dan ujian tidak dapat dihadapi tanpa nilai sabar yang jitu.
Suasana kehidupan bermasyarakat hari ini melalui keadaan kacau bilau melibatkan rumah tangga yang kurang persefahaman, proses pendidikan yang terbantut kesan salah laku pelajar, kelahiran masyarakat kapitalis dalam mengaut keuntungan sendiri.
Semua ini berlaku kesan daripada sikap sabar yang tidak dilatih. Malah untuk mencapai kejayaan, sabar adalah elemen paling kukuh memperkuatkan matlamat individu tersebut.
Ramadan turut mengangkat nilai amanah dalam diri Muslim. Tanpa amanah, negara akan hancur, agama tergadai, maruah musnah dan masyarakat tidak akan tenteram sama sekali. Amanah melalui puasa Ramadan dapat dilahirkan kerana seorang Muslim yang berpuasa sentiasa menjaganya daripada terbatal (Peranan Islam Dalam Masyarakat Melayu:1996). `
Nilai-nilai keberanian turut terbentuk melalui pengamalan ibadat wajib ini. Rasulullah pernah mengingatkan umat bahawa nafsu merupakan satu-satunya musuh yang perlu di hadapi saban ketika dan dengan daya juang yang tinggi dan semangat yang jitu sebagaimana berjuangnya seorang Muslim di medan peperangan yang nyata, sifat keberanian akan terbentuk dan menjadi darah daging serta sifat yang tersemat (Ibnu Idris: 1987)
Yahya Emerick menjelaskan fenomena Ramadan di Utara Amerika membawa tarikan kepada sebilangan penganut ajaran Kristian, mereka melihat puasa adalah satu kaedah berkesan dalam mendekatkan diri kepada Tuhan.
Saban tahun, pusat-pusat Islam menerima panggilan telefon daripada komuniti bukan Islam yang meminta risalah-risalah panduan menunaikan amalan puasa serta jadual berbuka puasa umat Islam di sana.
Malah, keterbukaan dapat dirasai dengan kemudahan berbuka puasa yang disediakan untuk pekerja dan pelajar Muslim oleh institut terbabit. Nilai-nilai Ramadan dapat dilihat dan dihayati sehingga menimbulkan rasa hormat dan keinginan menyambutnya bersama-sama (Understanding Islam:2002).
Allahyarham Dr Abdul Aziz, pakar kesihatan melihat Ramadan dari sudut perubatan mengatakan di dalam pelbagai masalah kesihatan, puasa telah dijadikan alternatif mengatasi masalah-masalah tersebut.
Hikmah tuntutan agama telah jauh meninggalkan alam sains yang baru ketika ini mengenalinya sebagai sumber penawar. Dari satu sudut, ia membantu mengurangkan tekanan darah, radang buah pinggang, dan penyakit jantung.
Pandangan yang sama turut diutarakan oleh, Doktor Alexis Carycle, pemenang Nobel di bidang perubatan mengatakan, pada peringkat permulaan awal pengawalan kuantiti makanan melalui amalan berpuasa akan menimbulkan rasa lapar dan kadang kala mengganggu saraf serta menimbulkan rasa lemah.
Tetapi di sebalik keadaan ini, ia melahirkan beberapa keadaan yang jauh lebih mustahak daripada reaksi-reaksi sebelumnya (Peranan Islam Dalam Masyarakat Melayu:1996).
Hikmah Ramadan hari ini berkembang bersama kehidupan universal manusia. Dengan peluang yang diberikan ini, umat Islam wajar sama-sama mengejar peluang dan nikmat yang dijanjikan sesuai dengan matlamat menjadi umat yang terbaik dalam melakukan kebaikan.

Pemikiran proaktif - Berfikir untuk masa depan

29/09/2004
PERANAN minda seringkali diabaikan oleh manusia. Jentera yang hebat ini tidak digunakan sepenuhnya atau sekadar perlu sama ada yang tua mahupun yang muda, sehingga keistimewaan minda kurniaan Allah s.w.t. tidak dilihat sebagai salah satu anugerah agung dalam mengangkat nilai-nilai manusia ke tahap lebih tinggi sesuai dengan tanggungjawabnya.
Minda berperanan besar menerima dan merencanakan setiap input sama ada baik dan buruk, dan menukarkannya kepada bentuk tindakan yang kebanyakannya timbul dan bermula dari lintasan hati insan.
Budaya berfikir adalah contoh budaya mengenal peribadi. Ia adalah satu proses mengenal kelebihan dan kelemahan diri, terbuka dan bersifat peribadi, baik dan buruk atau seumpamanya.
Kerana kejujuran yang timbul kesan daripada pemikiran yang mendedahkan siapakah diri kita yang sebenarnya, manusia akan cenderung menipu pemikiran sendiri dan mengelak diri daripada didedahkan di khalayak dengan sentiasa memegang prinsip, ``Don't be naked infront of others''.
Seawal perbincangan dimulakan dengan budaya berfikir dalam masyarakat dan ummah secara umum. Adakah kita berkongsi corak pemikiran yang sama atau terdapat bentuk-bentuk pemikiran yang lain, perkara ini perlu diperhalusi secara peribadi kerana ia merupakan rahsia diri anda.
Jentera Minda
Manusia yang kurang motivasi hati, minda dan tindakan akan menjadikan orang lain sebagai kubu untuk mempertahankan diri dan kosmetik untuk me-ncantikkan sifat luarannya. Bagi manusia sebegini sikapnya, inilah peperangan yang tidak boleh ada istilah kalah di pihaknya.
Mengapa kita berfikir adalah satu persoalan besar untuk dijawab oleh kita semua. Setiap perbuatan harus jelas fokus dan matlamatnya, begitu juga dalam menggerakkan jentera minda. Umumnya manusia berfikir dibahagikan kepada dua kelompok pemikiran:
1.PEMIKIRAN REAKTIF. Manusia kelompok pertama berfikir kerana memang ia sifat semula jadi manusia. Dalam apa jua tindakan, perbuatan atau seumpamanya, pemikiran adalah elemen wajib yang perlu digabungkan untuk memenuhi sebarang proses. Tetapi, istilah `terpaksa' meletakkannya dalam satu situasi berbeza, manusia akan berfikir dalam keadaan disuruh dengan suasana tertekan dan seumpamanya, kebiasaannya berunsur negatif.
Kelompok ini cenderung berfikir secara reaktif, iaitu berfikir apabila sesuatu telah berlaku. Terdahulu, masyarakat dikejutkan dengan jenayah ragut yang menjadikan wanita sebagai mangsa. Inilah contoh bagaimana, mangsa dan orang ramai hanya akan bertindak apabila sesuatu telah berlaku, disebut dalam peribahasa Melayu sebagai `sudah terhantuk baru tengadah'.
Kehidupan yang dilalui sentiasa sama tanpa berlaku perubahan atau pengalaman-pengalaman hebat kerana mereka yang mempunyai bentuk pemikiran begini lebih selesa dalam dunianya sendiri, tidak gemar bermasyarakat, lingkungan kehidupannya bersandarkan kepada lingkungan peranan yang sedia ada, seperti sebagai sebahagian ahli keluarga, pekerja di sebuah agensi, pelajar di sebuah institusi pengajian dan bersifat individual dalam apa jua kegiatan.
Dalam masyarakat, kelompok ini lebih cenderung untuk mengikut arus dalam apa jua tindakan. Tidak ada kecenderungan untuk mencipta dan menghasilkan sesuatu yang baru dari sudut pemikiran untuk diketengahkan dalam masyarakat, sebaliknya hanya bertindak sebagai penerima. Pengumpulan ilmu dan perkembangannya adalah mustahil jika menjadikan kumpulan ini sebagai kumpulan kepimpinan.
2. PEMIKIRAN PROAKTIF. Tanpa menggerakkan minda, maka manusia akan mati serba-serbinya, tujuan hidup yang tidak jelas adalah petanda manusia yang tidak mahu berfikir dengan tujuan.
Golongan kedua menjadikan berfikir atas landasan tujuan untuk menjawab persoalan-persoalan asas kehidupan. Meskipun individu-individu dalam kelompok ini tidak perlu memikirkan sesuatu kerana tidak ada keperluan untuk berbuat demikian ketika itu, kelompok manusia ini akan menjadikan minda mereka sebagai kilang menghasilkan produk-produk imaginatif sebelum ia dipasarkan sebagai produk nyata. Inilah apa yang dimaksudkan tindakan berasaskan tujuan.
Budaya pemikiran sebegini akan membantu seseorang untuk membuat keputusan dengan lebih banyak pilihan dan pertimbangan bijaksana di depan mata. Misalnya, dalam sejarah Greek, masyarakat menganggap penciptaan roda tidak perlu sama sekali ketika itu, kerana mereka beranggapan penggunaan hamba sudah cukup untuk keperluan tersebut.
Ruang masa
Apabila beralih pemerintahan kerajaan, beralih tampuk kekuasaan dan zaman, perhambaan telah dihapuskan, maka penciptaan roda mengambil tempat dan mengisi kekosongan ini.
Malah jika kita menganalisa keadaan ini, budaya berfikir orientasi masa hadapan ini terus berkembang sehingga hari ini, daripada kereta kuda ke kereta menggunakan petrol dan diesel, kemudian ber alih kepada pengguna kereta elektrik dan minyak kelapa sawit serta solar, semuanya hanya bermula dengan terciptanya roda. Kelompok ini cenderung berfikir secara proaktif, meletakkan jangkaan keperluan pada masa akan datang dan menjadikan ruang masa terdekat sebagai waktu persediaan untuk mengumpul keperluan bagi memenuhi keadaan yang masih belum berlaku.
Konsep akhirat sebagaimana ditekankan dalam pendidikan al-Quran dan sunah merupakan salah satu kaedah bagaimana pemikiran proaktif ditekankan. Manusia diperingatkan dengan setiap perbuatan di dunia yang akan dibalas, pahala dan dosa, syurga dan neraka, maka manusia perlu bertindak dengan keperluan yang dapat memenuhi tuntutan untuk dipilih sebagai hamba-hambanya yang soleh berdasarkan panduan wahyu.
Bertindak sebelum berlaku, merencana sebelum terjadi sesuai dengan peribahasa Melayu `sediakan payung sebelum hujan' banyak membantu menjimatkan ruang masa berbanding aliran kelompok pemikiran reaktif.
Kelompok proaktif lebih bijak mengambil peluang dan menilai sesuatu lebih cepat daripada kelompok reaktif. Keuntungan yang sangat besar jika minda dimotivasi dalam kelompok ini, jika benar-benar berhasrat membawa diri dalam lingkungan perubahan positif yang membawa kesan besar pada diri dan ummah keseluruhan. Persoalannya, yang mana satu kelompok pemikiran yang ingin kita bentuk hari ini, pemikiran proaktif atau reaktif?

Iman, tanggungjawab - Membentuk remaja cemerlang

02/09/2004
REMAJA, antara kepimpinan serta tanggungjawab masa kini dan masa depan adalah empat istilah yang berkait rapat dengan nilai dan agenda yang dijunjung tinggi oleh mereka yang digelar remaja hari ini.
Remaja mewakili peratusan tertinggi penduduk di Malaysia yang membawa kesan besar kepada pembangunan sosial negara.
Membicarakan siapakah remaja, ahli-ahli sains sosial mempunyai pandangan yang berbeza dalam mengkategorikan had umur mereka. Umur remaja dipenuhi dengan tanggungjawab dan kesedaran yang tinggi terhadap kecemerlangan diri, keluarga dan agama.
Di peringkat ini, cabaran dari sudut sikap dan perilaku mereka sering kali dianggap negatif dan memudaratkan. Kesannya, hilang kepercayaan dalam komuniti sehingga mewujudkan jurang antara kedua-dua pihak.
Kenakalan remaja (Juvenile Delinquence) adalah salah satu batu penghalang dalam mendekatkan mereka dengan masyarakat. Ia merujuk kepada aktiviti remaja yang bertentangan dengan norma masyarakat, undang-undang dan agama (Ghafani bin Awang Teh: Kenakalan Remaja Dalam Perspektif Islam). Hatta apabila seorang remaja malas dalam pelajaran turut dianggap pembawa masalah.
Kehebatan remaja hanya dapat dipupuk dengan nilai-nilai yang ditekankan melalui modul pendidikan Islam. Sehingga ke satu tahap, remaja akan mengalami satu dilema personaliti dan pemikiran yang mendorong kepada tindakan terburu-buru dalam membuat keputusan.
Ia pastinya membawa natijah yang negatif terhadap pelakunya. Lebih malang lagi, kegagalan mengawal nafsu menjadi penggerak kepada tindakan melampau remaja sehingga mana memberi impak buruk kepada masyarakat sekeliling. Sebagaimana disebutkan oleh Muhammad al-Jiasi (1976) terdapat empat peringkat nafsu yang mempengaruhi tabiat manusia iaitu:
Nafsu Ammarah: Nafsu yang sentiasa mendorong manusia melakukan kejahatan. Bagi mereka yang berada di peringkat ini tidak merasakan perbezaan antara yang baik dan jahat. Apabila seseorang itu melakukan kejahatan, ia tidak menyesal dan sebaliknya, juga apabila melakukan kebaikan, ia tidak gembira.
Nafsu Lawwamah: Nafsu yang mula menunjukkan kelemahan diri, menilai tabiat masa lampau dan sedia keluar untuk memulakan kehidupan yang positif.
Nafsu Mulhamah: Nafsu yang sudah menerima kebenaran dan keinsafan serta merasa keseronokan membuat kebaikan dan benci kepada kejahatan.
Nafsu Mutmainnah: Nafsu yang mencapai kedamaian dan kebahagiaan. Nafsu ini berusaha terus untuk meningkatkan keimanan dan ketaqwaan dalam dirinya.
Mengawal nafsu dan membawanya dari satu tahap ke tahap lain adalah satu cabaran yang getir untuk dihadapi oleh remaja.
Tanpa kefahaman yang jelas, sokongan motivasi yang bertubi-tubi, remaja akan mempunyai persepsi yang kabur dalam menentukan hala tuju mereka. Pendidikan yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. adalah pendidikan yang cemerlang dengan mengutamakan intipati keimanan serta kesedaran terhadap tanggungjawab diri selaku khalifah di muka bumi.
Tidak hairanlah di waktu mana peperangan antara Muslim dan kafir Musyrikin Mekah mengambil tempat, remaja Muslim belasan tahun turut dipilih menjadi panglima tentera memimpin kekuatan tentera yang turut disertai oleh para sahabat Rasulullah s.a.w
Inilah nilai penghormatan yang diberi-kan kepada remaja yang berketerampilan serta berkecenderungan ke arah yang lebih baik dalam mendapat cinta agung dari Allah s.w.t. Remaja perlu berjihad dengan memperjuangkan dan memenuhi hak yang diberikan oleh Allah s.w.t. kepada setiap diri insan sebagaimana disebutkan di dalam al Quran yang bermaksud: Sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam dan Kami angkat mereka di dataran dan lautan, dan Kami beri rezeki mereka dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dari kebanyakan makhluk yang Kami ciptakan dengan kelebihan yang sempurna. (al Isra: ayat 70)
Malang untuk diperkatakan seandainya, kekuatan-kekuatan dalam remaja tidak diketengahkan dan digembleng dengan sebaik mungkin demi kebaikan Islam.
Kekuatan-kekuatan remaja Islam hari ini ialah; kekuatan idea, kekuatan semangat, kekuatan ilmu dan kekuatan jati diri.
Sekiranya keempat-empat kekuatan ini disepadukan, nescaya sejarah kehebatan remaja di zaman Islam terangkat kembali, remaja kita dikagumi dan dihormati dan tiada lagi kebejatan sosial yang memeningkan kepada setiap individu berterusan lagi.
Melalui idea remaja, perencanaan demi perencanaan disusun. Penyelesaian demi penyelesaian ditemui dan persoalan demi persoalan terjawab.
Kekuatan idea sudah menjadi lambang kehidupan remaja hari ini. Mereka digelar sebagai golongan pembaharuan sosial dengan saranan-saranan proaktif dan dinamik sesuai dengan keinginan melihat masyarakat terbina dengan harmoni dan seimbang.
Wajar idea-idea belia dilihat secara serius dan jangan dipandang remeh oleh sesiapa dan seandainya idea-idea yang dilontarkan tersasar ia tidak wajar disambut dengan kata-kata negatif sebaliknya dipimpin dan diperbaiki.
Pepatah Inggeris menyebut, Good idea begin with laugh. Inilah situasi yang dihadapi apabila berhadapan dengan `orang-orang lama' baik dalam apa bidang sekalipun. Segelintir sahaja yang menghargai dan memandang tinggi kekuatan idea golongan belia.
Gandingan idea golongan belia dan veteran adalah satu gabungan cukup ampuh dan bakal menterjemahkan satu hasil yang cukup baik untuk dipusakakan kepada generasi selepas kita.
Dengan erti kata lain, golongan belia bukan sahaja mewarisi malah memperbaiki lagi apa yang telah diwarisinya dengan perubahan yang baik dan seimbang.
Dalam membicarakan soal kekuatan semangat remaja hari ini, ia diibaratkan seperti bahan api yang membakar semangat juang mereka. Di sana sini, mereka secara positif merebut peluang melahirkan sesuatu yang dirasakan mampu baginya.
Baik dalam bidang sains dan teknologi, penulisan, inovasi dan kreatif, seni dan budaya, sukan atau apa sahaja bidang yang wujud, golongan belia menggunakan kekuatan semangat semaksimum yang boleh dengan persaingan dan hasil berkualiti dalam lapangan masing-masing.
Melalui penglibatan di dalam persatuan-persatuan atau sebarang jenis pertubuhan, semangat para belia dididik dan diarah ke satu matlamat yang jelas dan berstrategi. Golongan belia dekad ini meletakan kekuatan ilmu sebagai satu elemen penting dalam membina kecemerlangan diri dan keadaan.
Tanpa ilmu, manusia meraba-raba dalam kegelapan. Tanpa ilmu golongan belia akan mengkritik dengan sandaran emosi bukannya intelektual.
Senario hari ini memperlihatkan golongan remaja gemar mengkritik atas landasan emosi tidak menentu yang kadang-kala memakan diri. Sikap sebegini tidak sahaja merendahkan pandangan masyarakat terhadap potensi mereka malah menggambarkan keperibadian yang tidak berkualiti dalam jiwa remaja.
Kekuatan jati diri seperti mula dipandang mudah oleh golongan remaja hari ini sedangkan inilah kekuatan yang mempertahankan jiwa dan survival masyarakat terdahulu dalam menghadapi ancaman-ancaman luar.
Dengan jati diri yang teguh, budaya merosakkan mudah sahaja dipatahkan dan nilai kreativiti serta kecantikan bahasa, cara hidup dan tradisi yang selaras dengan kehendak agama di-angkat kepada satu tahap yang sukar dinilai.
Malang jika remaja Muslim bersedia untuk mencedok cara hidup Barat yang berbaur unsur-unsur kemusnahan de-ngan terus menerus mengagung-agungkannya sebagai lambang ketamadunan yang hebat.
Tamadun Islam yang dikongsi oleh pedagang-pedagang Arab ke gugusan kepulauan Melayu adalah permata yang bernilai untuk dihargai.
Nilai didikan Islam telah mengangkat pemikiran dan sikap remaja Muslim ke satu kedudukan yang membanggakan berbeza daripada ideologi-ideologi ciptaan manusia yang membinasakan.
Hanya dengan kesedaran dan keinginan untuk berubah, satu corak yang memberi garis baru kepada kehidupan mereka yang bergelar remaja dalam membina garis sempadan antara yang hak dan batil dapat direalisasikan.

Kelemahan Muslim - Jangan hanya menuding jari

14/07/2004
SESAK. Itulah perkataan yang paling tepat untuk menggambarkan suasana Dewan Ekperimental Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ketika berlangsungnya program Bicara Ad Deen bertajuk Why Am I Muslim sempena Karnival Mega Islam (I-Mec) sepanjang minggu ini. Ia merupakan anjuran bersama Persatuan Pelajar Ilmu Wahyu dan Warisan (IRKHS) dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Forum ini disiarkan di radio IKIM melalui slot Hari Jumaat jam 9.15 malam.
Kehadiran anak-anak muda yang terdiri daripada para pelajar universiti dan sekolah serta penduduk sekitar, menyebabkan dewan penuh sesak memenuhi anak-anak tangga dan ruang hadapan pentas.
Ia diserikan lagi dengan kehadiran dua ahli panel, Ustaz Farid Ravi Abdullah (KISDAR), Ustaz Roslan Mohamed (Universiti Malaya) dan dipengerusikan oleh Ustaz Mahathir Shaharuddin (IKIM). Forum ini dirasmikan oleh Timbalan Pengarah IKIM, Nik Mustapha Hj Nik Hassan.
Why Am I Muslim membawa para hadirin dalam membincangkan dunia dakwah melalui ilmu pengetahuan dan praktis yang betul dalam usaha mendekatkan golongan bukan Islam memahami Islam dari kaca mata yang sebenar.
Menurut Farid Ravi Abdullah, kembalinya beliau kepada Islam disebabkan tiga perkara utama. Pertama, kisah para anbiya dalam menyebarkan agama suci ini sesuai dengan fitrahnya dan merasakan ketenangan dalam menghayati perjuangan mereka.
Kisah-kisah tersebut memberi kekuatan dan membawa nalurinya merasakan kewujudan Allah. Semua orang mengakui bahawa Islam itu sesuai untuk dianut kerana kedudukan agama itu sendiri sebagai agama fitrah. Melalui pengkajian sirah para rasul, ia memberi kekuatan dan menyedarkan seseorang betapa ruginya pengabdian terhadap perkara-perkara yang dicipta.
Kedua, beliau turut tertarik dengan prinsip-prinsip yang diketengahkan oleh Islam. Dalam hal ini, hujah yang benar, tepat dan kukuh sebagaimana hujah nabi Ibrahim a.s. adalah salah satu perkara yang perlu diselidiki.
Prinsip Islam seperti tidak wujudnya paksaan ke atas seseorang untuk memeluk Islam meletakkan manusia yang berakal memikirkan tentang baik buruknya pilihan yang dibuat seseorang.
Prinsip ini membawa persoalan kepada manusia, mengapa tidak memilih kedudukan akhirat yang terbaik sebagaimana keinginan yang sama timbul apabila hidup di dunia. Melalui pengalamannya, ustaz Ravi ketika sebelum pengIslamannya tidak dipaksa untuk mempercayai Islam oleh para pendidiknya sehinggalah beliau mempelajari dan memahaminya.
Konsep ketuhanan yang lengkap dalam prinsip Islam membawa kepada pengertian yang cukup cantik dan sempurna untuk mengenal Tuhan secara sempurna. Malah cara ibadat Muslim terutamanya suasana di masjid pada hari Jumaat memperlihatkan betapa tersusun ibadat berkonsep yang secara tidak langsung menyusun kehidupan manusia yang menghayatinya.
Ketiga, pendidikan Islam yang mengajar semua manusia adalah sama rata turut menarik hatinya. Islam langsung menolak sistem kasta dan turut mengangkat manusia pada kedudukan yang sewajarnya, hatta seorang hamba abdi sekalipun berdasarkan keimanannya terhadap Allah bukannya kerana bangsa dan warna kulit.
Minatnya terhadap Islam semenjak umur 16 tahun akhirnya membawa beliau memilih cara hidup ini pada umur 18 tahun selepas berhadapan dengan pelbagai cabaran yang menghalangnya. namun kerana semangat yang begitu tinggi, beliau merasakan ia bukanlah satu perkara yang harus ditangguh-tangguh dan perlu diaplikasi segera.
Dalam menjawab persoalan mengapa majoriti umat Islam yang menganutnya sejak lahir tetapi pengamalannya jauh sekali daripada mereka yang menerima hidayah, Roslan Mohamed menekankan bahawa salah faham mengenai Islam sebagai agama generasi menjadikan faktor ini berleluasa.
Islam berpaksi kepada sebab-sebab yang diturunkan oleh Allah s.w.t. Sebagai agama fitrah, ia merupakan keperluan manusia untuk mengenali dan mengambilnya sebagai cara hidup sebenar kerana sifat manusia yang tidak statik sentiasa mencari-cari jalan yang selamat dan sejahtera dalam apa jua keadaan.
Masalah mereka yang menerima Islam sejak awal kerana tidak memahami bahawa agama ini hadir dalam bentuk hidayah bukannya secara generasi. Kerana itu, perasaan hidayah sebenarnya punca yang membentuk hati manusia.
Bagi mengembalikan Islam pada kedudukan yang sebenar, usaha-usaha pemurnian seharusnya dilakukan secara bersungguh-sungguh. Pemurnian tersebut meliputi membawa manusia kembali kepada Islam syumul serta komprehensif, yang merangkumi norma-norma kehidupan manusia daripada perkara-perkara kecil sehinggalah yang menyentuh konsep ummah dan negara.
Selain itu, Islam perlu difahami sebagai agama bersifat realiti dan semasa, bukannya berbentuk khayalan dan pemikiran semata-mata. Apabila Islam membicarakan tentang dunia, dalam masa yang sama ia turut menekankan konsep pembalasan yang membawa kepada realiti keadilan dalam sejagat.
Pengharmonian umat generasi baru dan lama dalam menguraikan permasalahan umat hari ini berpunca daripada beberapa permasalahan. Jahil tentang Islam dengan menganggapnya mudah dan menolaknya sebagai pegangan hidup, menyebabkan konflik berlaku dalam setiap perkara.
Roslan Mohamed memetik kata-kata Dr. Yusuf Qardhawi, dengan sebab kejahilan menyebabkan ummah berpecah dalam konteks pemikiran dan cara hidup yang tidak seimbang menjadikan diri mereka musuh kepada Islam.
Selain itu, Islam turut terhalang kerana sikap umat sendiri yang mempunyai penghayatan ilmu dan iman yang hanya sekadar. Perkara ini dapat dilihat dalam contoh solat, ia hanya difahami dengan bilangan rakaatnya tetapi bukan pengisiannya sehinggakan membawa kepada krisis akhlak.
Kerana itu seorang Muslim seharusnya menolak jauh-jauh pandangan Islam sebagai agama pusaka peninggalan, dengan pelaksanaan dan penerimaan didikan Rasulullah dan menjadikan Islam sebagai agama kemajuan, sesuai dengan kesedaran masyarakat kebelakangan ini.
Dalam menyentuh permasalahan di kalangan umat Islam yang secara sengaja menyelewengkan penafsiran al-Quran untuk memenuhi agenda mereka secara individu mahupun berkelompok, Ravi Abdullah melihat keadaan ini merupakan kerugian terhadap golongan itu sendiri yang jelas cetek ilmu dan penghayatannya.
Sebagai contoh apabila menyentuh surah Al-Baqarah ayat 256 yang bermaksud: Tidak ada paksaan dalam agama Islam, penafsiran ayat ini seharusnya bersandarkan kepada penafsiran Rasulullah, asbab an-nuzul dan rai (pandangan para ulama) bagi mengelakkan diri daripada penafsiran bersifat celaan.
Islam seharusnya diterima secara menyeluruh sebagaimana ditekankan dalam surah al-Maidah ayat 85 yang menjadi petunjuk kesempurnaan Islam. Mahu tidak mahu, golongan yang gemar memilih-milih sebahagian hukum Islam dan menolak sebahagiannya seharusnya tunduk patuh dan kembali kepada konsep sebenar dalam mengakhiri perjalanan seorang Muslim sebagai muhsin dan mukmin.
Menariknya, beliau turut mengaitkan gejala kurang membaca di kalangan umat Islam tempatan menjadikan Islam sasaran negatif yang melemparkan istilah mundur dan pengganas di kalangan umatnya. Kesan daripada budaya pembacaan yang jauh ketinggalan berbanding masyarakat Jepun, umat Islam di Malaysia kurang menghayati dan memahami makna serta keindahan Islam yang seharusnya dijiwai dan diberi penampilan bersifat gemilang.
Tambah beliau, pemakaian bercirikan keIslaman dipandang jelik oleh bukan Islam berpunca daripada paparan-paparan visual penjenayah serta pemakaian tidak sempurna yang menjadikan pakaian tersebut sebagai label dirinya yang secara tidak langsung menyentuh umat Islam keseluruhan.
Kerana itu, masalah akidah perlu ditangani dan masyarakat perlu bersemangat menyahut seruan Rasulullah untuk menanganinya. Al-Quran adalah sumber kekuatan yang perlu digerakkan habis-habisan kerana bersandarkan pengalamannya, itulah sumber kekuatan beliau ketika sebelum pengIslamannya yang menjadikan tilawah al-Quran di kaca televisyen dan radio sebagai peneman jiwanya, kesan daripada mukjizat ayat-ayat Allah ini.
Proses kerja dakwah adalah proses sejagat. Rasulullah adalah model ikutan umat yang diutuskan untuk memberi gambaran bahawa usaha-usaha seterusnya adalah di bahu setiap Muslim dalam menggalakkan usaha-usaha kebaikan. Roslan Mohamed menyebut, Islam adalah hak semua tanpa mengira etnik. Kejahatan yang merebak dalam sebuah masyarakat berpunca daripada sikap melihat dakwah sebagai sesuatu yang kurang wajar.
Tambah beliau, Syeikh Muhammad al-Ghazali dalam mendefinisikan dakwah berkata bahawa ia merupakan satu proses memerdekakan hati agar kembali kepada fitrah. Metodologi dakwah yang paling utama ialah dengan membina jaringan antara individu melalui amalan ziarah, akhlak yang mulia sesuai dengan didikan Islam.
Selain itu, seseorang perlulah menyampaikan mesej Islam sesuai dengan tingkat pemikiran individu tersebut. Dalam meraikan kemerdekaan yang ke 47, umat Islam di Malaysia perlu bertanya, ke mana mereka selepas ini? Wajar umat Islam menjadikan diri mereka sebagai teman setia yang boleh dipercayai oleh orang lain dan komited dengan dakwahnya mengikut kemampuan masing-masing
Melalui forum ini, ia tidak sekadar membincangkan tentang kisah pengIslaman dan pengalaman-pengalaman yang dilalui untuk memilih cara hidup ini. Lebih jauh daripada itu, ia merupakan bedah siasat terhadap diri sebagai seorang Muslim, sama ada usaha memperbaiki diri dan masyarakat sudah dijalankan oleh setiap individu atau sekadar berkata dan hanya menuding jari menyalahkan orang lain apabila ia gagal.

Penulisan - Sumber kekuatan yang perlu digali

06/07/2004
DUNIA penulisan bukannya dunia kecil bagi segolongan individu atau hanya layak bagi sekelompok manusia untuk mencatat sesuatu sebagai makanan jiwa dan minda manusia, yang tidak putus mencari jawapan bagi persoalan-persoalan yang timbul saban waktu. Tamadun manusia meletakkan penulisan sebagai khazanah yang cukup besar dan hebat dalam merakam suasana sosial masyarakat pada zaman tersebut, sehingga ia cukup dikagumi dan corak perjalanan dihayati.
Ibn Khaldun berkelana berbatu-batu jauhnya dan catatan sepanjang ekspedisinya ke akhir hayat beliau sehingga kini dihargai dan dijadikan rujukan berzaman, khususnya bagi mereka yang mendalami sosiologi. Muqadimah, bukan karya biasa yang menceritakan bagaimana tamadun di sekitar Tanah Arab berkembang dan mengalami kemundurannya, sebaliknya ia adalah perbandingan kehidupan dahulu dan hari ini yang tidak jauh beza dari sudut turun naiknya.
Cerita-cerita masyarakat adalah hidangan enak yang bersifat pelbagai. Suara rasa manusia apabila dicampur aduk tidak jauh bezanya dengan rojak yang mempunyai rasa pedas manis setelah dicampur kuah kacang. Jauh sekali untuk mengatakan cerita hari ini sudah tidak relevan dengan apa yang telah dan akan berlaku kelak.
Ketika penulis melewati sekitar kaki lima Masjid India, perhatian penulis tertumpu pada himpunan buku-buku lama yang dilambakkan di sudut jalan yang beralas kanvas biru dengan diselitkan kad manila bertulis harganya yang sangat murah. Dengan senyuman, seorang pemuda berusia lingkungan 40-an datang menyapa dan mempelawa penulis untuk membelinya.
Ia sekadar fenomena biasa dan sering kali kita terlepas pandang akan kepentingannya. Sekali lihat, ia sekadar longgokan buku yang sudah bertukar warna dan sudah hampir lusuh. Kulit-kulit buku tidak sekeras mana tetapi masih setia menunggu orang ramai yang mundar-mandir dari pagi hingga petang, dari kedai-kedai dan pejabat berhampiran untuk memilih satu dua buku dalam pelbagai tajuk, daripada politik hingga hiburan, daripada fakta kepada fiksyen untuk dibawa pulang.
Jika diamati, penulis yakin anda sendiri akan merasa kagum dan timbul rasa hormat yang tinggi ke atas para pengarang buku-buku ini. Kagum dengan nilai ilmu dan cerita masyarakat yang tidak jauh bezanya dengan situasi kini, meskipun sudah menjangkau 30 tahun. Bahasanya cukup mudah, ringan tidak memberatkan minda meskipun apa yang disampaikan ada kalanya menyentuh konflik masyarakat yang bersifat kompleks. Wajar ucapan terima kasih disampaikan kepada orang-orang lama ini yang tidak jemu melaungkan seruan hati dan buah fikiran mereka dengan harapan berubahlah corak hidup dalam suasana tempatan dan antarabangsa.
Peristiwa tersebut menjadi titik tolak kepada penulis untuk melihat kembali suasana masyarakat yang penuh kelemahan dan ikatan individu yang longgar serta memikirkan apakah sebagai individu, rakyat di sebuah negara aman merdeka ini mempunyai kekuatan untuk menyumbang khususnya pada usia pertengahan remaja ini. Manfaatnya cukup besar apabila dakwat bertemu selembar demi selembar kertas. Satu perkataan mampu menggambarkan kelemahan dan kekuatan, sokongan atau kebencian, putus asa dan harapan.
Bagi dunia Barat, penulisan di kalangan kanak-kanak tidak dianggap satu keanehan atau kejanggalan bagi masyarakat mereka. Penulisan kanak-kanak dihargai dan dijadikan sebagai sumber mendidik dan mengembangkan potensi kanak-kanak, malah menjadi dunia perniagaan yang menguntungkan bagi penerbit-penerbit buku. Jauh daripada itu, penulisan kanak-kanak sudah dianggap klasik dan menjadi rakaman sosial dalam memahami latar budaya dan bentuk pemikiran kanak-kanak pada zaman tersebut.
Francis Hawkin, pada tahun 1641 ketika usianya 8 tahun, menulis sebuah buku yang menyentuh tentang adab seorang kanak-kanak yang dipanggil Youth Behaviour. Katherine Hull dan Pamela Whitlock, masing-masing berumur 15 dan 16 tahun, mereka bekerjasama menulis sebuah buku daripada kanak-kanak untuk kanak-kanak ketika mereka berteduh pada hari hujan dalam perjalanan ke sekolah di England. Buku The Far Distant Oxus diterbitkan pada tahun 1937 dan menjadi salah satu karya klasik dunia Eropah dan Amerika.
Bagi Dorothy Straight dari Washington, beliau menghasilkan sebuah buku, How the World Began pada usia 4 tahun dan diterbitkan pada tahun 1964, dua tahun selepas itu. Hasil karya kanak-kanak turut mencapai jualan jutaan naskhah sebagaimana karya S.E Hinton yang memulakan dunia penulisannya di sekolah tinggi dengan menghasilkan draf awal bertajuk The Outsiders pada usia 15 tahun. Beliau mengambil masa satu setengah tahun menyiapkan karyanya yang berkisar tentang remaja berkumpulan dan konfrantasi antara mereka dan penulisannya diterbitkan pada tahun 1967.
Kisah benar mengenai kehidupan dijadikan sandaran James Dewitt, berusia 12 tahun dalam merakamkan kehidupan berkeluarga yang berhadapan dengan tragedi di ladang milik keluarganya di Winconsin. Menariknya, bukunya Jamies Turn dihasilkan oleh beliau meskipun James mempunyai kesukaran dalam pembelajaran seawal usia itu.
Berbeza bagi Gordon Korman yang menghasilkan karya This Cant Be Happening at MacDonald Hall merupakan projek sekolah gred tujuh yang berjaya diterbitkan. Selepas menamatkan pengajian di sekolah tinggi, beliau menghasilkan lima buah karya antaranya Go Jump in the Pool dan Beware the Fish.
Tidak kira sama ada kanak-kanak, remaja mahu pun dewasa, peranan kita sebagai manusia yang hidup pada zaman ini perlu digembleng habis-habisan dengan daya motivasi dan semangat yang tinggi memanfaatkan segala yang ada di sekeliling, baik usia mahupun masa untuk menyumbang ke arah kebaikan. Ilmu kemasyarakatan hanya akan diperoleh apabila ada kesedaran dan sifat keterbukaan dan berani keluar dari tempurung.
Malah, peranan akhbar dalam apa jua bahasa adalah cermin masyarakat. Seringkas mana berita atau rencana yang dicetak, faedahnya cukup besar jika pembaca dapat mengaitkannya dengan kehidupan mereka sendiri. Akhbar adalah rojak kehidupan manusia yang mengadun pelbagai ragam sejak awal sejarah kelahiran media cetak hingga kini, sehingga ia berkembang dalam bentuk majalah dan media elektronik seperti internet yang menyediakan maklumat mencecah sehingga membawa kepada kewujudan industri e-buku yang menyaingi industri percetakan tradisional.
Setiap kita perlu memikirkan sebarang bentuk sumbangan untuk membina motivasi diri dan masyarakat ke arah perkembangan yang positif. Setiap kali kisah remaja pasti dikaitkan dengan kebejatan sosial daripada isu lepak, bohsia dan bohjan, kaki rokok, dadah, lumba haram, dan pelbagai bentuk jenayah yang tersenarai. Kekerapan berita-berita negatif mengenai remaja mengakibatkan masyarakat umum mudah memberi label bermasalah sehingga ia benar-benar berlaku.
Jawapan remaja hari ini bukannya dengan memberontak semata-mata, sebaliknya bertindak dengan fikiran dan motivasi untuk menyatakan bahawa remaja adalah penyumbang besar dalam apa jua bentuk lapangan dan bidang, sama ada yang berpendidikan tinggi mahupun tidak. Pemikiran kreatif dan bakat perlu dilatih dan dirancang agar hasil yang hebat dapat dikongsi bersama. Penulisan adalah salah satu sumber kekuatan yang perlu digali ilmunya, diwarisi kemahirannya dan diletakan pada kedudukan yang mengangkat nilai-nilainya.
Kemurnian agama perlu ditonjolkan melalui personaliti yang hebat sehingga orang melihat kehidupan beragama membentuk tabiat hidup yang positif dan bermatlamat. Jika dahulu kemalasan dan kemunduran seseorang acap kali dikaitkan dengan agamanya dan disebar melalui lisan di sana-sini, hari ini ia menjadi permainan antarabangsa melalui media cetak dan elektronik dunia. Di mana kita ketika itu?
Konsep dakwah melalui penulisan sangat terbuka luas untuk sesiapa meletakkan diri dalam perjuangan meraih kebahagiaan dua dunia. Hatta pendidikan al-Quran melalui penulisan wahyu menggambarkan betapa kekuatan penulisan menjangkaui sempadan fizikal. Ia menyerang pemikiran yang keji, penuh hasad dengki dan menggantikannya dengan kebenaran bersandarkan nilai ukhuwah dan kasih sayang yang tinggi antara umat dan Maha Pencipta .
Rasa cinta yang mendalam terhadap Rasulullah dan Islam menggerakkan hati para sahabat dan tabi`en merakamkan segala bentuk perbuatan baginda dan mengembangkan lagi kefahaman umat terhadap al-Quran melalui hadis-hadis. Pembudayaan budaya menulis dan menghimpunkannya sebagai wadah ilmu dalam sejarah pengumpulan hadis diteruskan sehingga pada waktu ini kita berpeluang menyelak dan membaca himpunan hadis oleh ulama seperti Imam Bukhari, Muslim dan seangkatan dengan mereka.
Malah dalam tamadun besar seperti China, budaya penulisan cukup hebat dan dihimpunkan dalam bentuk skrol-skrol yang disimpan dalam tempat khas sehingga kebanyakannya musnah kesan daripada peperangan antara kerajaan kota. Betapa pentingnya penulisan pada zaman dahulu memperlihatkan bagaimana usaha tentera yang berjaya mengalahkan pihak musuh akan merampas hasil-hasil tulisan terdahulu untuk disimpan atau dibakar supaya ia tidak dibaca oleh generasi seterusnya. Ia tidak ubah seperti kisah Baghdad dilanggar bala tentera Monggol dan menjadikan buku-buku dan catatan sebagai jambatan merentasi sungai untuk kuda-kuda mereka.
Inilah kehidupan, sama ada kita menjadi agen perubahan atau mangsa keadaan. Penulisan adalah salah satu cabang usaha untuk mengubahnya agar manusia sentiasa ingat tentang kelemahannya, sedar apa yang perlu dilakukan. Idea-idea bernas dan teliti para pembaca melalui satu perbincangan umum dapat dijana melalui dunia penulisan. Usaha yang sekecil anak hari ini membawa hasil yang di luar jangkauan seandainya ia dilakukan dengan penuh keinginan ke arah kebaikan.

Persahabatan - Jambatan kasih sayang dunia akhirat

02/06/2004
Mampukah manusia hidup sendiri tanpa perlu memiliki sesiapa pun sebagai sahabat? Perjalanan kehidupan manusia tidak lengkap tanpa hubungan dengan individu-individu sekeliling.
Selain keluarga dan saudara mara, sahabat merupakan satu bentuk perhubungan sosial individu yang penting dalam mengimbangi corak kehidupan.
Membina persahabatan khususnya dalam dunia moden ini tidak sekadar mengenali dan bertemu untuk berbual bicara atau memenuhi waktu senggang semata-mata.
Persahabatan muncul dalam pelbagai keadaan. Ia berlaku tanpa sempadan waktu dan tempat yang khusus. Ada persahabatan yang muncul dalam pertemuan yang bersifat formal seperti urusan pejabat, perniagaan dan ada yang terbentuk kesan daripada pertemuan tidak formal sebagaimana dapat dilihat dalam hubungan kejiranan, penglibatan sebagai pelajar di sekolah dan institusi pendidikan, atau ketika menanti pengangkutan awam.
Keakraban timbul apabila pertemuan tersebut berulang-ulang serta wujud persamaan antaranya dan mengurangkan jurang serta rasa asing antara individu.
Membina persahabatan merupakan jalinan proses yang penting kerana ia amat berkait rapat dengan perkembangan nilai-nilai kendiri. Dengan seribu satu masalah sosial yang berlaku di setiap ceruk dunia, amatlah penting bagi seseorang menilai dan mempunyai sikap berhati-hati dalam memilih sahabat. Didikan Islam tidak menolak kepentingan sahabat dalam membina nilai murni seorang Muslim khususnya dalam pembentukan jiwa.
Secara umumnya, sahabat boleh dikelompokkan dalam beberapa kumpulan. Terdapat sahabat yang mempunyai kejujuran dan sentiasa berlaku adil serta setia bersama sebagai teman buat diri dalam setiap keadaan. Malah ada sahabat yang mendampingi diri atas dasar kepentingan dan keuntungan individu atau berniat membawa ke arah yang membinasakan.
Realiti sebenar membawa kepada satu pengertian bahawa sahabat yang baik tidak ramai dan sukar dicari kerana mereka umpama cermin dalam kehidupan kita. Cermin yang memantulkan sikap dan memperingatkan kelebihan dan kekurangan, malah adakalanya menjadi pendorong kita mencari kekuatan diri yang adakalanya kita tidak mengetahuinya sama sekali. Seorang Muslim harus menjadi cermin dalam menjalin hubungan persahabatan dan menjadi penunjuk arah pada waktu kesesatan dan kealpaan.
Manusia yang sanggup berkorban dan berjuang dalam melindungi apa yang dipercayainya benar adalah seorang sahabat yang mulia. Rasulullah s.a.w. dalam catatan kehidupannya dapat ditonjolkan beberapa watak kehidupan yang menjadi insan mulia dan sahabat yang setia sepanjang kehidupan baginda. Abu Bakar as-Siddiq, seorang sahabat dan teman sejati Rasulullah s.a.w. dalam memperjuangkan kebenaran Islam pada waktu susah dan senang. Beliau membenarkan setiap kata-kata al-Amin ini dan bersedia dalam setiap masa untuk berseorangan mempertahankan nyawa serta keselamatan baginda sebagaimana ditonjolkan dalam ekspedisi hijrah ke Yathrib.
Kasih sayang adalah aset berharga dalam pembentukan nilai persahabatan yang mulia. Malah kita berulang kali diperingatkan bahawa orang yang beriman itu adalah mereka yang menyayangi saudaranya sebagaimana seseorang itu menyayangi dirinya sendiri. Disebabkan kasih sayang berpaksikan rasa cinta terhadap Tuhan, nilai persahabatan mulia diangkat kepada nilai persaudaraan sebagaimana Rasulullah s.a.w. mengisytiharkan persaudaraan antara kaum Ansar dan Muhajirin.
Sikap dan perlakuan seseorang amat berkait rapat dengan faktor persahabatan. Seringkali kejahilan dan sikap sambil lewa dalam memilih sahabat menjerumuskan kita ke lembah kesesatan dan menjauhkan diri dari jalan Tuhan akibat memilih sahabat bertopengkan manusia, namun sikapnya berwatakan syaitan. Adakalanya kita memilih sahabat bersandarkan rumpun bahasa dan bangsa yang sama semata-mata sehingga wujud rasa curiga terhadap mereka yang berbeza, walhal memilih sahabat bukannya bersandarkan kepada kriteria bangsa, warna kulit atau bahasa kerana perhubungan yang baik bermula daripada niat dan gerak hati serta cara hidup mereka. Malah Baginda memperingatkan dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Abu Daud dan Tirmidzi, bahawa sikap dan perilaku seseorang itu adalah kesan daripada siapa yang diikutinya, yakni sahabatnya.
Al-Quran menyebutkan, Dan (ingatkanlah) perihal hari orang-orang yang zalim menggigit kedua-dua tangannya (marahkan dirinya sendiri) sambil berkata: ``Alangkah baiknya kalau aku (di dunia dahulu) mengambil jalan yang benar bersama-sama Rasul? Wahai celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si dia itu menjadi sahabat karib! Sesungguhnya dia telah menyesatkan daku dari jalan peringatan (al-Quran) setelah ia disampaikan kepadaku dan adalah syaitan itu sentiasa mengecewakan manusia (yang menjadikan dia sahabat karibnya). (Al-Furqaan: 27-29).
Membina persahabatan kerana Allah semata-mata adalah jambatan yang mempereratkan hubungan hati manusia dan menjadi pendinding jiwa daripada unsur-unsur yang merosakkan semangat setiakawan. Dengan niat sedemikian, hasad dengki, keinginan mengambil kesempatan, kecenderungan untuk menumpang kesenangan ketika perlu dapat ditolak jauh-jauh kerana nilai persahabatan yang terbentuk adalah untuk memenuhi semangat kerjasama dan rasa ingin meraih keredhaan Maha Pencipta.
Teringat kembali bait-bait sajak Ku Cari Damai Abadi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada malam Puisi Utusan ke 10, 9 Mei 2003, yang menyebutkan, Aku cari Mana dia Al-Ghazali, aku cari mana dia Al-Shafie, seolah olah meletakkan diri kita berfikir kembali adakah sahabat yang kita miliki hari ini mempunyai bayangan sikap, pemikiran dan cara hidup sebagaimana mereka ini untuk diambil sebagai panduan dalam membersihkan hati.
Dunia mengiktiraf sambutan hari Persahabatan Antarabangsa setiap 3 Ogos saban tahun dalam usaha menghargai sumbangan seorang sahabat dalam kehidupan untuk hidup lebih cemerlang dan positif. Mereka yang meraikannya dalam pelbagai bentuk sama ada dalam bentuk kiriman kad, panggilan telefon, hadiah, mengadakan majlis dan sebarang bentuk aktiviti. Bagi kita sebagai seorang Muslim, menjadi seorang yang baik tidak sekadar mengambil tempat pada waktu hidup di dunia tetapi ia berlanjutan hingga ke akhirat dengan sentiasa mendoakan dan mengharapkan rahmat dan redha Allah s.w.t. ke atasnya sentiasa dan menginginkan yang terbaik. Sentiasalah menjadikan diri kita seorang sahabat yang setia sebagaimana setianya Abu Bakar terhadap Rasulullah s.a.w.

Ciri-ciri PLKN perlu dikaji semula

19/04/2004
KINI menghampiri bulan ketiga, Progam Latihan Khidmat Negara (PLKN) dijalankan di kesemua Institusi Pengajian Tinggi Awam di seluruh Malaysia. Berdasarkan perancangan awal, Khidmat Negara merangkumi 20 peratus latihan asas ketenteraan yang tidak pun melibatkan penggunaan senjata. Manakala 40 peratus lagi pengisian bercorak elemen kenegaraan yang bertujuan meningkatkan semangat patriotisme dan cintakan negara dan 40 peratus lagi melibatkan program khidmat masyarakat yang memerlukan para peserta berdamping secara langsung dengan orang ramai melalui kerja-kerja kemasyarakatan.
Faktor ketahanan sosial menjadikan PLKN unik dari sudut pelaksanaannya. Ia membezakan di antara progam seumpanya seperti mana dilaksanakan di Singapura yang mirip kepada kerahan tenaga berunsur ketenteraan.
Dalam meningkatkan nilai-nilai murni, PLKN merupakan satu agenda negara dalam memastikan semangat kental di kalangan generasi muda dengan jiwa patriotisme dan keakraban antara kaum dapat dipupuk. Usaha mengukuhkan pembinaan bangsa, membentuk semangat bersatu padu, memupuk nilai-nilai baik dan cintakan negara di kalangan anak muda yang menjadi aset negara masa depan di bayangi dengan pelbagai masalah yang timbul di kalangan peserta sendiri.
Pergaduhan di antara peserta sebagaimana dilaporkan baru-baru ini meskipun tidak melibatkan kesemua pusat latihan PLKN adalah perkara yang amat serius dan perlu dipantau dengan penuh berhati-hati. Di dalam Buletin Utama TV3 bertarikh 12 April 2004, seorang remaja berbangsa Cina cedera setelah dibelasah oleh seorang remaja Melayu setelah meminta sebatang rokok yang dihisapnya berdasarkan laporan awal yang diberikan. Ia bukan pergaduhan kaum atau seumpamanya, sebaliknya dilihat kepada pertentangan individu yang datang dari latar hidup berbeza.
Sebagaimana disebutkan sebelum ini pada 14 Ogos 2003 oleh Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Khidmat Negara, Datuk Seri Najib Tun Razak, seramai 85,000 belia yang lahir pada tahun 1986 akan dipilih menggunakan sistem undian berkomputer itu.
Pelantikan sebuah syarikat membangunkan perisian bagi membolehkan pilihan secara undian berkomputer itu diadakan bertujuan memastikan keseimbangan kaum, jantina dan negeri peserta.
Kembali kepada situasi awal yang berlaku kini, laporan berita menyebutkan kedua-dua remaja tersebut didapati telah pun bekerja dan dipanggil untuk menyertai progam tersebut. Dalam memastikan PLKN pada masa akan datang dapat digerakkan dengan lancar dan sempurna, sebaiknya jika senarai nama yang dipilih dikeluarkan oleh pihak sekolah dan disalurkan melalui Kementerian Pendidikan agar wujud satu mekanisme yang dapat mengawal percampuran antara pelajar sekolah dan remaja yang telah awal-awal lagi menamatkan persekolahan mereka.
Bagi remaja yang didapati tidak meneruskan persekolahan mereka, pemilihan mereka masih diambil kira dan progam ke atas mereka perlu diasingkan dengan remaja lepasan sekolah bagi memastikan segala masalah dapat dikenal pasti dan unsur-unsur pengaruh mempengaruhi tidak timbul antara dua kelompok ini.
Dalam laporan akhbar bertarikh 12 April 2004, polis telah menahan tiga lelaki termasuk seorang peserta Program Khidmat Negara (PKN) petang kelmarin, kerana disyaki terbabit dalam kejadian merusuh dengan bersenjatakan kayu dan besi di Kem PKN di Kisana Beach Resort, Semerak, Pasir Puteh, Isnin lalu.
Persoalannya kini apakah kaitan antara peserta PKN dan dua lagi pekerja kantin itu berusia 18 hingga 20-an yang ditahan di kem berkenaan. Adakah terdapat unsur-unsur luar yang cuba mensabotaj progam ini masih belum diketahui.
Kita dapat membezakan mentaliti remaja di luar yang penuh terdedah dengan pelbagai realiti hidup dan yang masih di alam persekolahan yang masih terkawal suasana kehidupannya. Apabila berlaku pertentangan, salah satu pasti akan terpengaruh dan mengikut rentak seorang lagi.
Ini jauh berbeza dengan kaedah yang digunakan sekarang di mana senarai calon diperoleh daripada Jabatan Pendaftaran Negara, kemudian proses pengundian dilaksanakan melalui dua peringkat.
Peringkat pertama iaitu Stratified Random Sampling (RPS), yang mengasingkan calon-calon kepada kumpulan-kumpulan mengikut negeri, kaum dan jantina. Kemudian senarai calon akan dibahagikan kepada kumpulan mengikut negeri iaitu 13 negeri dan tiga Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Calon-calon dari 16 kumpulan ini akan dibahagikan lagi mengikut kumpulan lain, yang dibahagikan lagi mengikut kumpulan jantina.
Setelah proses pembahagian calon kepada tiga kumpulan selesai, barulah proses pengundian peserta rawak dilaksanakan.
Sistem pengundian secara rawak digunakan untuk memilih peserta kaedah Selective Technique Without Replacement sehingga semua kuota yang telah ditetapkan berjaya dipenuhi.
Nilai kuota yang ditetapkan adalah berdasarkan komposisi kaum dan komposisi jantina bagi Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Pada 29 Mac 2004, salah seorang peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) fasa dua di Universiti Putra Malaysia (UPM) tampil menemui kaunselor universiti itu untuk memohon bantuan bagi mengubati sikapnya yang suka menghisap ganja setelah melalui program itu selama sebulan. Progam ini dikatakan berjaya dengan pendedahan remaja yang ingin dibantu mengubati ketagihannya, penulis percaya ada beberapa orang lagi remaja yang akan tampil demi memperbaiki mutu kehidupan mereka.
Berdasarkan laporan akhbar bertarikh 25 Januari 2004, Jawatankuasa Program Khidmat Negara (PKN) akan menjalankan pemeriksaan air kencing ke atas mana-mana peserta program tersebut yang disyaki terlibat dengan pengambilan dadah.
Dalam hal ini, keupayaan jawatankuasa melalui kumpulan doktor dan petugas yang ditugaskan perlu diperkuatkan dengan bantuan mereka yang terlatih dari institusi-institusi seperti PENGASIH, PEMADAM dan badan-badan bukan kerajaan seumpamanya yang mampu bertindak dalam menangani kes-kes awal.
Kewujudan satu kem khas bagi menempatkan kira-kira 100 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PKLN) yang dikenal pasti mempunyai masalah disiplin perlulah digerakkan secara berhati-hati dan laporan awal perlu dimaklumkan kepada ibu bapa berkenaan perkembangan anak-anak mereka di sana.
Kerjasama antara NGO dan kerajaan dalam usaha menjadikan PLKN imej negara dengan remaja penuh berdisiplin, semangat waja dan penuh cinta negara menjadi pemangkin kepada progam ini.
Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Jemaah Islam Malaysia (JIM) bertarikh 2 April 2004, agar aspek pengisian kerohanian dan penghayatan agama termasuk penjadualan solat berjemaah untuk pelatih beragama Islam. Aspek ini penting untuk menangani gejala pergaduhan/gangsterisme dan pelbagai pelanggaran akhlak dan tatasusila yang berlaku di kalangan pelatih semasa menjalani latihan.
Perbelanjaan awal sebanyak RM300 juta sebagaimana dilaporkan di dalam Bajet 2004 menunjukkan usaha melahirkan remaja unggul bukan satu kerja mudah, ia melibatkan satu kos yang tinggi dan komitmen berterusan daripada pihak kerajaan, bukan kerajaan, ibu bapa dan peserta sendiri untuk meletakkan PLKN sebagai progam contoh dan setanding dengan progam latihan seumpama ini di negara-negara lain.
Kita perlu bersedia mendengar dan memperbetulkan keadaan yang masih terkawal ini dan post mortem yang bakal dikeluarkan kelak akan membawa kepada perancangan yang lebih kemas dan teratur.

Mengatasi gengsterisme - Muhasabah dan muafakat dalam tindakan

07/04/2004
Tidak kira di mana sahaja berada, para ibu pasti menginginkan suasana yang selamat dan terkawal untuk anak-anak mereka di sekolah yang berperanan mengangkat kualiti pendidikan. Dengan suasana komuniti berhadapan dengan gejala dadah, gengsterisme dan pemilikan pistol secara berleluasa, ia mengancam dan membebankan prinsip-prinsip yang kita dukung selama ini. Sesiapa yang merasakan diri mereka tidak terancam dengan suasana begini, sebenarnya mereka golongan yang naif.
Kenyataan yang disuarakan oleh Micheal Durso, Pengetua Sekolah Tinggi Springbook dalam majalah Washingtonian bertarikh September 1997, memperlihatkan gambaran situasi mencabar yang mengganggu-gugat sistem pendidikan di Amerika Syarikat. Apa yang disuarakan oleh beliau bukannya masalah dalaman mereka sendirian kerana Malaysia dan negara-negara lain turut berhadapan dengan gejala yang sedang tumbuh menjadi budaya. Soalnya hari ini bukan siapa hendak dipersalahkan tetapi mencari alternatif untuk menyelesaikan masalah yang membantutkan proses perkembangan minda dan tamadun manusia. Institusi-institusi pendidikan seperti sekolah telah dicabar oleh ahli-ahlinya sendiri, iaitu para pelajarnya dengan tindakan-tindakan melampau yang membawa kepada mudarat dan bahaya.
Kisah terkini yang menyambung dilema pendidikan negara dengan kematian seorang lagi pelajar Muhammad Farid Ibrahim, yang mati dibelasah sekumpulan pelajar senior di asrama Sekolah Menengah Agama Dato Klana Petra Maamor, Ampangan seolah-olah memberi satu lagi tekanan dalam menyelesaikan keadaan ini. pendarahan otak, usus pecah dan lebam hati akibat kesan pukulan dengan objek keras merupakan hasil terbaru kesan gejala yang tidak dapat dibendung sepenuhnya. Lebih parah lagi, sekolah agama kerajaan merupakan lokasi kejadian ini berlaku.
Para pelajar sekolah dikelompokkan kepada dua, kelompok kuat dan lemah. Sebagaimana kebiasaan yang lemah tiada tempat bergantung melainkan hanya mampu mengadu apabila ditindas yang kuat. Suasana sebegini berlaku sama ada di sekolah harian mahupun berasrama. Ketika ini kita perlu sekali lagi menilai keberkesanan sistem dalam mendidik hati para pelajar selain mempertingkatkan kemampuan mental pelajar dalam dunia akademik serta persiapan kerjaya masa hadapan. Selagi rasa ego, senioriti, tuan-hamba berlegar dalam minda pelajar, selepas ini kita bakal melihat satu lagi pelajar menjadi ganti Muhammad Farid Ibrahim kepada kes yang mungkin dilupakan masyarakat sebulan dua ini.
Terdahulu, hukuman merotan dilihat dapat membendung masalah gengsterisme di kalangan pelajar apabila cadangan ini diterima pakai dan disokong oleh banyak pihak. Kelihatan ia seperti satu cara yang berkesan kerana memberi kesan kepada pelajar. Tetapi, sejauh mana keberkesananya dapatkah ia dinilai melalui kajian atau angka-angka statistik salah laku di kalangan pelajar merupakan perkara penting untuk dilihat semula.
Dunia moden banyak membawa kepada perubahan pemikiran manusia melalui limpahan maklumat serta pergaulan yang semakin luas sempadannya. Remaja sebagai pelajar abad ini semestinya berhadapan dengan perubahan tersebut yang mana mereka sedar dan sanggup meredah risiko atas perbuatan mereka. Sebagaimana dikongsi oleh rakan penulis pada zaman persekolahannya, pelajar yang dihukum rotan masih mampu tersenyum kerana apa yang dilakukan sudah dilaksanakan. Malah satu ketika, terdapat sekolah yang menjemput bapa pelajar sendiri untuk merotan anaknya di hadapan ribuan pelajar.
Kesannya cukup mendalam, rasa malu dan terhina dengan hukuman sedemikian. Ia mungkin membantu membantutkan sikap samseng dan kurang ajar pelajar tetapi kita perlu mengambil kira bagaimana sikap pelajar-pelajar keseluruhan sebagai komuniti kecil yang turut menyaksikan dan mengetahuinya? Persoalannya, sama ada pelajar-pelajar mempunyai sikap mengambil berat serta memberi sokongan dan melihat rakan yang dirotan dengan rasa simpati atau disambut pula dengan sindiran keras. Jika berlaku keadaan kedua, siapa pula bakal menanggung risiko baru seterusnya, guru yang menghukum, keluarga atau rakan-rakan yang menyindir?
Hukuman rotan perlu dilakukan secara bijak setelah usaha-usaha lain sebelumnya telah dilakukan dan diperbaiki kelemahannya. Pada 18 September 2003, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim menyifatkan kejadian seorang pelajar Sekolah Menengah Teknik Arau, Mohd. Firdaus Abd. Rahim, 16 dipukul oleh sekumpulan pelajar senior sekolah itu sehingga terpaksa dibedah adalah serius dan kejam. Secara fizikal, ia kelihatan begitu dan dalam masa yang sama masyarakat turut bersifat kejam jika hanya terus menerus menyalahkan pelajar walhal gejala-gejala luaran dibiarkan menerobos masuk ke minda mereka.
Jauh daripada memastikan keselamatan sekolah dikawal melalui peraturan, hukuman dan amaran, kita perlu menyedari sekolah bukannya sahaja pusat mendidik para pelajar, mempersiapkan mereka dengan pelbagai jenis ilmu dan memastikan mereka dapat pergi jauh lagi dan membina kerjaya yang cemerlang, malah ia merupakan institusi moral dan budaya pelengkap kehidupan hari ini dan akan datang. Lebih penting lagi, sekolah berperanan secara tiga hala, mendidik murid, guru dan ibu-bapa sendiri.
Mesyuarat tahunan PIBG yang menghimpunkan guru-guru dan ibu bapa seharusnya tidak sekadar membentangkan laporan kewangan dan aktiviti tahunan sekolah atau pencapaian akademik dan kejayaan sukan semata-mata, tetapi menjadi medan membincangkan permasalahan ini dan mendidik ibu-bapa tentang fungsi sekolah yang sebenar, mendengar permasalahan guru-guru dan kehendak mereka untuk bekerjasama dengan keluarga murid serta dalam masa yang sama guru-guru yang berpengalaman perlu bersedia memberi saranan-saranan membantu pihak sekolah dalam proses pendidikan terus ke rumah pula.
Kerjasama mengembangkan fungsi sekolah sebagai pusat perkembangan nilai-nilai murni pelajar sentiasa dititik beratkan oleh warga pendidik. Namun jika masih dengan idea-idea lama untuk mengatasi masalah-masalah baru yang timbul di kalangan pelajar yang silih berganti, seolah-olah meletakan institusi pendidikan di ambang maut. Islam meletakkan elemen kerjasama dan muafakat dalam apa jua tindakan. Maka, konsep ini perlu ditekankan dan diperluaskan kefahaman dan gerak kerja yang perlu disesuaikan. Ia merupakan budaya dalam unit keluarga sehinggalah kepimpinan nasional. Al-Quran menyebut di dalam surah Ali-Imran ayat 159, Bermusyawarahlah kamu dengan masyarakat dalam urusan itu.
Konsep muhasabah dalam setiap tindakan perlu juga di ambil kira. Kita perlu menyedari kewujudan sebilangan kecil golongan pendidik menjadi medium pengantara yang membawa budaya buli dan pukul memukul. Sebagaimana berlaku di Jepun, seorang guru sekolah rendah berumur 46 tahun telah digantung kerja oleh Lembaga Pendidikan Bandar Fukuoka setelah didapati membuli anak muridnya berumur 9 tahun secara terus menerus dengan memegang kedua-dua belah telinga pelajar tersebut dan mengangkatnya serta menariknya ke sana sini sambil memicit hidungnya. Apakah dalam setahun dua yang akan datang pelajar yang menjadi mangsa gurunya akan memperlakukan perkara yang sama terhadap pelajar-pelajar yang lain atau mungkin lebih daripada itu?
Berfikir dalam bertindak, menilai dan kritis sebelum melakukan sebarang tindakan adalah perkara-perkara penting untuk menjadikan konsep muhasabah diri berkesan terhadap diri. Menjaga kualiti peribadi adalah salah satu perkara yang perlu dipertahankan oleh guru-guru hari ini. Cabaran pasti akan datang, dengan sikap murid yang pelbagai dan kadang kala menyakitkan hati tetapi jangan sampai ia melemahkan daya juang dan kesabaran untuk mendidik.
Tradisi Islam meletakkan guru-guru sebagai jentera yang menggerakkan minda pelajar untuk memenuhi tanggungjawab dan amanah. Ibu bapa pula seharusnya mendukung usaha keras guru melalui sokongan moral dan sifat peka terhadap permasalahan serta cabaran dunia pendidikan hari ini. Koordinasi kerjasama guru dan ibu bapa adalah satu-satunya cara untuk menyelesaikan masalah ini. Jurang komunikasi interpersonal antara guru dan pelajar juga perlu diberi perhatian. Kita menyedari ada guru-guru yang berjaya menjalin hubungan baik dengan anak-anak didiknya sehingga suasana yang terbentuk sangat mesra dan harmoni, seolah-olah pelajar tersebut mempunyai keluarga kedua yang sangat memahami isi hatinya dan menjadi tempat rujukan dalam menghadapi permasalahan remaja. Sebaliknya, hubungan renggang membawa kepada situasi pelajar melihat guru sebagai individu asing yang digajikan untuk menyampaikan ilmu mengikut sukatan dalam waktu yang diperuntukan dan hubungan setakat dalam sempadan sekolah.
Terdapat empat kategori etika komunikasi guru dan murid. Pertama, guru hanya menyampaikan dan pelajar menjadi pendengar yang pasif. Mereka tidak dapat bertanya apabila mereka tidak faham. Demikian juga guru tidak mengetahui apakah pelajarannya dapat diikuti ataupun tidak. Melalui jenis hubungan ini, bahan pelajaran, dapat diselesaikan dalam waktu yang singkat. Lebih buruk lagi apabila konsep komunikasi interpersonal sebegini meletakan pelajar dan guru sebagai objek berdasarkan status mereka tanpa sebarang ikatan peribadi sama sekali.
Kedua, komunikasi antara seorang murid dan seorang guru secara individual. Antara pelajar dan pelajar tiada hubungan. Pelajar tidak dapat berdiskusi dengan teman atau bertanya sesama sendiri. Nilai-nilai kerjasama dan ukhuwah tidak dapat dibentuk dalam diri pelajar sehingga lahirlah golongan yang mementingkan diri, manipulasi dan jurang antara pelajar yang berlainan latar kehidupan.
Ketiga, hubungan sehala antara murid dan guru ditambah dengan hubungan antara pelajar sahaja tanpa wujud suasana perbincangan dan persefahaman. Terakhir, hubungan komunikasi berangkai di mana pelajar dapat mengadakan hubungan yang tidak terbatas. Guru dapat mengetahui apakah pelajarannya dan bimbingannya dapat difahami dan diterima oleh pelajar. Perbincangan juga dapat mengupas sekecil-kecil perkara atau sebarang ketidakpuasan dalam pembelajaran, di antara guru dan pelajar malah konsep kerahsiaan individu mulai terbuka kesan daripada rasa kepercayaan dan amanah yang dipersetujui bersama sesuai dengan kehendak Islam menghormati hak individu. Bergantung kepada seorang guru melihat etika komunikasi yang diikuti dan sejauhmana ia membantu pelajar dalam kehidupan sekolah dan sekitar.
Salah laku pelajar yang membudayakan nilai-nilai baru membahayakan ini adalah titik persoalan sama ada kita sebagai seorang guru, ibu atau ayah yang mewakili masyarakat keseluruhan bersedia duduk bersama memahami satu sama lain dan memperbaiki diri dan sama-sama bekerjasama demi memperbaiki keadaan hari ini.